Pembudayaan dan Perluasan Ekonomi Gig di Malaysia
Oleh Dr. Marziah Mokhtar & Sabariah Yusoff
KEMAJUAN teknologi digital menyebabkan perubahan dalam pelbagai aspek iaitu ekonomi, cara kerja, kehidupan masyarakat, pembangunan negara dan juga alam sekitar.
Berteraskan Malaysia Digital Economy Blueprint, kerajaan Malaysia telah menggariskan pelan untuk memangkin dan memacu pertumbuhan Malaysia sebagai ekonomi berlandaskan teknologi digital.
Usaha ini dilihat penting kerana ia bakal mengurangkan kebergantungan negara kepada dasar ekonomi sedia ada. Perkembangan positif terhadap penggunaan teknologi digital telah membolehkan pelaksanaan platform gig sejajar dengan Revolusi Industri 4.0 (IR4.0).
Ekonomi gig, merupakan antara istilah yang mula menular bermula sekitar tahun 2008 ekoran dari krisis kewangan global. Budaya kerja ini juga dikenali dengan istilah collaborative economy atau sharing economy.
Kemunculan pelbagai platform digital yang berkaitan telah memberi ruang tambahan kepada penjanaan ekonomi rakyat Malaysia terutamanya yang terjejas sewaktu pandemik.
Selari dengan perkembangan ini, kerajaan memberi tumpuan khas kepada ekonomi gig sebagai sumber pertumbuhan ekonomi baharu dalam merangka Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12) 2021-2025.
Inisiatif ini bakal membabitkan sektor seperti pembangunan aplikasi, membangunkan infrastruktur digital, membangunkan modal insan berkemahiran digital, mewujudkan masyarakat digital yang inklusif dan mewujudkan ekosistem digital yang selamat dan beretika.
Ekonomi digital didefinisikan sebagai ekonomi dan aktiviti sosial yang melibatkan pengeluaran dan penggunaan teknologi digital oleh individual, perniagaan dan kerajaan.
Transformasi pendigitalan kerja yang bermula sewaktu kegawatan ekonomi Amerika Syarikat telah mencipta platform perantara penyedia perkhidmatan digital seperti Uber, AirBnB dan Lyft.
Oleh itu, ekonomi gig boleh ditakrifkan sebagai satu bentuk sistem pasaran berorientasikan teknologi digital, yang memberi kebebasan kepada organisasi dan pekerja untuk menjalani kontrak kerja suka sama suka mengikut keperluan pada sesuatu masa.
Dengan kata mudah ia menjadi sektor ekonomi yang merangkumi kerja sama ada low skill atau high skill, bersifat separa masa, sementara atau tugasan bebas yang fleksibel dari sudut masa dan tempat, tanpa ikatan kontrak dengan majikan yang tertentu.
Pekerja di platform gig dapat diklasifikasikan kepada model berasaskan ganjaran seperti yuran tetap (fixed-fee) yang dipersetujui semasa kontrak awal atau berdasarkan masa dan usaha (time & effort) iaitu jumlah kerja yang sebenar yang dijalankan atau kualiti kerja yang dilaksanakan atau kombinasi antara kedua-duanya.
Ekonomi gig mempunyai 2 jenis platform iaitu sebahagiannya adalah formal yang terkait dengan aspek bayaran dan akses kredit. Sebahagian yang lain pula adalah tidak formal yang meliputi pengurusan masa dan hubungan dinamik kerja.
Pada lazimnya bila disebut pekerjaan gig, kita akan tergambar pemandu Grab, Foodpanda mahupun Lalamove.
Sebenarnya, ada berbagai jenis pekerjaan ekonomi gig yang ditawarkan di Malaysia iaitu untuk pandu-seru (e-hailing) pengangkutan, terdapat GrabCar dan MyCar, dan yang khas untuk wanita adalah MakCikTravels dan RidingPink.
Terdapat juga perkhidmatan bebas (freelances) seperti jurugambar dan video dan bermacam lagi perkhidmatan yang boleh dilaksanakan secara digital.
Mengambil contoh seperti Favser yang merupakan platform bagi membangunkan laman sawang dan Fivver yang berkaitan kerja pendigitalan.
Wujud juga perkhidmatan gig bagi tujuan sosial seperti Locum (sebagai staf medik), Teman (Menemani atau menjaga warga emas), MyBump Media (tampal pelekat iklan pada kereta) dan Jompaw (jaga haiwan peliharaan).
Melalui penelitian, ekonomi gig di Malaysia mula ketara di fasa pandemik apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikenakan. Rakyat Malaysia yang diberhentikan kerja ketika itu memilih ekonomi gig sebagai sumber pendapatan alternatif.
Pilihan yang popular adalah sebagai penghantar (rider) barang, terutamanya keperluan asas pada awalnya. Malah tidak dapat dinafikan yang permintaan kepada perkhidmatan ini semakin rancak setelah berakhirnya PKP.
Buktinya, dalam tahun 2021, sejumlah empat juta individu, dari kalangan generasi muda khususnya, dinyatakan telah menyertai ekonomi gig untuk menjana pendapatan, secara separa ataupun sepenuh masa, berbanding hanya sekitar setengah juta sebelum berlakunya pandemik. Ini, jelas ekonomi gig telah menjadi budaya rakyat Malaysia.
Bagaimanapun, ekonomi gig mengandungi berbagai sudut kelemahan. Antaranya jumlah bayaran yang diterima oleh rider adalah sederhana sahaja sedangkan mereka perlu menampung berbagai jenis perbelanjaan untuk diri dan keluarga.
Dalam masa yang sama, segala kos penyelenggaraan kenderaan yang diguna pakai untuk tujuan pekerjaan terpaksa ditanggung sendiri.
Mereka juga, tidak menerima faedah insuran dan faedah kesihatan. Rider juga terdedah kepada eksploitasi dari pihak majikan yang mengguna khidmat mereka di mana desas-desus terkini mengatakan pendapatan serta insentif mereka dipotong hampir 40 peratus tanpa alasan.
Bertambah malang lagi, jumlah yang berkecimpung sebagai rider telah meningkat dan menimbulkan persaingan sehingga mungkin ada yang sanggup menawarkan khidmat dengan bayaran yang lebih murah.
Perkara ini sekali imbas baik untuk pengguna kerana upah penghantaran berkurang namun kesan negatifnya adalah kemungkinan mutu kerja yang dilakukan tidak memuaskan pelanggan.
Pelanggan mungkin akan mula hilang kepercayaan kepada perkhidmatan penghantaran yang akhirnya membantut perkembangan sektor ekonomi ini.
Lantaran itu, kerajaan perlu merangka pendekatan yang dinamik mencakupi bukan setakat menyediakan kemudahan fizikal, tapi juga berperanan mengawal dan menguatkuasa peraturan serta undang-undang agar semua yang terlibat, terutamanya rider terjamin kebajikannya.
Langkah ini perlu diambil memandangkan ekonomi gig ini membuka ruang untuk membendung pengangguran dari berlanjutan dan sekaligus berpotensi untuk menjadi pemangkin kepada pemulihan serta pertumbuhan negara.
Kewujudan ekonomi gig yang dipacu oleh kemunculan tech-enabled platforms, permintaan kepada pengurusan kerja yang fleksibel serta berkemahiran perlu dimanfaatkan sebaiknya untuk kesejahteraan rakyat ke arah Wawasan Kemakmuran Bersama 2030. – DagangNews.com