KUCHING 6 Ogos - Karnival Kerjaya Jamin Kerja pada anjuran Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) Sarawak di Dataran Perayaan Petra Jaya menjadi tumpuan penduduk Sarawak yang sedang mencari pekerjaan sesuai dengan kelulusan dan kemahiran mereka.
Seramai lebih daripada 1,500 telah hadir ke reruai karnival tersebut dibawah seliaan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) yang terdiri daripada golongan graduan dan belia yang ingin kerjaya lebih terjamin.
Sehingga ke tengah hari tadi tinjauan mendapati rata-rata yang hadir menzahirkan perasaan tidak terhingga gembira, syukur dan berharap agar karnival seperti ini dapat diadakan terutamanya di kawasan luar bandar.
Seorang graduan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) Raynold Gerijih Belasap David, 23, berkata, dia sanggup mengambil jarak perjalanan empat jam dari kampungnya di Lubok Antu semata-mata untuk merebut peluang pekerjaan yang ditawarkan.
“Bagi saya karnival seperti ini amat ditunggu-tunggukan oleh belia khususnya yang baru tamat pengajian dan mencari pekerjaan, dengan keadaan sekarang yang mana susah mendapat peluang jika bersaing memohon melalui dalam talian.
“Justeru nasihat buat belia di luar sana yang masih menunggu pekerjaan sama seperti saya, rebutlah apa saja pekerjaan yang ditawarkan demi menimba pengalaman dan pengetahuan dalam fasa pekerjaan,” katanya ketika ditemui.
Graduan dari universiti sama Adriana James, 23, berkata, dia juga berkongsi harapan agar karnival seperti ini dapat dianjurkan kepada belia di kawasan pedalaman Sarawak.
“Karnival seperti ini wajar dilakukan di kawasan luar bandar yang mengalami masalah capaian internet dan mereka yang kurang berkemampuan bagi merebut peluang pekerjaan yang ditawarkan.
“Sudah pasti ini adalah satu peluang yang besar buat kami terutamanya belia kini yang susah untuk mendapatkan pekerjaan. Malah karnival seperti ini juga dapat mengurangkan jumlah pengangguran dalam kalangan belia di Sarawak dan seluruh negara”, katanya.
Sementara itu, Ketua Zon Perkhidmatan Perkejaan PERKESO, Shamimi Abdul Khalek berkata karnival tersebut akan diadakan selama tiga dengan jumlah 27 majikan yang akan menyertai dan menemuduga pengunjung yang mendaftar merebut peluang pada karnival berkenaan.
“Daripada 27 majikan tersebut lebih daripada 1,000 kekosongan kerja daripada pelbagai industri untuk direbut oleh pengunjung.
Malah, pihak kami (Perkeso) juga menyediakan kaunseling kerjaya bagi sesiapa yang belum membuat keputusan untuk memohon pekerjaan yang disediakan berdasarkan kelayakan masing-masing.
“Selain daripada itu, pihak kami turut memberi peluang untuk mendaftarkan melalui portal MyFutureJob yang merupakan inisiatif Pekeso untuk mereka mencari peluang pekerjaan secara dalam talian, sekiranya tidak dapat merebut peluang melalui karnival pada kali ini,” jelasnya.
Daripada rekod semalam, seramai 766 telah hadir ditemubual dan yang berjaya disaring dan 57 orang telah berjaya diberikan peluang pekerjaan hasil daripada Karnival Kerjaya Jamin Kerja pada anjuran Jelajah AKM Sarawak.
Karnival tersebut dibuka kepada orang ramai dari 5 hingga 7 Ogos bermula jam 9 pagi ke 5 petang. - DagangNews.com