Larangan merokok dan vape kepada generasi akan datang gugat kebebasan pengguna - CCC | DagangNews Skip to main content

Larangan merokok dan vape kepada generasi akan datang gugat kebebasan pengguna - CCC

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 27 Julai - Pusat Pilihan Pengguna (CCC) sekeras-kerasnya tidak bersetuju dengan akta larangan aktiviti merokok dan pemilikan sebarang produk merokok termasuk vape terhadap generasi yang lahir selepas 2007.

 

Sekutu Negara Malaysia CCC, Tarmizi Anuwar berkata, pengharaman sedemikian akan mencabuli hak rakyat Malaysia untuk memilih dan membuat keputusan ke atas gaya hidup mereka sendiri. 

 

Beliau berkata, satu polemik timbul apabila Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin mahu membawa rang undang-undang mengharamkan tembakau dan vape (rokok elektronik) ke atas generasi masa hadapan di Parlimen yang kini sedang berlangsung sehingga 4 Ogos 2022.

 

"Kerajaan dan Ahli Parlimen perlu meneliti perkara ini secara menyeluruh, terutamanya perkara yang melibatkan keutamaan pengguna.

 

"Kita semua, sama ada perokok atau bukan perokok, mempunyai kepentingan asas dalam mempertahankan kebebasan peribadi dan sivik agar kita boleh hidup dengan cara yang kita fikirkan adalah yang terbaik, berbanding dengan apa yang diberitahu kerajaan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Tarmizi berkata, dalam suasana masyarakat yang bebas, orang dewasa mesti dibenarkan untuk membuat pilihan mengenai gaya hidup mereka tanpa campur tangan berlebihan.

 

"CCC tidak menyokong perbuatan merokok. Kami faham akan risiko kesihatan dan kesan merokok ke atas orang sekeliling.

 

 

ccc
Tarmizi Anuwar

 

 

"Penggunaan tembakau secara jangka panjang atau merokok boleh menyebabkan masalah kesihatan kepada sistem saraf, paru-paru dan jantung, sistem penghadaman serta sistem pembiakan manusia," katanya.

 

Beliau berkata, hampir 90% daripada kematian berkaitan tembakau adalah disebabkan merokok berbanding penggunaan nikotin dalam bentuk lain. 

 

"Menurut Yorkshire Cancer Research nikotin bukanlah penyebab kepada kematian berkaitan merokok. Malahan, kanser paru-paru, penyakit pulmonari obstruktif kronik dan penyakit kardiovaskular bukan disebabkan nikotin.

 

"Sehubungan itu, idea penggantian nikotin atau pengurangan kemudaratan tembakau telah membantu mengurangkan risiko tersebut. Menghentikan penggunaan tembakau dan penggunaan produk dan teknologi bagi pengurangan kemudaratan seperti vape juga boleh mengurangkan risiko menghidap atau mati disebabkan kanser," katanya.

 

Menurutnya, perkara itu dipersetujui organisasi antarabangsa seperti Pejabat EURO Pertubuhan Kesihatan Sedunia yang menyatakan dengan menggantikan nikotin elektronik dan sistem penghantaran bukan nikotin secara sepenuhnya, berbanding dengan membakar tembakau, mengurangkan toksik ke atas pengguna. 

 

"Selain itu, Public Health England menyatakan bahawa menggunakan vape adalah 95% kurang memudaratkan daripada merokok. Dalam Tinjauan Rokok Haram (ICS) yang dikeluarkan oleh Nielsen pada 2021, Malaysia di tempat teratas dunia dalam sindiket rokok haram dan seludup," katanya.

 

Sementara itu katanya, menurut kajian Datametrics Research and Information Research Center (DARE) bertajuk Membersihkan Asap: Mengurangkan Kemudaratan Tembakau, sekiranya kerajaan meneruskan dasar ‘penamat generasi’, perdagangan haram dijangka meningkat kepada 61.7% daripada 58.4% pada Mac 2022.

 

"Amat membimbangkan apabila perdagangan haram ini adalah lebih memudaratkan kepada pengguna kerana produk yang dijual di pasaran tidak mematuhi peraturan kesihatan tempatan, dan sesetengahnya dicampur dengan bahan yang tidak sesuai untuk digunakan oleh manusia.

 

"Setiap pengguna mempunyai hak untuk mendapat maklumat yang tepat dalam membuat keputusan untuk memastikan yang terbaik untuk mereka, termasuklah maklumat tentang kepentingan beralih kepada penggunaan vape atau alternatif lain kepada merokok," katanya.

 

Beliau berkata, mengharamkan tembakau dan penggunaan vape akan menyekat kebebasan individu untuk mendapatkan alternatif, meningkatkan perdagangan haram dan meningkatkan penggunaan semula rokok. 

 

"Ketagihan merokok adalah isu yang kompleks dan perlu ditangani dengan dasar atau strategi awam yang lebih efektif dan kreatif.

 

"Kerajaan perlu melihat kaedah mengurangkan kesan mudarat tembakau sebagai satu daripada pendekatan penting dalam mengurangkan bilangan perokok di Malaysia. Ini terutamanya apabila kita melihat trend beralih kepada menggunakan vape sebagai produk yang kurang membawa kemudaratan, telah menerima respon positif dalam kalangan perokok di Malaysia," katanya.

 

Tambahnya, mengiktiraf hak pengguna dalam mengurangkan kemudaratan tembakau mampu mendidik dan memberi maklumat tepat kepada pengguna dan rakyat Malaysia. 

 

"Secara tidak langsung, ia boleh memberi pengguna pengetahuan mengenai pengurangan risiko kesihatan," katanya. - DagangNews.com