Aplikasi Luno Bundles bantu pelanggan pelbagaikan portfolio mata wang kripto | DagangNews Skip to main content

Aplikasi Luno Bundles bantu pelanggan pelbagaikan portfolio mata wang kripto

Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 21 Nov - Luno melancarkan aplikasi Luno Bundles bagi membantu pelanggan menguruskan dan mengekalkan portfolio pelbagai mata wang kripto berprestasi tinggi, termasuk Bitcoin dan Ether.
 

Luno Bundles merupakan hasil kerjasama dengan penyedia indeks aset digital, CoinDesk Indices. 

 

Luno berkata, ia menampilkan CoinDesk Large Cap Select Index yang menyasarkan penyediaan pulangan keseluruhan pasaran mata wang kripto dengan memasukkan lima hingga 10 mata wang kripto permodalan pasaran.

 

"Hanya aset digital yang terdapat di Malaysia yang juga memenuhi piawaian kelayakan ketat CoinDesk disertakan dalam ciri itu.

 

"Luno Bundles memastikan liputan optimum pasaran kripto secara keseluruhan.

 

"Indeks CoinDesk juga mengimbangi semula kedua-dua wajaran dan aset konstituen setiap tiga bulan yang sejajar dengan pelarasan berkala kepada indeks asas," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Katanya, setelah portfolio dibuat, pelanggan boleh memantau prestasinya melalui aplikasi Luno dan boleh menghimpunkan atau menyahhimpunkan aset mereka pada sebarang jumlah, atau pada bila-bila masa.

 

Pengurus Negara Luno Malaysia, Scarlett Chai berkata, sebagai pertukaran mata wang kripto, Luno Bundles merupakan tawaran inovatif yang mampu mengurangkan halangan kemasukan pelanggan yang ingin mempelbagaikan pelaburan mereka ke dalam mata wang kripto.

 

“Dengan nilai Bitcoin baru-baru ini mencecah paras tertinggi sepanjang masa, kami meramalkan minat yang semakin meningkat dalam pasaran mata wang kripto datang dari semua lapisan masyarakat. 

 

"Perkongsian dengan CoinDesk Indices ini akan memastikan pelanggan kami boleh melabur dengan metodologi yang diterajui data dengan mudah dan selamat,” katanya.

 

Presiden Indeks CoinDesk, Alan Campbell berkata, terdapat peningkatan permintaan daripada pelabur dan pedagang untuk mempelbagaikan portfolio mata wang kripto mereka melangkaui Bitcoin.

 

"Dengan menyediakan sekumpulan aset dan bukannya memfokuskan pada satu aset digital, Luno Bundles mampu membantu mendedahkan pelabur kepada ekosistem kripto yang lebih luas," katanya. - DagangNews.com