Skip to main content

MPC perkenal Polisi Pemberi Maklumat, lapor pelanggaran integriti

 

 

KUALA LUMPUR 12 Okt. - Peraturan yang berkualiti berdasarkan proses pembangunan dan penguatkuasaan yang telus, efektif dan efisien serta budaya kerja berorientasikan kecemerlangan adalah asas yang menyumbang kepada ekosistem peraturan lebih tangkas.

 

Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) sentiasa menyokong dan melaksanakan usaha-usaha pengukuhan integriti, tadbir urus dan anti rasuah dalam organisasi selari dengan perubahan dan keperluan komuniti perniagaan dan industri. 

 

Menurut Ketua Pengarah MPC, Datuk Abdul Latif Abu Seman, terdapat perkaitan yang rapat di antara amalan integriti dan anti rasuah sesebuah negara dengan kadar pertumbuhan produktivitinya. 

 

Sehubungan itu, katanya, adalah menjadi dasar kerajaan untuk memantapkan integriti penjawat awam dengan pengamalan tadbir urus yang baik secara lebih menyeluruh dan sistematik.

 

Beberapa usaha telah dilaksanakan oleh MPC dalam pemantapan integriti untuk meningkatkan lagi kepercayaan pelanggan dan organisasi yang berurusan dengan MPC.

 

"MPC telah mengorak langkah memperkasa agenda integriti kepada warganya bermula dengan pembangunan Polisi Tanpa Hadiah pada 2017 yang bertujuan mengawal aktiviti menerima dan memberi hadiah agar tidak menjejaskan integriti dan imej perkhidmatan awam. 

 

"Ia kemudian disusuli dengan Ikrar Bebas Rasuah yang disaksikan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuan Malaysia (SPRM) yang mencerminkan komitmen MPC untuk menjadi sebuah organisasi yang tangkas dan telus dengan mengamalkan tadbir urus korporat yang cekap," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Kewujudan Unit Integriti MPC merupakan batu loncatan untuk lebih serius dalam menggerakkan agenda integriti nasional. 

 

Pelan Anti Rasuah Organisasi (OACP) di peringkat MPC yang dikenali sebagai ACP MPC 2021-2025  dibangunkan dengan kerjasama pelbagai Bahagian dan Unit di dalam MPC bagi memastikan ia dapat memberi impak positif secara menyeluruh di dalam kualiti penyampaian perkhidmatan warga MPC kepada pihak-pihak berkepentingan. 

 

Abdul Latiff berkata, buat kali pertama, MPC akan memperkenalkan Polisi Pemberi Maklumat sebagai melengkapi pengemaskinian saluran aduan bagi memudahkan warga MPC atau orang awam melaporkan pelanggaran tatalaku atau integriti, secara berstruktur dengan jaminan bahawa identiti mereka dilindungi dan dirahsiakan. 

 

"Di samping itu, Polisi Percanggahan Kepentingan juga akan dibangunkan sebagai panduan kepada kakitangan MPC dalam menangani isu percanggahan kepentingan. Pelaksanaan inisiatif ini dijangka bermula pada awal tahun hadapan," tambahnya. - DagangNews.com