MEDIA SOSIAL BERUPAYA MEMFORMALKAN SEKTOR INFORMAL
Oleh Dr. Marziah Mokhtar & Nazurah Abdul Malek
PLATFORM media sosial seperti Facebook, Twitter, YouTube, TikTok dan Instagram, berkembang pesat dalam masyarakat hari ini.
Platform dalam talian ini membolehkan sesiapa sahaja mencipta, mengedar, berkongsi dan bertukar maklumat dalam pelbagai format dan dengan berbilang komuniti.
Media sosial pada asalnya wujud untuk membantu pengguna berhubung secara digital dengan sahabat handai, rakan sekerja, ahli keluarga atau dengan individu yang mungkin tidak pernah mereka temui secara langsung.
Pertumbuhan pengguna media sosial tidak terhad kepada golongan remaja sahaja, tetapi juga didominasi oleh Generasi X.
Pengguna seakan-akan membawa komuniti mereka bersama-sama ke mana sahaja mereka pergi dengan kemunculan aplikasi media sosial dalam telefon pintar.
Malaysia telah merekodkan 28 juta pengguna aplikasi media sosial atau 86 peratus daripada penduduk negara ini pada tahun 2019. Media sosial kini mempunyai pengaruh yang amat besar dalam kehidupan masyarakat hari ini.
Dalam masa kurang dari satu generasi, media sosial telah berkembang daripada pertukaran maklumat elektronik langsung, kepada tempat perhimpunan maya, kepada platform runcit dan e-dagang, dan kepada alat pemasaran abad ke-21 yang sangat penting.
Peniaga mengambil kesempatan daripada keupayaan mobiliti ini dengan memberi perkhidmatan kepada pelanggan mereka iaitu melalui kaedah interaksi baharu yang lebih mudah.
Sebagai contoh, cara baharu membeli barangan dan perkhidmatan. Kini, penggunaan media sosial berkembang kepada satu tahap yang lebih produktif iaitu sebagai jaringan perniagaan.
Lonjakan dalam teknologi maklumat dan komunikasi menawarkan lebih fleksibiliti untuk menyampaikan perkhidmatan dari mana sahaja ke mana-mana lokasi lain.
Ini sebenarnya membantu perniagaan kecil dengan kuasa dan akses yang sama seperti firma besar kerana capaian kepada pelanggan kini lebih meluas dengan adanya media sosial yang diguna pakai oleh kebanyakan orang pada hari ini.
Gabungan pengiklanan, atau pemasaran media sosial berbayar dan jangkauan media sosial yang berkembang menjadi pemasaran digital yang dikenali sebagai pemasaran media sosial.
Selain itu, data yang mendedahkan tabiat pengguna dari masa ke semasa boleh disepadukan ke dalam strategi media sosial jangka panjang. Contohnya, Facebook Insights menunjukkan masa pengguna paling aktif di dalam platform.
Maklumat ini boleh digunakan untuk menentukan masa terbaik untuk menyiarkan kandungan baharu, memberikannya peluang yang lebih baik untuk dilihat pengguna.
Dalam masa yang sama, norma baharu digital juga telah membuatkan manusia lebih kreatif dalam menjana pendapatan melalui platform seperti Youtube dan Tiktok. Aplikasi ini membenarkan pengguna untuk bersiaran langsung, memuat naik, menonton, berkongsi serta mengulas pelbagai jenis kandungan dengan kreativiti masing-masing.
Pelbagai jenis kategori boleh didapati di laman ini seperti perkongsian mengenai kereta, vlog melancong, tutorial solekan, fesyen, ulasan produk, video unboxing, permainan digital dan juga banyak lagi.
Selain melahirkan generasi yang lebih kreatif, aplikasi ini secara tidak langsung mampu memberi pendapatan.
Dikatakan semenjak tahun 2021, asas pembayaran daripada platform Youtube bukan sahaja daripada jumlah tontonan per minit tetapi melalui bilangan iklan yang ditonton dan jenis iklan yang dipaparkan di halaman mereka.
Pendapatan sebulan melalui Youtube dikatakan boleh mencecah sehingga RM23,000 sebulan.
Bagi sesetengah orang, tidak dinafikan cara ini mampu menambah pendapatan sedia ada, malah berupaya menjadi sumber pendapatan utama lebih-lebih lagi kepada pengguna yang mempunyai subscriber dan pengikut yang ramai.
Di samping itu, trend terkini video durasi pendek dalam aplikasi media sosial seperti Tiktok dan Instagram merupakan satu medium penjanaan pendapatan dengan cara penjualan ringan (soft selling) iaitu mengulas atau mempamerkan barang-barang seperti produk kecantikan, makanan, fesyen dan sebagainya.
