Pemasaran Digital: Satu Anjakan Paradigma
Oleh Muhamad Addin Burhanuddin
MENGIMBAS kembali beberapa tahun lepas, ramai yang menganggap dunia pendigitalan adalah sesuatu yang asing dan ia tidak mempengaruhi gaya hidup masyarakat.
Hanya orang muda sahaja terdedah kepada penggunaannya, tidak kepada warga emas mahupun kanak-kanak.
Apabila wabak COVID-19 melanda pada awal tahun 2020, semuanya berubah dengan sekelip mata. Malaysia, seperti seluruh dunia terpaksa membuat penyesuaian bagi menghadapi norma baharu yang berpaksikan pendigitalan dan kesalinghubungan.
Pandemik ini, secara langsung mendedahkan kepentingan untuk mempergiatkan penambahbaikan infrastruktur digital negara ini, dan jurang digital yang wujud dalam kalangan masyarakat.
Tinjauan pendapat umum berkaitan kesan COVID-19 terhadap institusi keluarga pada 2020 hingga 2021 mendapati penggunaan teknologi digital semakin meningkat pada zaman pandemik COVID-19, kata Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN).
Tinjauan itu turut mendapati lebih separuh daripada responden menyatakan bahawa penggunaan teknologi digital semasa bekerja dari rumah telah meningkatkan tahap produktiviti kerja mereka.
Majoriti ibu bapa pula bersetuju akan pentingnya pembelajaran anak-anak secara dalam talian semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang telah membantu mereka memastikan proses pembelajaran anak-anak dapat diteruskan.
Dato’ Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin, Ketua Perangkawan Malaysia berkata:
“Peratusan capaian isi rumah kepada internet menunjukkan peningkatan kepada 95.5 peratus pada 2021 berbanding 91.7 peratus pada 2020. Pada 2021, capaian oleh isi rumah terhadap telefon bimbit dan komputer juga masing-masing meningkat kepada 99.6 peratus dan 88.3 peratus.”
Ketika kemuncak pandemik COVID-19, penggunaan internet di kalangan rakyat Malaysia berusia 15 tahun dan ke atas telah meningkat secara mendadak kepada 96.8 peratus pada 2021 berbanding 89.9 peratus pada 2020.
Antara faktor yang menyumbang kepada peningkatan ini adalah Program Pengajaran dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR) di mana murid terpaksa belajar dalam talian di rumah disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Pada tahun 2021, berdasarkan soal selidik yang dilaksanakan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, aktiviti internet yang paling popular adalah rangkaian sosial, manakala peningkatan penggunaan internet yang sangat ketara berkaitan aktiviti pembelajaran, sivik dan politik, e-Kesihatan, e-Kerajaan, e-Dagang serta hiburan.
Sama ada suka ataupun tidak, COVID-19 yang melanda seluruh dunia telah memaksa kita semua mengubah cara hidup serta ekonomi dari kaedah tradisional kepada teknologi digital.
Kaedah pemasaran tradisional juga sudah kurang relevan dan kini pemasaran digital adalah sangat diperlukan dalam perniagaan.
Pemasaran Digital
Digital dengan jelas merujuk kepada penggunaan teknologi itu sendiri. Pemasaran sesuatu produk atau perkhidmatan kepada pengguna/pelanggan menggunakan teknologi adalah pemasaran digital.
Terdapat banyak contoh kaedah pemasaran masa kini yang menggunakan teknologi sebagai platform antaranya seperti laman web, sosial media, video dan sebagainya.
Kepentingan Pemasaran Digital
Dengan perubahan gaya hidup masyarakat kini yang banyak menggunakan internet sebagai sumber maklumat, peniaga juga perlu mencari di mana pelanggan berada, iaitu di internet.
Menurut Ketua Perangkawan Malaysia, pada tahun 2021 sahaja, 95.5% rakyat Malaysia adalah pengguna Internet. Kaedah pemasaran digital dapat menghubungkan peniaga dengan sesiapa sahaja untuk menjual produk atau perkhidmatan. Berbeza dengan kaedah pemasaran tradisional, di mana ianya adalah terhad pada satu-satu masa.
Pemasaran digital juga membolehkan penjualan barangan dan perkhidmatan kepada pelanggan di seluruh dunia asalkan mereka mempunyai sambungan internet. Sasaran pelanggan anda juga lebih tertumpu kepada mereka yang mempunyai minat dengan produk atau perkhidmatan yang ditawarkan.
Pemasaran digital lebih murah dan berkesan dari pemasaran tradisional jika dilihat daripada sudut kos. Ini kerana penjual dapat menyasarkan kepada sasaran pelanggan yang tepat dan kebarangkalian untuk mereka membeli adalah tinggi.
Komunikasi dengan bakal pelanggan atau pelanggan juga semakin pantas. Segala kemusykilan dan pertanyaan dapat dijawab dengan segera menggunakan platform tertentu seperti live chat, media sosial dan sebagainya.
Sasaran bakal pelanggan yang lebih spesifik juga antara kelebihan pemasaran digital. Peniaga boleh menetapkan iklan di sosial media dan sebagainya mengikut peringkat umur, jantina, lokasi, kata kunci serta minat.
Ketika anda sedang bersiar-siar bersama teman, anda menceritakan keinginan untuk membeli kasut sukan yang baru. Selang 10 ke 15 minit kemudian, keluar iklan kasut di media sosial, e-mel ataupun platform jualan. Pasti anda pernah melihat dan merasainya. Sangat menarik.
Perubahan ini juga disokong penuh oleh pihak kerajaan di mana kerajaan Malaysia pada tahun 2021 telah melancarkan MyDigital dan Rangka Tindakan (Blueprint) Ekonomi Digital Malaysia.
MyDigital bertujuan untuk mengukuhkan sektor perniagaan terutamanya perniagaan kecil dan sederhana dengan transformasi digital supaya mampu bersaing di peringkat global. Ia juga bertujuan untuk meningkatkan kehidupan rakyat dengan ekonomi digital.
Pemasaran digital adalah terbuka kepada semua pihak, bukan sahaja peniaga berskala besar, malahan peniaga berskala sederhana dan kecil juga boleh terlibat sama. Dengan ini persaingan akan menjadi lebih terbuka, kompetitif dan adil kepada semua pihak.
Walau bagaimanapun, pemilihan strategi pemasaran digital perlu disesuaikan mengikut jenis perniagaan dan sasaran pasaran. Nampak mudah, tetapi perlu disesuaikan dengan strategi pemasaran digital yang tepat baru membuahkan hasil. - DagangNews.com