Malaysia wajar sertai UNESCO Creative Cities Network (UCCN) | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Industri Kreatif - 9 April 2021

Malaysia wajar sertai UNESCO Creative Cities Network (UCCN)

 


 

PEMBENTANGAN Belanjawan 2021 oleh Menteri Kewangan pada November 2020, mencatat sejarah apabila buat pertama kali Malaysia mengintegrasikan belanjawan negara dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG).

 

Ini menjadikan Malaysia tergolong antara 20 buah negara di dunia yang melaksanakan hal terbabit. Ia juga secara tidak langsung memperlihatkan komitmen Malaysia dalam menjayakan agenda SDG di negara ini – sepertimana yang telah dipersetujui dalam sidang kemuncak PBB pada tahun 2015.

 

SDG merupakan matlamat yang ditetapkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai kerangka induk pembangunan global – yang disasarkan untuk dicapai menjelang tahun 2030 – dalam menjamin kelangsungan dan kelestarian dunia sejagat.

 

Jadi, bagaimana bentuk pembangunan lestari ini dalam konteks pembangunan industri kandungan kreatif? Apakah langkah yang boleh diambil oleh industri ini untuk turut menjadi antara tunggak matlamat ini?

 

Saya melihat salah satu pendekatan yang praktikal dan berpotensi adalah dengan Malaysia ikut turut serta dalam program-program yang telah dirangka oleh PBB dan juga organisasi di bawahnya termasuklah Pertubuhan Pendidikan, Sains & Kebudayaan PBB (UNESCO) – bagi memastikan kerangka pembangunan yang dirangka tidak tersasar daripada yang sepatutnya.

 

unesco

Antara program yang dilihat wajar disertai Malaysia adalah UNESCO Creative Cities Network (UCCN). UCCN adalah sebuah jaringan antara bandar yang menyatakan komitmen untuk menggerakkan usaha menerapkan elemen kreativiti sebagai salah satu tunggak utama dalam perancangan dan gerak kerja pembangunannya. Terdapat tujuh kategori di bawah UCCN meliputi kraf & seni rakyat, senireka, filem, gastronomi, sastera, seni media & muzik.

 

Malah penyertaan Malaysia dalam UCCN sebenarnya telah dicadangkan oleh pihak UNESCO sendiri melalui dokumen Malaysia UNESCO Country Strategy 2018-2021.

 

Atas dasar itu jugalah saya sejak beberapa tahun lalu cuba untuk menggerakkan usaha agar terdapat bandar-bandar di Malaysia yang berminat dan mengusahakan penyertaan bagi mendapatkan status terbabit – khususnya bagi kategori filem – UNESCO City of Film. Sepanjang tempoh tersebut, berdasarkan pemerhatian saya, bandar yang paling sesuai adalah Kuala Lumpur.

 

Atas hasrat itu juga, pada tahun 2019, saya telah melakukan kunjungan dan lawatan rasmi ke dua buah bandar yang telah berjaya mendapat status UNESCO City of Film iaitu Bradford di England, dan Busan di Korea Selatan - bagi membina jalinan kerjasama, serta mendapatkan perkongsian pengalaman dari mereka.

 

Menariknya, Bradford  merupakan UNESCO City of Film pertama di dunia yang mendapat status tersebut pada tahun 2009, manakala Busan merupakan UNESCO City of Film pertama di Asia, dengan mendapat status tersebut pada tahun 2014.

 

Kunjungan dan lawatan rasmi tersebut berjalan sangat positif – malah kedua bandar ini menyatakan komitmen untuk menyediakan kepakaran dalam membantu Kuala Lumpur untuk turut bersama mereka dengan 16 bandar yang lain yang telah mendapat status UNESCO City of Film di bawah UCCN. Sehingga kini 18 buah bandar telah mendapat status UNESCO City of Film.

 

Berbalik kepada UCCN, ia merupakan program jaringan yang diperkenalkan oleh UNESCO pada tahun 2004 bagi menggalakkan kerjasama di antara bandar-bandar di dunia, yang mengenali kreativiti sebagai faktor strategik untuk kelestarian pembangunan bandar.

 

film
Industri filem Malaysia berpusat di Kuala Lumpur.

 

Sehingga kini, secara keseluruhan tujuh kategori di bawah UCCN, terdapat sejumlah 246 buah bandar telah menyertai jaringan ini, yang menyatakan komitmen untuk bekerjasama dalam satu objektif yang sama; iaitu meletakkan kreativiti dan industri kebudayaan sebagai tunggak penting dalam pelan pembangunan mereka di peringkat tempatan, serta bekerjasama secara aktif di peringkat antarabangsa.