Pemasaran pempengaruh (influencer) ditakrifkan sebagai ‘sejenis pemasaran media sosial yang menggunakan pengendorsan produk daripada influencer iaitu individu yang berdedikasi dan dilihat sebagai pakar dalam bidang mereka dan mempunyai pengikut sosial yang ramai’.
Walau bagaimanapun, trend ini membimbangkan apabila kebanyakan generasi muda lebih gemar menjadi pereka kandungan (content creator) atau nama lainnya pempengaruh (influencer) sebagai pendapatan utama mereka.
Tidak dinafikan, ada sesetengah pengguna menghasilkan kandungan dengan tiada asas ilmu dan kualiti, asalkan dapat meraih pendapatan tanpa memikirkan bahawa kandungan mereka boleh mempengaruhi penonton secara negatif.
Kebimbangan ini akan lebih serius apabila ia dijangka akan memberi impak jangka panjang kepada modal insan negara.
Isu ini bukan sahaja bakal meningkatkan ketidakpadanan pekerjaan dan kemahiran yang boleh menjejaskan daya produktiviti, malah meningkatkan lagi kekurangan pekerja mahir sedia ada.
Tambahan lagi, hal ini disokong oleh laporan daripada Jabatan Perangkaan Malaysia yang menyatakan kira-kira 390,000 atau 72.1 peratus pelajar lepasan SPM tidak berminat melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi dan mereka lebih gemar terlibat dalam ekonomi gig yang boleh memberikan mereka pendapatan. Trend ini dipercayai bakal berterusan pada masa hadapan.
Selain daripada impak sosial, semestinya perkara ini akan memberi kesan kepada ekonomi dengan meningkatnya sektor informal negara.
Rata-rata pengguna yang menggunakan media sosial sebagai medium sumber pendapatan sama ada utama atau sampingan, tidak mengisytihar dan berdaftar. Aktiviti penjanaan pendapatan sedemikian dikategorikan sebagai kerjaya.
Oleh itu, mereka yang terbabit perlu mengisytiharkan pendapatan, dan dibenarkan menuntut perbelanjaan perniagaan dan pembayaran balik cukai, jika berkenaan.
Sekiranya cukai tidak dapat dikutip kerana tiada data yang lengkap, maka, secara langsung situasi ini boleh meningkatkan risiko hilang hasil kutipan cukai negara dan membantutkan kadar pertumbuhan ekonomi dan infrastruktur negara.
Sebagai contoh, pengelakan cukai berlaku di negara China yang mensabitkan penggiat di media sosial yang aktif bersiaran langsung dalam aplikasi MoMo, telah diperintah membayar sebanyak RM70.92 juta sebagai cukai tertunggak, lewat bayar dan denda kesalahan elak cukai dari tahun 2019 hingga 2020.
Selain itu, seorang pempengaruh media sosial yang popular di China telah didenda sebanyak RM924.3 juta pada Disember tahun lalu kerana gagal membayar cukai.
Oleh itu, pihak berkuasa perlu mengukuhkan lagi penyeliaan cukai dalam industri penyiaran langsung di media sosial kerana pendapatan kerajaan yang dapat diperoleh dari cukai pendapatan individu merupakan salah satu sumber dana bagi tujuan perbelanjaan kerajaan.
Secara ringkasnya, ekonomi digital adalah semua aktiviti yang melibatkan sumber pendapatan yang boleh dijana daripada penggunaan teknologi digital walaupun ada sebahagian pembayaran dibuat secara luar talian.
Hari ini, kerajaan lebih memfokuskan kepada pemformalan pekedai atau pengusaha perniagaan dalam sektor informal.
Namun begitu, kerajaan atau pihak berkuasa perlu lebih peka dan mengambil kira media sosial sebagai satu platform atau medium penjanaan pendapatan yang mana boleh menyumbang kepada ekonomi negara.
Sememangnya, proses pemformalan tidak mudah. Walaupun begitu, ia berupaya dilaksanakan dengan wujudnya data atau maklumat sedia ada di dalam platform media sosial yang akan memudahkan proses pemantauan aktiviti jual beli pengguna, serta pelbagai lagi perkhidmatan yang dilakukan dalam talian.
Hal ini memungkinkan satu bank data aktiviti atas talian dibentuk secara sistematik yang mampu menyumbang kepada misi penting negara iaitu untuk menjadikan negara sebagai peneraju menerajui ekonomi digital menerusi naratif Malaysia 5.0. - DagangNews.com