Mr DIY sasar jana RM2.1 bilion daripada IPO | DagangNews Skip to main content

Mr DIY sasar jana RM2.1 bilion daripada IPO

KUALA LUMPUR 24 Sept. – Kumpulan Mr DIY (M) Berhad merancang untuk disenaraikan di Papan Utama Bursa Malaysia dengan penerbitan 941.49 juta saham baharu dan saham biasa sedia ada sebagai sebahagian daripada tawaran awam permulaan (IPO).

Dalam kenyataan hari ini, peruncit pelbagai barangan itu akan menawarkan sebanyak 470.75 juta saham IPO kepada pelabur bumiputera yang diluluskan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, dan sebanyak 309.21 juta saham biasa sedia ada kepada pelabur institusi tempatan dan terpilih, institusi asing dan pelabur terpilih luar dari Amerika Syarikat (AS) dan pembeli institusi berkelayakan di AS.

Syarikat itu juga menawarkan sejumlah 36 juta saham biasa baharu kepada pengarah dan kakitangan syarikat selain individu layak yang telah ‘menyumbang kepada kejayaan Mr DIY’ dan 125.53 juta saham biasa baharu kepada orang ramai.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Adrian Ong berkata, acara ini adalah tonggak pencapaian besar bagi Mr DIY dan membawa syarikat lebih dekat untuk menjadi syarikat tersenarai awam.

“Walaupun pasaran telah terjejas teruk oleh pandemik COVID-19 sejak beberapa bulan lalu, kita telah tabah sebagai sebuah kumpulan dan kami gembira memperoleh peluang ini untuk memulakan fasa seterusnya pertumbuhan syarikat,” katanya.

“Memasuki pasaran modal akan membantu mempercepatkan pelan pertumbuhan kami, ketika kami berterusan menambah rangkaian kedai-kedai kami untuk meraih manfaat daripada sektor runcit penambahbaikan kediaman yang tidak ramai pemain di Malaysia. Ini seterusnya memperteguhkan kedudukan Mr DIY sebagai peruncit penambahbaikan kediaman terbesar di negara ini,” katanya.
 

diy
Adrian Ong


Sementara itu sumber memberitahu The Edge bahawa penyenaraian itu mungkin berlangsung pada suku keempat tahun ini, didorong oleh pemulihan berbentuk V daripada impak tempoh PKP  COVID-19 yang menjejaskan syarikat itu.

Menurut Bloomberg pula, IPO itu menyasarkan untuk menjana kira-kira AS$500 juta (RM2.1 bilion). Ia telah ditunda dua kali — akhir tahun lalu dan suku pertama tahun ini, disebabkan PKP.

Menurut Mr DIY, ia mengendalikan 640 kedai di seluruh negara dan empat kedai di Brunei di bawah jenama Mr DIY setakat 6 September lalu. Ia juga mengendalikan rantaian kedai Mr Toy yang menjual alat permainan dan produk untuk kanak-kanak dan bayi pada harga murah, dan Mr Dollar, yang menjual barangan F&B dan kediaman pada harga RM2 atau RM5.

Syarikat telah memeterai perjanjian taja jamin dengan CIMB Investment Bank, Maybank Investment Bank, RHB Investment Bank, AmInvestment Bank, Hong Leong Investment Bank dan Kenanga Investment Bank.

CIMB IB, Maybank IB dan RHB IB adalah penaja jamin pengurusan bersama dan penaja jamin bersama, manakala AmInvestment, Hong Leong IB dan Kenanga IB adalah penaja jamin bersama bagi proses IPO. – DagangNews.com