Marrybrown bawa sajian Malaysia ke Ekspo Dunia 2020 | DagangNews Skip to main content

Marrybrown bawa sajian Malaysia ke Ekspo Dunia 2020

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 10 Jun - Rangkaian restoran perkhidmatan pantas halal pertama di Malaysia, Marrybrown akan membawa aneka makanan tempatan negara ke Expo Dunia 2020 yang akan berlangsung di Dubai bermula 1 Oktober 2021 hingga 31 Mac 2022 setelah dipilih sebagai pengendali kafe rasmi Pavilion Malaysia.

 

“Selain daripada kepelbagaian budaya, apa yang menjadikan Malaysia sebuah negara unik adalah makanannya yang lazat.

 

“Kami amat berbangga kerana telah dipilih untuk mempamerkan kepada pengunjung ekspo tentang kebanggaan negara melalui pengembaraan gastronomi hidangan tempatan Malaysia," kata Ketua Pegawai Eksekutif Marrybrown, Datuk Joshua Liew dalam satu kenyataan hari ini.

 

Joshua Liew
Joshua Liew

 

Marrybrown akan membawa sajian Malaysia dengan variasi juadah tempatan antaranya Nasi Lemak MB; Nasi Kari Ayam; Teh Tarik dan ayam goreng rangup.

 

Menerusi peranannya sebagai pengendali kafe rasmi di Pavilion Malaysia, Marrybrown berpeluang memperkenalkan Malaysia ke seluruh pelusuk dunia.

 

Pavilion

 

Sebagai rekod, Marrybrown telah mengembangkan ‘sayapnya’ ke Dubai dengan pembukaan beberapa cawangan di sana.

 

"Kami berharap agar mendapat lebih banyak lagi peluang seperti ini untuk meneruskan perjalanan kami demi memperkenalkan jenama tempatan di peringkat global.

 

“Kami mahu Marrybrown menjadi jenama yang sering terlintas di fikiran sesiapa sahaja dan sinonim dengan nama Malaysia yang boleh dibanggakan," tambah Liew.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Teknologi Hijau dan Perubahan Iklim Malaysia (MGTC) yang merupakan agensi pelaksana Expo 2020 Dubai, Shamsul Bahar Mohd. Nor melihat menerusi peranan tersebut, Marrybrown bakal mewakili identiti Malaysia di ekspo antarabangsa berkenaan.

 

Shamsul Bahar Mohd. Nor
Shamsul Bahar Mohd. Nor

 

“Marrybrown adalah contoh rangkaian restoran perkhidmatan pantas halal pertama Malaysia yang telah mempelopori rangkaian sistem francais dan berjaya melebarkan sayapnya ke peringkat global," kata beliau.

 

Pavilion Malaysia di Expo 2020 Dubai direka seperti 'Kanopi Hutan Hujan' dan bertemakan 'Energising Sustainability'.

 

Ia terletak di antara Daerah Kelestarian dan Daerah Mobiliti di tapak ekspo seluas 438 hektar.

 

Pavilion berkenaan akan menempatkan segmen untuk paparan dan pameran kekal, pusat perniagaan, amfiteater, kedai runcit dan kawasan kafe. - DagangNews.com