8 cara komunikasi seminggu terakhir menuju ke PRU15 | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
MULANYA DI SINI - 14 Nov 2022 08:07 AM

8 cara komunikasi seminggu terakhir menuju ke PRU15

Oleh Muhammad Addin Burhanuddin

 

 

 

DEBARAN semakin dekat dan terasa. Tinggal beberapa hari sahaja lagi lebih 21 juta pemilih berdaftar pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan turun mengundi.

 

Kesemua calon kian hebat menggandakan kempen bagi menarik minat hati pengundi. Manifesto dan janji dibentangkan demi memberikan kebaikan kepada kesejahteraan hidup rakyat.

 

Pengundi selalunya akan memberi undi mereka kepada mana-mana ahli politik atau parti politik yang menawarkan janji yang baik melalui manifesto mereka dan juga teringat janji manifesto dulu yang tidak dipenuhi.

 

Namun adakah pengundi terutamanya pengundi baharu bersedia untuk memilih calon yang bakal mewakili mereka di Parlimen atau Dewan Undangan Negeri?

 

Persoalan ini masih lagi berlegar-legar dalam pemikiran pengundi, terutama dalam memutuskan calon yang mana yang akan dipangkah pada PRU15 ini.

 

 

PRU15

 

 

Berikut adalah petua, panduan dan kaedah yang masih boleh calon-calon aplikasikan di dalam kempen seminggu terakhir ini:

 

  1. Mahir Berkomunikasi

Pensyarah Kanan Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Jamaie Jamil telah berkongsi beberapa ciri penting yang boleh dipertimbangkan sebelum pengundi menunaikan tanggungjawab mereka.

 

Antaranya adalah calon yang mahir berkomunikasi. Kemahiran ini sangat diperlukan kerana calon yang dapat menyampaikan visi dan misi yang mudah difahami selain mereka mampu berinteraksi dengan segenap masyarakat.

 

Kebolehan mendengar rintihan rakyat dan menyelesaikan aduan menjadi dambaan pengundi, bukannya hanya pandai berjanji kosong sahaja.

 

Dengan kemahiran komunikasi yang baik, ia dapat memberikan keyakinan kepada pengundi bahawa wakil rakyat yang bakal dipilih mampu untuk membawa isu dan aduan mereka ke peringkat atasan.

 

  1. Komunikasi Berkesan

Hubungan manusia didasari oleh komunikasi yang baik dan berkesan. Melaluinya, kita dapat memahami diri sendiri serta orang lain.

 

Dalam komunikasi berkesan, penting untuk melibatkan penggunaan deria manusia. Antaranya mata, telinga, mulut, hati dan sentuhan.

 

Proses komunikasi melibatkan manusia yang mempunyai akal dan perasaan. Interaksi dan komunikasi yang hanya menggunakan akal atau perasaan semata, tidak akan berkesan kerana ianya kurang menyeluruh.

 

Seorang yang mempunyai tahap kemahiran perhubungan interpersonal yang tinggi dan komunikasi berkesan menggunakan deria manusia dengan bijaksana.

 

Mereka bercakap dengan baik, melihat dengan nyata, mendengar dengan aktif dan merasa dengan hati akan apa yang didengar atau disampaikan.

 

  1. Tingkah laku

Tingkah laku adalah salah satu kemahiran dalam komunikasi berkesan. Mereka menggunakan sepenuhnya deria dan fizikal untuk berinteraksi di antara satu sama lain.

 

Kebanyakan individu yang mempunyai tahap komunikasi interpersonal yang tinggi kerana kemahiran mereka menggunakan dengan berkesan deria dan fizikal yang dianugerahkan.

 

  1. Komunikasi Mata

Ini adalah antara kemahiran komunikasi yang terpenting. Pertembungan mata dianggap normal dalam jangka masa 5 saat.

 

Ia memberikan gambaran komitmen dalam menjalinkan perhubungan melalui perbualan atau percakapan.

 

Komunikasi yang tidak melibatkan pertembungan mata biasanya menggambarkan rasa kurang percaya, rasa hormat dan akan mengurangkan kepercayaan seseorang.

 

  1. Kedudukan tubuh dan pergerakan

Cara seseorang itu berdiri membayangkan tanggapan terhadap diri mereka. Bagi menggambarkan seseorang yang positif, kedudukan tubuh hendaklah tegak, tidak membongkok dan ke hadapan ketika berinteraksi.


 

ya

 

 

  1. Mimik muka

Mimik muka menggambarkan perasaan seseorang ketika itu. Individu yang berkemahiran tinggi mampu dan bijak menyembunyikan perasaan di dalam dan tidak sedikit pun tergambar di wajah.

 

Dalam hubungan interpersonal, senyuman memainkan peranan yang paling penting. Mereka seharusnya pandai menggunakan senyuman untuk menghampiri atau dihampiri.

 

  1. Penampilan

Persepsi orang lain terhadap kita pada awal pertemuan adalah ditentukan oleh keterampilan diri. Sebahagian besar keterampilan adalah daripada pakaian.

Pakaian sesuai adalah bila mana seseorang itu berasa selesa untuk memakainya, sesuai dengan majlis sama ada secara formal atau pun tidak.

 

  1. Suara

Suara adalah aset terpenting dalam komunikasi. Ia boleh menyebabkan pendengar untuk terus minat mendengar atau membantutkan minat mereka. Suara juga mempengaruhi penghantaran dan penerimaan sesuatu mesej.

 

Ia dapat menggambarkan  kesungguhan, kesedihan, gembira dan sebagainya. Tidak dapat dinafikan, suara yang baik mampu untuk menawan dan mempengaruhi hati pendengar atau audiens.

 

Bunyi suara adalah anugerah daripada Tuhan, tetapi kita mampu untuk mengawalnya supaya kedengaran lebih baik.

 

Pada amnya, penting untuk membuat sebutan dengan jelas, yakin dan memberi penekanan yang tepat di samping menggunakan kepelbagaian nada dengan bijak. Dengan suara dan penggunaan ayat yang tepat, dapat menggambarkan  keyakinan dan menjadi asas kepada kepercayaan seseorang terhadap diri sendiri.


 

mulanya di sini

 


Akhir kata, komunikasi sangat penting untuk kemenangan calon pilihan raya.

 

Pemilihan kaedah komunikasi yang tepat meningkatkan lagi imej seseorang calon itu di mata pengundi.

 

Oleh yang demikian, setiap calon pilihan raya sewajarnya merangka, mengaplikasikan serta meneliti kaedah komunikasi daripada semasa ke semasa.

 

Selamat mengundi rakyat Malaysia!

 

Muhammad Addin Burhanuddin adalah Pensyarah Kanan Pengurusan, Fakulti Pengurisan & Perniagaan, UiTM Cawangan Johor, Kampus Segamat
parafrasa