Dunia baharu sektor informal | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
MULANYA DI SINI - 12 Sep 2022 07:00 AM

Dunia Baharu Sektor Informal

Oleh Nazurah Abdul Malek & Dr. Marziah Mokhtar

 

 

 

SUMBANGAN guna tenaga dalam sektor informal terhadap pasaran buruh negara adalah penting dan tidak boleh dipandang ringan.

 

Sektor informal dapat didefinisikan secara umum sebagai entiti yang terlibat dengan pengeluaran barangan atau perkhidmatan dengan objektif utama mencipta pekerjaan dan menjana pendapatan.

 

Kriteria utama sektor informal adalah pertubuhan tidak berdaftar dengan mana-mana agensi seperti Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), badan profesional dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

 

Mengikut laporan Jabatan Perangkaan Malaysia, sebanyak 1,383,084 individu atau peniaga dari sektor informal dan industri mikro telah direkodkan pada tahun 2021.

 

Landskap sektor kerja termasuk sektor informal kini turut terkesan apabila teknologi digital digunakan secara meluas. Penguasaan teknologi pendigitalan memberikan satu nafas baharu kepada usahawan untuk turut serta dalam arus perdana.

 

Krisis COVID-19 juga telah menjadikan dunia digital lebih pesat diguna pakai oleh semua lapisan masyarakat. Jabatan Perangkaan Malaysia telah melaporkan penggunaan internet meningkat dengan ketara bagi perkhidmatan berkaitan e-Pembelajaran, e-Kesihatan, e-Kerajaan, e-Dagang dan e-Hiburan pada 2020 impak daripada pandemik COVID-19.

 

Keadaan ini menyumbang kepada peningkatan kesegeraan untuk mengguna pakai serta mentransformasi struktur industri dan model perniagaan dengan nilai baharu melalui model perniagaan platform digital.

 

 

mulanya di sini

 

 

Seringkali apabila sektor informal disebut, maka pemahaman umum adalah mereka yang bekerja sebagai pembina rumah, pengasuh kanak-kanak, penjaja makanan, pembuat roti dan kek, pemotong rumput, buruh binaan (kerja-kerja bangunan), jurujual jalanan, tukang jahit pakaian, jurujual pasar, penghantar makanan, guru tuisyen dan mengaji al-Quran.

 

Tanggapan bahawa pekerjaan dalam sektor informal hanyalah mereka yang bekerja sendirian, namun sebenarnya, wujud hubungan pekerjaan informal dalam kalangan majikan firma kecil.

 

Sektor informal boleh dibincangkan melalui pecahan mengikut industri di mana pada tahun 2019 hampir dua per tiga guna tenaga dalam sektor informal tertumpu dalam industri perkhidmatan diikuti pembinaan.

 

Aktiviti perdagangan borong dan runcit; pembaikan kenderaan bermotor dan motosikal mendominasi industri perkhidmatan diikuti aktiviti penginapan dan perkhidmatan makanan dan minuman. Secara keseluruhan, pekerjaan dalam sektor informal di Malaysia pada tahun 2019 mencatatkan 95.7% pekerja berkemahiran rendah dan sederhana.

 

Namun, perkembangan dan kepelbagaian aktiviti yang disokong dengan penggunaan internet yang meluas, menghasilkan satu dimensi sektor informal baharu yang aktif beraksi dalam platform media sosial.

 

Kini, pengguna di seluruh dunia bergerak secara dramatik ke arah saluran dalam talian, menyebabkan lebih banyak industri, perniagaan, startup, Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS), dan peniaga kecil-kecilan, berlumba-lumba untuk mengintegrasikan digital dalam perniagaan mereka serta menyertai pasaran digital untuk mempromosikan barangan dan memenuhi permintaan.

 

 

mulanya di sini

 

 

Kita kini berada dalam era moden di mana kaedah pemasaran konvensional sudah menjadi kurang sesuai untuk sampai ke sasaran yang lebih besar. Bagi pekerja dan perusahaan, adalah penting dalam mengubah keadaan kerja bagi meningkatkan produktiviti lebih-lebih lagi dengan penglibatan dalam ekonomi digital.

 

Penjualan terus barangan menjadi lebih mudah dan sistematik dengan wujudnya pelbagai platform e-dagang seperti Shopee, Lazada, Instagram, Facebook dan sebagainya yang dapat menyatukan kedai dalam talian dengan menghubungkan penjual dan pembeli.

 

Sehubungan dengan ini, perkhidmatan secara atas talian juga rancak dipromosikan secara dalam talian. Sebagai contoh, servis penghantaran barang secara dalam talian bukanlah sesuatu yang baharu dalam kalangan kita, dan ia juga tidak terjadi dalam tempoh yang sekejap.

 

Pengguna mula membeli secara atas talian sejak berdekad lalu, hanya baru-baru ini sahaja perniagaan e-dagang mula memacu momentum. Khidmat penghantaran makanan juga adalah sebahagian daripada industri penghantaran yang mana pengguna boleh memesan makanan melalui aplikasi seperti GrabFood, FoodPanda, perniagaan makanan dan minuman seperti Domino’s Pizza dan McDonald’s.