 

Dengan menyertai UCCN, setiap bandar juga perlu menyatakan komitmen untuk berkongsi amalan terbaik mereka dalam meningkat kualiti hidup bandar melalui elemen kreativiti, serta membangunkan kerjasama antara bandar; dengan melibatkan pihak kerajaan, orang awam, serta sektor swasta dalam usaha memperkukuh penghasilan, penerbitan, pengedaran dan penyebaran aktiviti, produk serta perkhidmatan berteraskan kebudayaan.

 

Ini juga termasuk komitmen untuk membangunkan hab kreativiti dan inovasi; sekaligus memperluaskan peluang kepada pembikin dan profesional dalam sektor kebudayaan.

 

Ini membuka ruang untuk meningkatkan akses penyertaan masyarakat dalam kehidupan berbudaya, termasuklah bagi golongan terpinggir, serta mengintegrasi budaya dan kreativiti sebagai elemen utama dalam pelan pembangunan yang lestari.

 

Dalam usaha untuk mendapatkan status UNESCO City of Film, kriteria secara umumnya dinilai melalui ;

  • Initiatif yang menggalakkan platform pertukaran pengetahuan dan budaya antara negara melalui filem.
  • Mengangkat filem sebagai warisan penting dalam bentuk pengarkiban, muzium, koleksi peribadi dan institut perfileman
  • Menggalakkan bandar dalam menjadi hos acara-acara berkaitan filem seperti festival filem, acara tayangan dan apresiasi, serta acara-acara lain.
  • Meningkatkan program berteraskan budaya filem dan literasi filem dalam masyarakat.
  • Kualiti pendidikan berkaitan perfileman yang ditawarkan
  • Kerjasama perfileman di peringkat tempatan, serantau, serta antarabangsa.

 

Jadi, mengapa perlu Kuala Lumpur mendapatkan status UNESCO City of Film dan menyertai UCCN? Apakah pentingnya status dan penyertaan ini kepada industri di Kuala Lumpur dan Malaysia?

 

dewi
Dataran Merdeka berlatar belakang bangunan ikonik Sultan Abdul Samad sering menjadi pilihan lokasi penggambaran.

 

Saya melihat bahawa kita harus menyedari bahawa pembangunan industri dalam dunia hari ini bukan lagi harus berpegang kepada definisi konvensional – tentang angka ringgit dan dolar semata-mata. SDG telah diakui dan diterima sebagai kerangka induk pembangunan global – dan industri kandungan kreatif tidak harus ketinggalan untuk turut aktif dalam mencapai matlamat yang dinyatakan dalam SDG.

 

Pembangunan lestari akan memastikan kelangsungan sumber serta kestabilan dan keampuhan industri dapat dibina untuk jangkamasa panjang – bukan sekadar untuk tahun mendatang, tetapi juga generasi akan datang. Kerjasama antarabangsa dapat dibina – merapatkan jurang antara negara dan tempat– serta mendukung aspirasi keamanan yang pastinya memberikan impak jelas kepada kestabilan industri dan ekonomi.

 

Setidaknya, sehingga menjelang tahun 2030, SDG dapat memandu industri kandungan kreatif ke arah jalan pembangunan mampan, seimbang dan ideal.

 

Hasrat membawa bandar-bandar di Malaysia menyertai UCCN diharapkan akan memberikan manfaat kepada bandar terpilih melalui beberapa aspek seperti mewujudkan potensi sektor pelancongan baharu - meningkatkan kualiti hidup bandar melalui pendekatan kebudayaan dan kreativiti - menggalakkan kerjasama tempatan dengan impak global - menghubungkan usaha bandar dengan keperluan setempat  serta membina hubungan antara agensi tempatan dalam pembangunan antarabangsa; sepertimana yang dijelaskan dalam misi UCCN itu sendiri.

 

Semoga Kuala Lumpur akan bergelar UNESCO City of Film dalam masa terdekat. - DagangNews.com

 

 

Ts Azharul Azmir Kamarulzaman merupakan Pengarah Urusan / Penerbit bagi syarikat Kristal Azmir Sdn Bhd dan Pengarah Pengasas Pusat Kajian & Apresiasi Filem (PKAF).

 

BACA  ARTIKEL INDUSTRI KREATIF INI JUGA : 

KEDUDUKAN KANDUNGAN KREATIF DALAM WILAYAH EKONOMI & PEMBANGUNAN SERANTAU

Akreditasi & penyumberluaran penting kepada pembangunan kandungan kreatif Malaysia

POTENSI BESAR UNTUK PENERBIT KANDUNGAN DI BORNEO

COVID-19, DTT DAN SALURAN TELEVISYEN TERESTIAL DI MALAYSIA HARI INI

Gelombang Anak Muda Tokusatsu & Harta Intelek

ADAKAH PELUANG UNTUK PLATFORM OTT TEMPATAN BERKEMBANG?

BIG DATA & POTENSI SILANG INDUSTRI BAGI KANDUNGAN KREATIF

 

 

 

 

 

Portfolio Tags