Mustapa jawab 5 isu perbahasan Bajet 2021 | DagangNews Skip to main content

Mustapa jawab 5 isu perbahasan Bajet 2021

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 23 Nov. - Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed menyentuh lima isu utama Belanjawan 2021 yang dibahaskan menerusi Rang Undang-Undang Perbekalan 2021. 

 

Lima isu berkenaan termasuk kedudukan ekonomi negara; peruntukan perbelanjaan projek pembangunan dan kerjasama awam swasta (PPP); pembangunan wilayah; kemiskinan; dan FELDA.

 

Kesemua jawapan Mustapa di pada sesi penggulungan RUU tersebut di Dewan Rakyat hari ini dipecahkan mengikut isu-isu berkenaan. 

 

i. Kedudukan ekonomi

 

Pandemik COVID-19 telah mengubah landskap ekonomi negara yang telah memberi kesan besar dalam tempoh jangka sederhana dan jangka panjang. 

 

Kata Mustapa, Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) mengambil kira pelbagai strategi lebih jelas untuk memulih dan menjana semula ekonomi yang terkesan disebabkan COVID-19 serta menangani isu struktur ekonomi bagi memastikan pertumbuhan yang lebih inklusif dan mampan. 

 

malaysia

 

RMK-12 kini dalam peringkat akhir dan akan dibentangkan pada awal tahun 2021.

 

“Antara bidang utama yang akan diberi tumpuan di dalam RMK-12 seperti revolusi perindustrian keempat, ekonomi digital, perusahaan kecil dan sederhana; pembangunan inklusif, kemiskinan, pembangunan bandar dan luar bandar, serta penjagaan kesihatan; dan ekonomi hijau, ekonomi kitaran serta perubahan iklim,” kata Mustapa yang menjawab pertanyaan dilontarkan Datuk Seri Najib Razak (BN-Pekan). 

 

Dalam masa sama, Mustapa turut mengulas usaha kerajaan untuk meneruskan projek-projek ketersambungan seperti infra rakyat yang telah diumumkan dalam Belanjawan 2021 seperti High Speed Rail (HSR), MRT, Gemas Double-tracking, Central Spine Road, Pan Borneo Highway, RTS dan LRT3, dibangkitkan oleh Najib. 

 

“Kerajaan yakin bahawa meneruskan projek-projek ketersambungan ini dapat bagi merancakkan ekonomi dan menggalakkan pertumbuhan domestik dalam masa terdekat,” tambah Mustapa. 

 

ii. Peruntukan perbelanjaan projek PPP

 

Sebelum ini, dua Ahli Parlimen mencadangkan supaya peruntukan untuk projek pembangunan pada tahun 2021 dikurangkan kepada RM50 bilion dan RM19 bilion dipindah kepada Kumpulan Wang COVID-19. 

 

“Kerajaan melalui Belanjawan 2021 telah memperuntukkan RM69 bilion di bawah perbelanjaan pembangunan atau DE pada tahun 2021. Peruntukan pembangunan ini boleh dibahagikan kepada empat komponen.

 

“Sejumlah besar daripada PPP adalah untuk melaksanakan projek-projek sambungan yang telah komited bermula sejak pelaksanaan RMK-11. Pada masa sama, ramai Ahli-ahli Yang Berhormat memohon perbelanjaan pembangunan ditambah untuk kawasan masing-masing. 

 

rakyat

 

“Sumbangan pelaburan sektor awam kepada keluaran dalam negara kasar telah berkurangan daripada 9% pada tahun 2015 kepada 6.3% pada tahun 2019. Sekiranya peruntukan projek pembangunan Kerajaan Persekutuan dikurangkan lagi, ia akan sudah pasti akan menjejas pertumbuhan ekonomi,” kata Mustapa. 

 

Tambah Mustapa, tidak ada projek baharu dinyatakan di dalam Belanjawan 2021. 

 

Namun, terdapat 97 projek PPP yang telah ditandatangani yang melibatkan komitmen kewangan kerajaan bagi penyediaan perkhidmatan penting untuk memenuhi keperluan awam. 

 

iii. Pembangunan wilayah

 

Kerajaan sebelum ini dipersoalkan mengenai ketidakseimbangan pembangunan Sabah dan Sarawak berbanding Semenanjung Malaysia.