 

Pengguna bukan sahaja dapat mencari barangan dengan lebih mudah melalui pelbagai platform, pasaran perkhidmatan dalam talian juga turut tersedia. Sebagai contoh, pengguna kini boleh membeli atau memesan perkhidmatan rumah seperti servis penghawa dingin, perpaipan dan sebagainya daripada vendor tempatan berdasarkan jenis permintaan dan membayarnya dalam talian.

 

Pasaran perkhidmatan rumah seperti platform Recommend.my, memadankan pengguna dengan profesional perkhidmatan di kawasan setempat mereka. Pelanggan hanya membayar perkhidmatan apabila pembekal menyelesaikan kerja atau, dalam beberapa kes, pada masa pelantikan.

 

 

mulanya di sini

 

 

Strategi pemasaran yang terbaik untuk mengembangkan perniagaan dalam talian dan mendapatkan lebih ramai pelanggan adalah melalui jaringan media sosial seperti Facebook, YouTube dan Instagram, manakala dari segi aplikasi pula, antara yang popular digunakan oleh rakyat Malaysia adalah WhatsApp, Facebook Messenger dan Telegram.

 

Selari dengan perkembangan teknologi media sosial dan gaya hidup sosial terkini, pembekal barangan dan perkhidmatan dalam sektor informal juga lebih gemar menggunakan platform sedemikian dalam membantu mereka berhubung dan berinteraksi dengan pelanggan.

 

Hal ini sebenarnya menjamin capaian pelanggan yang lebih luas. Sebagai contoh yang boleh diberikan adalah mana-mana perkhidmatan tidak berdaftar seperti tuisyen dalam talian, khidmat jurusolek, jurugambar dan juruvideo bebas, pembekal makanan dan minuman, dan sebagainya.

 

Tidak dinafikan, pertumbuhan ekonomi gig juga membuka ruang kepada individu dalam mencari peluang pekerjaan atau menambah pendapatan. Rata-rata sektor informal dilihat menjadi landasan kepada pemasaran produk syarikat berdaftar.

 

Sebarang medium aktiviti dalam sektor informal, sama ada secara legal atau tidak, boleh menjadi parasit kepada ekonomi utama. Aktiviti ini sebenarnya mengelak daripada membayar cukai dan mematuhi perundangan dan peraturan kerana mereka tidak mengisytihar dan berdaftar.

 

Secara langsung, ini boleh meningkatkan risiko hilang hasil kutipan cukai negara dan membantutkan kadar pertumbuhan ekonomi dan infrastruktur negara.

 

 

mulanya di sini

 

 

Pada awalnya, perusahaan dalam sektor informal dipercayai mampu menjadi batu loncatan kepada kekayaan dan sektor ini akan lenyap mengikut peredaran masa yang semakin berubah. Ramai penganalisis dasar percaya bahawa pertumbuhan dalam sektor formal lazimnya akan mengecutkan sektor informal tetapi selepas beberapa dekad memberi tumpuan kepada sektor formal, sebaliknya berlaku. Malahan, sektor informal dilihat semakin berkembang.

 

Strategi peralihan daripada ekonomi informal kepada ekonomi formal, atau nama lainnya pemformalan, perlu memasukkan peranan dan kepentingan ekonomi digital termasuklah platform media sosial kerana interaksi antara dua ini dan kesannya adalah sangat jelas. Pemformalan ialah proses membawa perniagaan informal di bawah payung kawal selia dan memberi peniaga akses kepada sumber formal.

 

Selaras dengan salah satu matlamat strategik visi Pelan Induk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) (2011-2020) iaitu meningkatkan pemformalan perniagaan sebagai insentif kepada inovasi, pertumbuhan dan menggalakkan persaingan yang adil. Program berimpak tinggi ini menggalakkan pembentukan perniagaan baharu serta meningkatkan pemformalan perniagaan dengan menyediakan satu gerbang maklumat untuk pendaftaran dan pelesenan perniagaan.

 

Teknologi digital telah dikenal pasti dengan jelas sebagai pemboleh daya paling penting yang boleh merapatkan jurang sektor formal-informal. Ketersediaan pelbagai platform serta penglibatan agen ekonomi, seperti isi rumah sebagai pembeli dan pengusaha sebagai pembekal, memudahkan lagi pihak kerajaan memantau dan kawal selia aktiviti perniagaan dalam talian. - DagangNews.com

 

 

Nazurah Abdul Malek adalah Pensyarah dari Jabatan Pengajian Ekonomi dan Kewangan, Fakulti Pengurusan dan Perniagaan (FPDP), UiTM Cawangan Selangor, Kampus Puncak Alam.
dan
Dr. Marziah Mokhtar adalah Pensyarah Kanan Ekonomi dari Pusat Asasi, UiTM Cawangan Selangor, Kampus Dengkil.