KTMB pertingkatkan jadual perkhidmatan KTM Komuter sektor utara, Lembah Klang | DagangNews Skip to main content

KTMB pertingkatkan jadual perkhidmatan KTM Komuter sektor utara, Lembah Klang

KTMB tambah perkhidmatan setelah mengambil kira pandangan dan permintaan pengguna.
Oleh Mohamad Iman

KUALA LUMPUR 21 Julai – Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) mengumumkan penambahbaikan perkhidmatan komuter sektor Lembah Klang laluan Batu Caves ke Pulau Sebang dan sebaliknya dengan melanjutkan lapan perkhidmatan sedia ada di laluan tersebut pada waktu puncak, hari bekerja, hari minggu dan kelepasan am bagi memenuhi keperluan dan permintaan penumpang semasa.

 

KTMB mengambil kira pandangan pengguna dan komited dalam memberikan perkhidmatan terbaik terutamanya di sektor Lembah Klang untuk terus menggunakan perkhidmatan KTM Komuter.

 

Pelanjutan servis kepada pengguna di sektor Lembah Klang ditambah baik dengan melanjutkan empat perjalanan sehingga ke Stesen Pulau Sebang yang sebelum ini tamat di Stesen Sungai Gadut.

 

Bagi laluan Pulau Sebang ke Batu Caves pula, empat perkhidmatan akan bermula dari Stesen Pulau Sebang yang sebelum ini dimulakan dari Stesen Sungai Gadut.

 

Jadual waktu terkini untuk laluan tersebut akan berkuatkuasa pada 25 Julai 2022 pada hari bekerja dan 30 Julai 2022 pada hari minggu dan kelepasan am.

 

Sementara itu, jadual waktu terkini perkhidmatan KTM Komuter sektor Utara, laluan Padang Besar – Butterworth – Padang Besar dan Padang Rengas – Butterworth – Padang Rengas turut ditingkatkan kekerapan berikutan permintaan yang semakin meningkat daripada pengguna-pengguna komuter di sektor tersebut. 

 

Dua perkhidmatan tren ditambah bagi laluan Padang Besar ke Butterworth dan sebaliknya, menjadikan sebanyak 26 perkhidmatan beroperasi berbanding 24 sebelum ini.

 

Laluan Padang Rengas ke Butterworth dan sebaliknya juga turut ditambah dua perkhidmatan menjadikan jumlah keseluruhannya sebanyak 12 perkhidmatan berbanding 10 perkhidmatan pada masa ini.


 

ktmb

 


"Penambahbaikan ini sekaligus dapat memberi manfaat kepada pekerja-pekerja yang berulang alik menggunakan perkhidmatan KTM Komuter, golongan penuntut IPT, para pelancong, penduduk-penduduk di sekitarnya serta kepada para penumpang yang lain secara amnya.

 

"Pembukaan pintu sempadan antara Malaysia dan Thailand yang menawarkan perkhidmatan ulang alik antara Padang Besar – Hatyai juga menjadi salah satu faktor penambahbaikan ini, di mana KTMB menjangkakan kemasukan pelancong untuk menggunakan perkhidmatan komuter.

 

"Dengan penambahbaikan ini, KTMB berharap agar penggunaan perkhidmatan komuter terus dipertingkatkan dan para pengguna menjadikan perkhidmatan ini sebagai mod pengangkutan utama mereka," kata KTMB dalam kenyataan di sini hari ini. - DagangNews.com