 

Jawab Mustapa, fokus kerajaan tertumpu kepada usaha untuk menangani jurang kekayaan dan pendapatan, meliputi penduduk luar bandar dan bandar selaras matlamat Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

 

Kerajaan menyasarkan nisbah pendapatan antara wilayah Sabah dan wilayah Tengah dirapatkan daripada 2.6 kepada 1.5 menjelang 2030. 

 

Wilayah Sarawak dan wilayah Tengah pula dirapatkan daripada 1.3 kepada 1.2. 

 

malaysian

 

“Walaupun menangani jurang pendapatan mengambil masa, kerajaan tetap komited untuk merapatkan jurang tersebut dalam masa 10 tahun yang akan datang,” kata Mustapa bagi menjawab soalan dua Ahli Parlimen. 

 

Justeru, dalam RMK-12 yang akan dibentangkan pada tahun hadapan, satu bab khusus mengenai perancangan pembangunan di Sabah dan Sarawak akan diwujudkan, jelas Mustapa. 

 

iv. Kemiskinan

 

Bagi menangani kemiskinan dan meningkatkan mekanisme penyampaian perkhidmatan di peringkat akar umbi, Mustapa berkata, kerajaan akan memperkukuh pendekatan dari bawah ke atas atau bottom-up approach, dalam kalangan pemegang taruh antara kerajaan, swasta, organisasi berasaskan komuniti (CBO) dan rakyat. 

 

setinggan

 

“Justeru itu, pendekatan ini akan dipertingkat dengan penglibatan organisasi masyarakat sivil dan CBO. Pihak berkuasa juga akan diperkasa untuk mengenal pasti dan mengurangkan poket kemiskinan pada peringkat komuniti,” jelas Mustapa. 

 

Berdasarkan anggaran Bank Dunia, pandemik COVID-19 akan menyebabkan antara 88 juta sehingga 115 juta orang terjatuh dalam golongan kemiskinan tegar pada tahun 2020 dan menyebabkan paras kadar kemiskinan dunia kembali kepada paras yang dicatatkan pada tahun 2017.  

 

v. FELDA

 

Langkah penambahbaikan dan hala tuju baharu FELDA digariskan untuk mengembalikan reputasi dan prestasi FELDA, selain untuk memastikan pembangunan sosio ekonomi yang mampan dan memberi manfaat kepada seluruh masyarakat peneroka, kata Mustapa. 

 

Ini termasuk cadangan-cadangan yang telah diperakukan oleh Pasukan Petugas Khas Menangani Isu FELDA pada 14 Oktober 2020. 

 

Selain itu, pelaksanaan Sukuk RM9.9 Bilion bagi Pelan Pemulihan FELDA yang diluluskan oleh Mesyuarat Jemaah Menteri berdasarkan cadangan Pasukan Khas FELDA yang dipengerusikan oleh Tan Sir Wahid Omar, akan dilaksanakan bergantung kepada keadaan pasaran semasa. 

 

Penerbitan sukuk itu dijangka dijalankan pada tahun 2021.

 

“Pelaksanaan Pelan Pemulihan FELDA dijangka memulihkan kedudukan kewangan FELDA di mana aliran tunai positif akan dicapai pada tahun 2023,” ujar Mustapa. 


 

Empat orang Ahli Parlimen telah meminta penjelasan kerajaan mengenai pelbagai isu melibatkan FELDA.

 

peneroka

 

Selain itu, peruntukan Belanjawan 2021 sebanyak RM400 juta kepada FELDA turut disentuh di mana bertujuan Penghapusan Faedah Hutang Peneroka dan Program Pembangunan Peneroka (PPP). 

 

Kerajaan melalui inisiatif Kertas Putih Semak semasa penyampaian 15 FELDA telah meluluskan bantuan geran berjumlah RM2 bilion bagi menghapuskan kadar faedah yang dikenakan kepada peneroka secara berperingkat iaitu sebanyak RM300 juta setahun bermula 2019 sehingga 2024 dan RM200 juta pada tahun 2025. 

 

Penghapusan faedah ke atas hutang itu akan mengurangkan bebanan hutang peneroka bagi tempoh bayaran yang ditetapkan. 

 

Penjimatan tersebut dapat digunakan oleh peneroka terlibat untuk menampung perbelanjaan lain, tambah Mustapa. - DagangNews.com