Malayan Flour Mills sasar berkembang dalam pasaran halal di Asia Barat | DagangNews Skip to main content

Malayan Flour Mills sasar berkembang dalam pasaran halal di Asia Barat

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 13 Okt. - Malayan Flour Mills Bhd. (MFM) merancang untuk memasuki pasaran eksport halal terutamanya Asia Barat menerusi rangkaian kerjasama dengan Tyson International Holding Company, menurut AmInvestment Bank Research. 

 

Firma itu berkata, pada masa akan datang, kira-kira 10% hingga 20% daripada jumlah pengeluarannya dijangka disalurkan kepada Tyson. 

 

"MFM dijangka mendapat manfaat daripada kerjasama strategik dengan Tyson yang bermula dengan kerjasama membabitkan penawaran produk dan meningkatkan kecekapan proses pengeluaran," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Firma itu mengekalkan saranan 'beli' ke atas MFM dengan nilai saksama tidak berubah pada RM1.37 sesaham.

 

Malah, ia menjangkakan kerugian bersih MFM dalam kerjasama tersebut akan berkurangan pada separuh kedua 2021 (berbanding RM10.5 juta pada suku kedua).

 

MFM yang memiliki 51% pegangan dalam usaha sama penternakan dengan Tyson dijangka mendapat kelebihan daripada permintaan tinggi dan harga jualan bagi produk diproses. 

 

AmInvestment berkata, usaha sama itu dijangka menikmati jumlah jualan yang lebih tinggi pada separuh kedua apabila kerajaan membenarkan semula aktiviti dine-in.

 

"Kilang ternakan di Lumut ketika ini beroperasi dengan kadar penggunaan pada 50% berbanding 20% hingga 30% ketika perintah kawalan pergerakan (PKP) 3.0. 

 

"Apabila kadar penggunaannya mencecah 60% pada tahun kewangan 2022, ia boleh mengembalikan semula modal kilang pengeluaran ini," katanya.

 

Sementara itu, firma itu turut menjangkakan segmen pengeluaran tepung kumpulan akan menyaksikan prestasi yang lebih baik bagi tahun kewangan 2021 memandangkan kumpulan menaikkan harga jualan bagi beberapa produk tepung disebabkan kos gandum yang lebih tinggi. 

 

"Kami menganggarkan pendapatan sebelum cukai dan faedah (EBIT) bagi segmen ini akan berkembang sebanyak 34.3% kepada RM164.5 juta pada tahun kewangan 2021 didorong harga jualan dan jumlah jualan lebih tinggi," tambahnya.

 

Bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2021, MFM kembali pulih dengan keuntungan bersih sebanyak RM128.31 juta berbanding kerugian bersih sebanyak RM4.48 juta dalam tempoh sama pada tahun lalu. Pendapatan juga naik kepada RM576.17 juta daripada RM525.54 juta sebelum ini. - DagangNews.com