KUALA LUMPUR 21 Julai - Persatuan E-Vaporizers dan Tembakau Alternatif Malaysia (MEVTA) dan Persatuan Peruncit Rokok Elektronik Malaysia (MRECA) hari ini memohon agar Kabinet mengkaji semula larangan penjualan dan pemilikan vape kepada individu yang lahir dari tahun 2005 yang akan menjejaskan industri yang bernilai RM2.27 bilion.
Baru-baru ini, Menteri Kesihatan berkata Kabinet telah meluluskan cadangan Kementerian Kesihatan Malaysia berkenaan larangan tersebut dan ini akan menyebabkan industri vape tempatan diharamkan pada masa akan datang.
Presiden, Persatuan E-Vaporizers dan Tembakau Alternatif Malaysia (MEVTA), Mohamad Neezam Talib berkata, rokok dan vape adalah dua barangan yang berbeza dan tidak sepatutnya disamakan dalam satu kategori yang sama dalam larangan ini.
Sebaliknya kata beliau, produk vape adalah alternatif yang kurang risiko kepada rokok dan mampu membantu perokok tegar berhenti merokok.
“Kerajaan seharusnya melihat vape sebagai satu kaedah untuk mengurangkan jumlah perokok negara pada masa ini kerana ia terbukti berkesan di negara yang lain.
"Polisi ini memberikan mesej yang salah kepada perokok masa ini kerana ia menyamakan rokok dan vape sebagai produk yang mempunyai risiko yang sama,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Sementara itu, Presiden Persatuan Peruncit Rokok Elektronik Malaysia (MRECA), Datuk Adzwan Ab Manas berkata, industri tempatan Malaysia rata-ratanya terdiri daripada usahawan Bumiputera dan polisi ini akan memberikan kesan dalam jangka masa panjang.
Menurutnya, nasib industri yang bernilai RM2.27 bilion serta 15,000 pekerja dan 3,000 perniagaan vape di Malaysia akan terjejas sekiranya Kerajaan tidak memberikan pertimbangan yang sewajarnya.
“Selama ini, Malaysia dianggap sebagai salah satu pengeluar vape yang utama di dunia.
"Ia juga mempunyai potensi yang besar untuk menarik pelabur domestik dan asing. Dengan polisi ini, ia akan membantutkan potensi negara Malaysia sebagai pengeluar produk vape di dunia,” katanya lagi.
MEVTA dan MRECA juga berkata Kerajaan seharusnya mewujudkan peraturan kawal selia bagi mengawal industri vape yang setelah sekian lama tertangguh dan mengambil pendekatan untuk mengawal industri vape dengan peraturan yang berbeza dengan rokok. - DagangNews.com