Pharmapreneur: Trend Masa Hadapan Profesion Ahli Farmasi
Oleh MOHD FAIZ MUSTAFFA
PERNIAGAAN lazim profesion ahli farmasi adalah sinonim dengan kedai farmasi. Ahli farmasi yang berkhidmat di kedai farmasi lebih dikenali sebagai komuniti farmasi.
Model perniagaan yang dijalankan oleh komuniti farmasi adalah hampir sama secara tradisi iaitu mengisi preskripsi ubat pesakit, membuat pemeriksaan kesihatan berkala seperti tekanan darah, paras gula dan paras kolesterol di dalam darah, komposisi badan serta memberi khidmat nasihat perihal ubat-ubatan dan penjagaan kesihatan.
Komuniti farmasi di negara maju seperti Amerika Syarikat, Kanada, United Kingdom, Emiriah Arab Bersatu, dan Australia telah memperluaskan peranan mereka dari berorientasikan ubat dan produk kesihatan kepada perkhidmatan penjagaan farmaseutikal.
Mereka mengoptimumkan penggunaan ubat-ubatan dan meningkatkan hasil kesihatan, yang komprehensif memberikan signifikasi dalam transformasi mutu perkhidmatan kesihatan yang berkualiti dan terbukti keberkesanannya.
Oleh sebab itu komuniti farmasi di negara maju tersebut lebih dikenali sebagai usahawan sosial (social entrepreneur atau SE) berbanding usahawan perniagaan.
Konsep SE di dalam profesion komuniti farmasi adalah nyata berbeza dengan jenis model perusahaan konvensional kerana SE memberi tumpuan dalam merealisasikan 17 matlamat pembangunan mampan (SDG) di mana komuniti setempat dapat menerima perkhidmatan farmasi klinikal dari kepakaran komuniti farmasi yang memberi impak dalam peningkatan kualiti hidup, inovasi sosial dan perubahan pada kumpulan sasar terlibat.
Di Malaysia, penjagaan kesihatan sering dianggap sebagai tanggungjawab sektor kerajaan oleh kebanyakan masyarakat ataupun tanggungjawab badan kebajikan NGO dan sektor swasta yang dilaksanakan secara berasingan menerusi mekanisme tradisi agensi berkenaan.
Platform SE di negara maju mewujudkan kolaborasi komuniti farmasi dengan pengamal perubatan dan profesion kesihatan yang lain dalam mengoptimumkan penjagaan kesihatan yang komprehensif kepada komuniti setempat.
Ini adalah satu cabaran bagi profesion komuniti farmasi yang perlu peka melakukan perubahan kreatif, inovasi, dan cepat mengadaptasi dalam menyampaikan perkhidmatan penjagaan farmaseutikal sejajar dengan konteks masa kini dan perkembangan teknologi.
Pembangunan dan perlaksanaan perkhidmatan farmasi klinikal baharu ini memerlukan komuniti farmasi selain mempunyai ketajaman dalam asas perniagaan yang kukuh, ia juga memerlukan kemahiran pemikiran kreatif dan inovatif untuk memajukan profesion dan perkhidmatan farmasi kepada komuniti.
Pandangan Brazeu di dalam American Journal of Pharmaceutical Education menampakkan kepentingan memupuk semangat keusahawanan dan inovasi di kalangan mahasiswa jurusan farmasi (Bachelor of Pharmacy (Hons), BPharm) demi memajukan sistem penjagaan kesihatan yang komprehensif pada masa hadapan.
Kemahiran inovasi dan keusahawanan adalah elemen kritikal dan keperluan mendesak yang diperlukan oleh graduan farmasi untuk terus mengembangkan dan menambah baik perkhidmatan farmasi klinikal di peringkat komuniti.
Kemahiran ini dapat menggalakkan graduan farmasi untuk menceburkan diri dalam penciptaan perkhidmatan, teknologi dan terapi berasaskan perkhidmatan kesihatan yang baharu dan inovatif.
Walaubagaimanapun, kemahiran inovasi dan keusahawanan boleh menjadi sukar untuk diajar, dinilai dan dipraktikkan kerana program pendidikan farmasi lebih memberi tumpuan akan elemen kurikulum teras yang meminimumkan liputan kemahiran ini dalam silibus pengajian BPharm.
Universiti Teknologi MARA (UiTM) mengambil langkah proaktif dalam memperkenalkan inisiatif education 5.0@UiTM dengan menerapkan ekosistem keusahawanan sebagai salah satu di dalam bidang utama yang dikenal pasti sebagai perintis rangka kerja universiti.
Sejajar dengan itu, kemahiran keusahawanan dan inovasi telah dimasukkan di dalam hasil pembelajaran kursus (Course Learning Outcomes, CLO) bagi beberapa subjek teras di dalam pelan pengajian BPharm UiTM seperti PHC560 Nutraseutikal, PHC663 Sains Kosmetik, PHC670 Farmasi Komuniti, dan PHC693 Keusahawanan di Farmasi selain subjek wajib universiti ENT530 Prinsip Asas Keusahawanan.
Fakulti Farmasi UiTM turut menjalankan memorandum perjanjian dengan satu syarikat farmaseutikal terkemuka di Malaysia, Duopharma (M) Sdn Bhd bagi menjalinkan kolaborasi latihan keusahawanan untuk pelajar BPharm UiTM khususnya.
Program Jalinan antara Universiti dan Industri (JATI) Duopharma X UiTM memberi peluang para pelajar menghadiri bengkel keusahawanan yang diadakan sebelum diberi modal untuk menjalankan perniagaan suplemen dan kesihatan dari pihak Duopharma itu sendiri.
Projek inisiatif tanggungjawab sosial university (USR) yang acapkali diadakan di komuniti setempat di Kawasan Puncak Alam dan juga perkampungan orang asli juga boleh diadaptasikan oleh graduan farmasi sebagai perusahaan sosial mereka.
Program-program seumpama ini mampu menggalakkan lebih ramai mahasiswa BPharm untuk mencorakkan masa hadapan mereka sebagai usahawan farmasi.
Program liberalisasi latihan siswazah ahli farmasi provisional (PRP) yang diperkenalkan oleh Lembaga Farmasi Malaysia membolehkan graduan menjalani latihan siswazah di premis swasta dan industri farmaseutikal telah membuka ruang dan peluang untuk graduan meneruskan kerjaya mereka di dalam pharmapreneur.
Persoalannya sekarang, beranikah mereka menyahut cabaran ini? - DagangNews.com
Mohd Faiz Mustaffa adalah Koordinator Akademi Pembangunan PKS & Keusahawanan Malaysia (MASMED), Fakulti Farmasi, Universiti Teknologi MARA