Semua mahu menikmati keselesaan hidup selepas bersara tetapi...
Oleh Dr. Marziah Mokhtar & Sabariah Yusoff
PERSARAAN adalah satu hakikat bagi setiap orang yang bekerja. Setelah berpuluh tahun membanting tulang empat kerat, mencari nafkah demi kelangsungan hidup, tiba masa kita lepaskan semua itu, sama ada secara wajib atau mungkin juga pilihan atas sebab tertentu.
Kita perlu merancang untuk persaraan dan tidak pernah terlalu awal untuk memulakannya.
Umumnya, umur persaraan bagi pekerja sektor kerajaan mahupun sektor swasta di setiap negara berbeza iaitu diantara 60 hingga 68 tahun.
Kebiasaannya penentuan had umur ini bergantung kepada jangka hayat purata di negara berkenaan.
Bagi Malaysia, umur persaraan adalah diantara 56 dan 60 tahun, yang disifatkan agak awal berbanding di negara lain.
Namun, statistik menunjukkan sekitar 45.2% rakyat Malaysia masih bekerja pada tempoh usia 55-64 tahun.
Dunia persaraan adalah satu dimensi baru kehidupan yang memerlukan persediaan seawal yang mungkin.
Setiap individu, walau apa pun jenis pekerjaan, sewajarnya membuat persediaan dari segi emosi, mental, fizikal dan juga intelektual untuk kelangsungan hidup yang selesa di alam persaraan nanti.
Golongan muda terutamanya yang baru memulakan kerjaya, mungkin sebagai langkah permulaan penyediaan diri perlu peka dengan berbagai maklumat berkaitan persaraan sungguhpun had umur bersara masih jauh.
Kesibukan bekerja di usia muda dalam mengejar berbagai matlamat yang bersifat kebendaan seperti memiliki rumah dan kereta antaranya, mungkin menyebabkan individu tidak cakna terhadap persaraan.
Bila umur menganjak ke angka empat puluhan, perlahan-lahan ketibaan persaraan mula dirasakan.
Persoalan tentang corak kehidupan yang bakal dilalui setelah bersara kini mula terdetik di minda.
Setiap individu pastinya mengharapkan keselesaan gaya hidup semasa masih bekerja terus berlangsung sehingga selepas bersara.
Oleh itu, sekurang-kurangnya penabungan perlu dibuat seawal mungkin sebaik sahaja bekerja bagi memastikan wang yang mencukupi untuk dinikmati ketika itu.
Selain itu wujud kepelbagaian portfolio pelaburan untuk memastikan wang bertambah selaras dengan sasaran persaraan.
Perkembangan dunia digital memungkinkan maklumat mengenai persaraan diperoleh dengan mudah.
Susulan itu, kesibukan kerjaya disertai dengan pengurusan keluarga sewajarnya tidak dijadikan alasan untuk mendapat berbagai input tentang bermacam aspek berkaitan persaraan.
Dengan kata lain, jangan tunggu usia sudah dalam lingkungan lima puluhan untuk bertindak kerana mungkin sudah terlewat untuk membuat sebarang perancangan.
Beberapa faktor yang perlu dipertimbangkan dalam merancang termasuklah jangka hayat, keadaan kesihatan, komitmen kewangan, keadaan tempat tinggal, kadar inflasi simpanan serta pelaburan.
Apa pun persediaan awal yang disarankan melibat beberapa langkah utama sebagaimana yang dikongsikan oleh kajian yang di buat. Antaranya adalah:
- menentukan pilihan umur untuk bersara
- melangsai hutang sebelum bersara
- membuat anggaran kos sara hidup ketika bersara
- membuat tabungan persaraan seawal mungkin
- mempelbagai jenis pelaburan
- merangka jenis kegiatan setelah bersara
- mempelbagaikan kemahiran yang boleh diguna pakai bila bersara
Kebanyakan individu yang bekerja sememangnya telah menabung untuk persaraan tapi hanya secara pasif iaitu melalui skim caruman wajib seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk sektor swasta atau Kumpulan Wang Persaraan untuk perkhidmatan awam.
Skim persaraan wajib ini terbukti bermanfaat, dan dirasakan sudah mencukupi untuk menyokong kehidupan setelah bersara.
Malangnya, perhitungan sebegini kurang tepat memandangkan krisis ekonomi akhir-akhir ini seperti isu kenaikan harga yang mendadak, pastinya menjejaskan nilai tabungan tersebut.
Pada hakikatnya keadaan lebih meruncingkan lagi apabila jumlah simpanan lebih kecil dari yang sepatutnya, disebabkan ramai yang mengeluarkan simpanan sebelum tiba umur bersara.
Antara sebab pengeluaran sebelum sampai tempoh matang adalah bagi tujuan pembiayaan perumahan, kesihatan dan pendidikan.
Menurut KWSP, 70% ahli yang mengeluarkan simpanan mereka pada usia 55 tahun menghabiskan wang berkenaan kurang daripada sepuluh tahun selepas bersara.
Oleh itu, simpanan KWSP tidak memadai untuk tidak terjerumus ke kancah kemiskinan selepas bersara.
Terdapat laporan menyatakan hanya 48% daripada tenaga buruh di Malaysia mempunyai akaun KWSP yang aktif.
Satu gambaran kasar turut diberikan iaitu, sekiranya seseorang yang sihat tanpa hutang, dengan simpanan KWSP berjumlah RM194,000 ketika bersara pada umur 55 tahun, purata kemampuan menyara hidup selama 15 tahun hanya RM25 sehari, bersamaan RM810 sebulan. Hakikat ini tidak menjamin keselesaan kehidupan di fasa persaraan.
Kesimpulannya, tidak wujud satu pelan persaraan yang dapat memenuhi keperluan semua bakal pesara kerana setiap individu mempunyai gaya hidup yang berbeza.
Kesukaran mengharungi hari persaraan mesti dipertimbangkan dengan serius memandangkan sumber pendapatan mengecil.
Memandangkan jumlah yang diperlukan adalah subjektif bergantung pada kos sara hidup, kadar inflasi dan situasi ekonomi ketika itu, maka langkah berjimat cermat dan berbelanja secara berhemat sangat penting agar terus selesa dalam meniti usia persaraan.
Oleh itu sebagai langkah bijak mulalah merancang persaraan anda hari ini. - DagangNews.com