MBSB Bank sasar lebih ramai sertai kempen ‘Simpan Berganda, Menang Bergaya’ 2.0 | DagangNews Skip to main content

MBSB Bank sasar lebih ramai sertai kempen ‘Simpan Berganda, Menang Bergaya’ 2.0

Datuk Nor Azam M. Taib (enam dari kanan) bersama para pemenang kempen ‘Simpan Berganda Menang Bergaya’ pada Majlis Penyampaian Hadiah dan Pra-pelancaran ‘Simpan Berganda Menang Bergaya’ 2.0 di Menara MBSB Bank pada 4 Ogos 2022.

PETALING JAYA 5 Ogos - MBSB Bank Bhd menyasarkan untuk menerima lebih banyak penyertaan bagi pusingan kedua kempen ‘Simpan Berganda, Menang Bergaya’ 2.0 selepas pusingan pertamanya berakhir Khamis.

 

Pusingan kedua yang bermula pada 1 September 2022 hingga 31 Mei 2023 itu menawarkan pelbagai hadiah menarik bernilai RM2.4 juta.

 

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Nor Azam M. Taib berkata kempen pusingan pertama yang mendapat sambutan menggalakkan itu, turut membolehkan bank tersebut meraikan pelanggan-pelanggan setia melalui tawaran pelbagai hadiah menarik.

 

“Kami berterima kasih kepada para pelanggan di atas sambutan menggalakkan ini yang menjadikan kami terus bersemangat dalam menambah baik produk dan
perkhidmatan.

 

“Usaha ini turut menggambarkan komitmen MBSB Bank dalam menyampaikan perkhidmatan yang terbaik dan sentiasa menghargai para pelanggan,” katanya pada
majlis penyampaian hadiah kempen ‘Simpan Berganda, Menang Bergaya’ pusingan terakhir di sini.

 

Kempen tersebut menyaksikan Huang Wee Wan, 64, muncul sebagai pemenang utama dan berjaya membawa pulang sebuah kereta mewah BMW X4 30i M Sport
manakala Maznah Harun, 81, memenangi skuter BMW C400X.

 

Bagi kategori bukan individu, syarikat Tunas Services berjaya meraih wang tunai berjumlah RM100,000.

 

 

mbsb

 

 

Para pemenang tersebut merupakan pemegang akaun semasa atau Simpanan PrimeWin (CASA-i).

 

Kempen selama setahun yang bermula pada 21 Jun 2021 sehingga 31 Mei 2022, menawarkan hadiah bernilai lebih RM2.4 juta dan merangkumi lapan kategori iaitu
bulanan, suku tahunan, digital, penyimpan baharu, kesetiaan, serantau, khas serta hadiah utama.

 

Pelanggan baharu yang berminat menyertai kempen tersebut perlu membuka akaun semasa atau Simpanan PrimeWin (CASA-i) dengan deposit minimum RM100
menerusi permohonan secara dalam talian M Fast atau di cawangan MBSB Bank di seluruh negara. - DagangNews.com