Skip to main content
Kolum Dari Hikayat Kita - 18 September 2021

 MENGIMBAS PETA-PETA TERAWAL DUNIA MELAYU

 

 

Pulau Pandan jauh ke tengah
Gunung Daik bercabang tiga
Hancur badan dikandung tanah
Budi yang baik dikenang juga

 

Peta adalah umpama manuskrip bergambar yang menceritakan kembali sejarah dan kisah menarik dunia zaman dahulu kala. Adakah kita ingat pada satu masa dahulu Bumi Semenanjung ini satu destinasi utama dunia?

 

Betapa teruja membayangkan kisah dunia Alam Melayu di zaman ini. Apakah nama lautan dan sungai yang kita kenali hari ini?

 

Apakah peranan Perimula dan Kolepolis di ambang alaf pertama tahun masehi lebih dua ribu tahun dahulu?

 

Dalam mengejar hikayat lama, adalah penting untuk memahami kerajaan yang bertakhta dan sempadan negara serta lautan yang terbentang luas. Dengan itu, ada keperluan untuk menjejak nama lama penempatan di Tanah Melayu dan Nusantara satu ketika dulu.

 

Dahulu, tiada Laut Cina Selatan. Tiada Teluk Siam. Tiada Malaya. Tiada Thai. Tiada Indonesia. Tiada Singapura.

 

Yang ada Queda. Perimula. Kolepolis.  Kemudian Melaka. Tsiampa. Camboja. Sumatra. Jawa.

 

Lautan pula digambarkan sebagai teluk yang besar. Magnus Sinus. Perimulicus Sinus.

 

Dengan peredaran masa, peta berwajah baru, mengikut aliran pendatang dunia barat. Baru-baru ini barulah saya dapat melihat peta-peta dari dunia Arab dan kerajaan Uthmaniyah mencetus penemuan jalan laut baru. Kita juga mempunyai peta-peta maritim yang menunjukkan jalan ke Mekah.

 

 

 

Aurea Chersonesus Ptolemy
Aurea Chersonesus Ptolemy

 

 

Peta terawal yang dikatakan menunjukkan Bumi Semenanjung Melayu dengan jelas dilakar oleh Ptolemy – seorang pemikir, pemeta dan ahli kaji astronomi tersohor yang tinggal di Mesir. Beliau menghasilkan peta dan karya terunggul iaitu Almagest dan Geography sekitar tahun masehi kedua.

 

Menggunakan peta-peta terdahulu dan sumber dari pelayaran semasa, Claudius Ptolemy melakar peta dunianya. Dia menemubual pelayar-pelayar semasa dengannya untuk memperbetulkan gambaran petanya.

 

 

 

ptolemy
Peta Dunia Ptolemy, dari Geography (circa 150) dilakar semula pada kurun ke15 (Kredit Francesco di Antonio del Chierico - Ptolemy's Geography (Harleian MS 7182, ff 58–59), Public Domain, https://commons.wikimedia.org/w/index.php?curid=193697)

 

 

 

 

Di antara lanskap strategik yang menjadi mercu tanda peta Ptolemy disusun dari Geography (c. 150 TM) adalah “Scythia” (Pakistan) di tengah,  “Sinae” (China)  di timur, dan pulau “Taprobane” (Sri Lanka). Jauh di timur terletak  Aurea Chersonesus iaitu Semenanjung Emas disahkan peta terawal Semenanjung Tanah Melayu.

 

Nama-nama tempatan menggamit ingatan di peta Aurea Chersonesus adalah Kolepolis (Kelantan), Konkonagara (Gangganagara),  Perimula (Terengganu), dan Sungai Attabas (Sg. Pahang). Pada masa ini, berkemungkinan besar Teluk Siam itu di panggil Perimulic Sinus (Teluk Perimula) dan Laut Cina Selatan dipanggil Magnus Sinus (Teluk Besar).

