MEDAC sediakan pelbagai inisiatif bantu usahawan di Sabah | DagangNews Skip to main content

MEDAC sediakan pelbagai inisiatif bantu usahawan di Sabah

 


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 17 Nov. - Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) melaksanakan pelbagai strategi dan inisiatif untuk membantu pembangunan usahawan-usahawan perusahaan kecil serderhana (PKS) di seluruh negara termasuklah di Sabah sewaktu pandemik COVID-19.

Menterinya, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, setakat September tahun ini, sebanyak RM56.3 juta telah disalurkan oleh Tekun Nasional bagi membantu 5,422 usahawan negeri Sabah.

Katanya, bagi tempoh itu juga, melalui pakej rangsangan Prihatin PKS, sebanyak 2,436 permohonan diluluskan dengan nilai RM17.5 juta bagi negeri Sabah khusus untuk membantu peniaga kecil mendapatkan bantuan modal perniagaan tanpa caj melalui program Covid Business Recovery-Micro (CBRM).

"Melalui peruntukan dana Penjana, Tekun juga membantu melalui Program Tekun Business Recovery Scheme (TBRS). Bagi Negeri Sabah sehingga September 2020, seramai 1,385 usahawan telah mendapat pebiayaan bernilai RM7.6 juta. 

"Untuk usahawan di kawasan Kimanis, melalui Program TBRS dan CBRM, 64 usahawan telah dibantu dengan jumlah pembiayaan RM436,000," katanya.

Wan Junaidi Tuanku Jaafar
Wan Junaidi Tuanku Jaafar

 

Beliau menjawab soalan lisan Datuk Mohamad Alamin (BN-Kimanis) di Dewan Rakyat hari ini berkenaan bentuk program yang telah dan akan diperkenalkan oleh MEDAC untuk pembangunan PKS di Sabah ketika COVID-19.

Kemudahan pembiayaan yang disediakan oleh MEDAC melalui agensi-agensi di bawahnya adalah meliputi modal permulaan dan pengembangan perniagaan, pembelian bahan mentah, stok dan aset perniagaan.

Menurut Wan Junaidi, selain itu, SME Bank telah meluluskan pembiayaan kepada 139 usahawan dengan jumlah sebanyak RM72.17 juta bagi tahun ini.

Bank Rakyat pula telah meluluskan pembiayaan BR Cares kepada 2,704 usahawan dengan jumlah sebanyak RM224.66 juta.

"Untuk negeri Sabah, seramai 273 usahawan telah diberikan pembiayaan berjumlah RM17.70 juta," katanya. 

Beliau memberitahu, dalam usaha meningkatkan kemahiran usahawan di Sabah, MEDAC melalui Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) telah melaksanakan program latihan yang melibatkan implikasi kewangan sebanyak RM114,371 bagi 2019 dan RM299,330 tahun ini. 

Di bawah program ini, seramai 595 usahawan di Sabah telah mendapat manfaat melalui Kursus Asas Keusahawanan (KAK), INSKEN Business Coaching (IBC) dan INSKEN Business Training (IBT). 

Antara program pembangunan kapasiti dan latihan keusahawanan yang dijalankan di Sabah termasuklah Program Peningkatan Enterpris Bumiputera (BEEP)-SME Corp, Program Business Scale-Up (Program Biz-Up)-SME Corp, Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE)-SME Corp, SME Bank Strategic Series (SBSS)–Business Planning dan SME Bank Upward migration program. 

Wan Junaidi berkata, menerusi program-program pembiayaan dan pembangunan kapasiti keusahawanan ini, usahawan di Sabah dijangka akan dapat meningkatkan jualan dan taraf ekonomi serta mewujudkan peluang pekerjaan kepada komuniti setempat di negeri tersebut. - DagangNews.com