Melabur mampu memerangi inflasi, bukan simpan saja
Oleh Wan Muhd Faez Wan Ibrahim & Siti Salwa Hassan
INFLASI adalah kenaikan harga dan perkhidmatan dalam satu tempoh tertentu. Kesan inflasi yang berlaku pada masa kini bukan hanya memberi impak kepada negara kita bahkan ke seluruh dunia.
Krisis ini bertambah buruk apabila peperangan di antara Rusia dan Ukraine tercetus sehingga memberi impak global yang amat sukar untuk dielakkan.
Permintaan barangan dan perkhidmatan meningkat secara mendadak tidak mampu ditampung oleh pembekal dan pengeluar, keadaan ini sekaligus memaksa para peniaga dan penjual menaikkan harga barangan dan caj perkhidmatan bagi memenuhi permintaan yang tinggi oleh pelanggan.
Secara umumnya, tekanan inflasi berjalan seiring dengan pertumbuhan ekonomi sesebuah negara. Inflasi boleh berlaku apabila terdapat terlalu banyak wang di pasaran, menyebabkan harga produk meningkat.
Peningkatan harga barang memberi kesan yang negatif kepada rakyat jika pendapatan isi rumah adalah tidak seiring dengan peningkatan tersebut.
Memahami kadar kenaikan harga dari semasa ke semasa boleh membantu pengurusan kewangan seseorang individu. Berikut merupakan strategi mengatasi inflasi yang berkesan.
Rancang Perbelanjaan Barangan Runcit
Kos barangan runcit meningkat saban tahun. Pakar meramalkan akan berlaku kenaikan harga susulan peningkatan Kadar Dasar Semalaman (OPR) buat kali ketiga dalam tempoh setahun.
Kenaikan harga itu melibatkan barangan tertentu seperti makanan dan perkhidmatan. Berikut adalah petua untuk menjimatkan wang untuk barangan runcit:
Rancang perbelanjaan makanan
Membuat perancangan rapi dalam menentukan barangan yang bakal dibeli mampu menjimatkan masa dan juga wang ringgit ketika keluar membeli belah. Ini bagi mengelakkan kita membeli barangan yang bukan keperluan.
Pilih makanan yang kos efektif
Harga daging adalah antara yang paling tinggi disebabkan oleh inflasi, jadi makan lebih banyak makanan tanpa daging adalah satu cara untuk mengurangkan kos runcit.
Cuba bina makanan di sekitar ruji kos rendah seperti pasta, nasi, kacang kering atau tin, kentang dan telur. Buah-buahan dan sayur-sayuran dalam tin dan beku cenderung lebih murah daripada yang segar, dan menukar produk jenama nama untuk versi generik boleh membantu anda menjimatkan wang tanpa melihat perbezaan yang besar.
Membuat perbandingan harga di antara kedai
Bandingkan harga produk runcit yang memberi nilai terbaik. Anda boleh membuat perbandingan dengan melihat risalah atau laman web syarikat atau pasar raya tertentu. Ini kerana, setiap syarikat atau pasar raya menganjurkan promosi mingguan bagi memikat hati pelanggan.
Dengan cara ini anda juga mungkin boleh berjimat dengan membeli makanan dan barangan yang ditawarkan dengan harga yang paling rendah setelah perbandingan dilakukan.
Fokus Dalam Menguruskan Hutang
Semasa krisis kewangan, orang ramai cenderung untuk membuat pinjaman dari pihak tertentu. Institusi kewangan seperti bank banyak menawarkan fasiliti pinjaman yang menarik.
Ada di antara bank-bank komersial menawarkan kad kredit dengan faedah yang rendah atau tanpa faedah.
Namun, untuk membuat pinjaman akan mengeruhkan lagi keadaan. Kaedah menyatukan kesemua hutang adalah antara pilihan yang terbaik.
Ini membolehkan anda mendapat gambaran yang lebih jelas tentang jumlah hutang yang sebenarnya anda miliki.
Mungkin lebih mudah untuk berunding dengan pihak bank tentang kaedah pembayaran berdasarkan jumlah hutang dan juga komitmen bulanan yang anda mampu.
Walau bagaimanapun, strategi ini lebih efektif jika liabiliti anda adalah dalam jumlah yang boleh diurus.
Jika hutang anda telah mencapai saiz yang terlalu besar, anda masih gagal menguruskan kewangan anda, pilihan paling bijak adalah dengan menggunakan perkhidmatan perancang kewangan berlesen untuk membuat pengurusan kewangan.
Rancang Percutian yang Lebih Murah
Secara amnya tambang penerbangan pada tahun 2022 adalah lebih mahal berbanding dengan harga tambang pada tahun 2019. Dan dengan harga makan, hotel dan petrol juga dinaikkan, percutian tahun ini mungkin akan menelan kos lebih tinggi berbanding tahun-tahun sebelumnya.
Maka rancanglah percutian anda yang berdekatan dengan tempat tinggal, melawat tempat tarikan tempatan, makan di restoran murah, atau berehat di rumah mampu menjimatkan wang anda berkali ganda. Berjimat tidak bermaksud anda terpaksa mengorbankan percutian idaman anda, malah anda dapat mengelakkan dari berbelanja yang berlebihan.
Jika anda merancang untuk melancong tahun ini, rancanglah lebih awal untuk percutian bajet. Tempah penerbangan anda lebih awal, sekurang-kurangnya enam bulan lebih awal.
Anda boleh membuat perbandingan harga dengan melayari laman web seperti Kayak dan Skyscanner bagi mendapatkan harga yang optimum.
Mempunyai tarikh perjalanan yang fleksibel boleh membantu anda memilih penerbangan paling murah. Ini kerana harga tiket penerbangan berbeza-beza mengikut hari.
Membuat Pelaburan
Menyimpan wang tidak mampu mengatasi kadar inflasi, tetapi melaburkan wang anda di suatu tempat di mana ia akan memperoleh faedah yang lebih baik boleh mengurangkan kesan peningkatan inflasi.
Membuat pelaburan dalam saham merupakan salah satu kaedah yang berkesan untuk memerangi inflasi. Pemilihan stok dengan margin keuntungan tertinggi dan kos pengeluaran terendah adalah strategi untuk elak kerugian pada masa hadapan. Pembayaran dividen oleh syarikat juga mampu meningkatkan prestasi keseluruhan portfolio.
Pelaburan hartanah juga boleh menjadi pilihan bagi mengatasi masalah inflasi kerana nilai hartanah seperti rumah akan meningkat seiring dengan kadar inflasi.
Anda boleh menaikkan harga sewa rumah bagi meningkatkan pendapatan dan memastikan peningkatan tersebut selari dengan inflasi yang semakin meningkat.
Jika anda telah melabur dalam hartanah sebagai aset, nilai hartanah akan terus meningkat dan dalam masa yang sama bayaran bulanan kepada bank adalah sama.
Ini boleh meningkatkan pulangan pelaburan anda, selagi kadar pembiayaan anda tidak meningkat seiring dengan kadar inflasi. – DagangNews.com