 

Sehingga kurun ke 15, peta Claudius Ptolemy masih dilukis semula oleh kartografer seluruh dunia seperti Nicholaus Germanus pada tahun 1467.

 

 

 

ninot

 

Peta Al-Idrisi diterbitkan pada tahun 1158 CE oleh Abū Abdallāh Muhammad ibn Muhammad ibn Abdallāh ibn Idrīs al-sharif al-Idrīsī, seorang ahli politik dan pengembara Islam.

 

 

 

ninot
Peta mini al-Idrisi

 

 

Peta tersebut dilakarkan atas arahan oleh Raja Roger II dari Sicily pada tahun 1138 CE. Peta ini tersohor kerana sangat terperinci dan menggunakan struktur matematik lanjutan melalui penggunaan Unjuran Peta Silinder.

 

Di peta  Al-Idrisi ini, Semenanjung Tanah Melayu di bahagian teratas sebelah kanan kerana peta terawal ini dilakarkan bertentangan dengan konvensi hari ini. Selatan di atas, dan utara di bawah.

 

Peta Lautan

Bagaimana pula dengan lautan di sekeliling Semenanjung Tanah Melayu? Seperti yang kita lihat sebelum ini, peta Ptolemy merujuk kepada lautan  ini sebagai Sinus Perimulus atau Teluk Perimula, satu nama yang dikaitkan dengan Terengganu. Oleh kerana ramai kartografer menyalin semula peta Ptolemy, ini berlanjutan hingga kurun ke 14.

 

Catatan Leonard Y Andaya di Cambridge University Press mengatakan bahawa rujukan terawal untuk 'Laut Melayu' adalah dari dokumen Arab bertarikh c. 1000, yang menyatakan bahawa pelayar 'sampai ke Laut Melayu, menghampiri kawasan China'.

 

 

ninot

 

 

Walaupun lokasi tidak dinyatakan, Laut Melayu digambarkan di sekitar pesisiran pantai menunjukkan bahawa perairan ini pasti merupakan Selat Melaka.

 

Ini jelas dalam satu-satunya rujukan lain yang diketahui seperti Huraian Melaka, Meridional India dan Cathay yang ditulis pada tahun 1613 oleh Emanuel Godinho de Eredia, yang dilahirkan di Melaka.

 

Eredia merujuk kepada Laut Melayu sebagai 'laut tertutup darat antara daratan Ujong Tanah [Semenanjung Tanah Melayu] dan Golden Chersonese [Sumatera]'.

 

Pada tahun 1821, peta British oleh John William Norie menunjukkan laut sekitar Tanah Melayu dipanggil Malayan Seas seperti yang ditunjukkan di peta ini.

 

Peta pengembara dan saintis Alfred Russell Wallace pada tahun 1863 pula memanggil lautan di sekeliling ‘Malay Peninsula’ dan kepulauan Melayu sebagai Shallow Sea.

 

 

ninot

 

 

Hakikatnya, Dunia Alam Melayu ini begitu memukau perhatian selama lebih 2000 tahun dahulu dan telah ujud dalam peta-peta terawal dunia. Adalah penting untuk mengikuti perkembangan peta dunia supaya kita faham geo-politik berzaman negara kita.

 

Hargailah sejarah, legenda dan khazanah bumi bertuah ini.

 

Inilah kekuatan kita, jangan dipersia-siakan.

 

 

Ninot Aziz merupakan penggiat seni dan kebudayaan Melayu, dari bzBee Consult, aktif menulis di dalam pelbagai medium seperti akhbar dan menerbitkan buku-buku seperti Bentala Naga - A Makyung Tale dan Lipur Lara Nusantara dan kini menulis menerusi kolum Dari Hikayat Kita di DagangNews.com, setiap Sabtu.   Emel : ninotaziz@gmail.com

 

Klik di sini untuk koleksi DARI HIKAYAT KITA

 

 

Portfolio Tags