Nak balik kampung? Ini nasihat perjalanan PLUS | DagangNews Skip to main content

Nak balik kampung? Ini nasihat perjalanan PLUS

PLUS

 

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 29 Julai - Bagi mereka yang ingin pulang beraya di kampung, PLUS Malaysia Bhd. (PLUS) telah mengeluarkan Jadual Waktu Perjalanan (TTA) sebagai saranan waktu yang sesuai untuk memulakan perjalanan.

Ketua Operasi Kecemerlangan PLUS, Mohd. Yusuf Abdul Aziz memberitahu, PLUS juga akan menugaskan antara 3,500 hingga 5,000 kakitangan keselamatan dan penguatkuasaan undang-undang di sepanjang 1,134 kilometer (KM) lebuh raya.

"Ini adalah cara kami menjaga anda dan orang yang anda sayangi, dan kami juga menasihatkan anda agar mematuhi TTA yang disarankan.

"Namun jangan lupa kerana kita masih lagi berada di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dan penjarakan sosial ketika berhenti rehat di kawasan rehat dan rawat (R&R) mestilah dipatuhi termasuk pengambilan suhu. Pastikan tambah nilai kad Touch 'n Go dilakukan terlebih dahulu bagi mengelakkan penularan wabak daripada transaksi tunai," jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

PLUS

Jelas Yusuf, bagi pengguna lebuh raya dari Kuala Lumpur/Selangor yang ingin membuat perjalanan menuju ke Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Utara Perak dan Johor dinasihatkan agar memasuki lebuh raya sebelum pukul 10.00 pagi.

Manakala pengguna yang menuju ke lain-lain negeri pula disarankan supaya memasuki lebuh raya selepas pukul 2.00 petang bermula hari ini hingga 30 Julai 2020.

Bagi perjalanan pulang ke Lembah Klang antara 1 Ogos hingga 3 Ogos, jadual TTA menyarankan agar semua pengguna lebuh raya dari semua negeri memasuki lebuh raya sebelum pukul 9.00 pagi.

Mereka yang melakukan perjalanan ke utara Sungai Dua dan Kedah, pengguna dinasihatkan menggunakan kad Touch 'n Go susulan pelaksanaan Ujian Awam RFID hingga ke Hutan Kampung oleh PLUS.

"Namun jika orang ramai sudah mempunyai tag RFID yang dipasang pada kenderaan, anda hanya perlu memastikan e-Wallet anda mempunyai baki yang mencukupi ketika melakukan perjalanan di laluan tersebut. Bagaimanapun, pembayaran tol menggunakan kad Touch 'n Go masih lagi digunakan," katanya.

PLUS

Jangkaan pertambahan trafik sebanyak 30% atau 1.7 juta kenderaan berbanding 1.2 juta kenderaan pada hari-hari biasa di semua lebuh raya PLUS termasuk Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2).

PLUS turut menghentikan sementara kerja-kerja penyelenggaraan dan naik taraf di lebuh rayanya bermula 29 Julai hingga 3 Ogos depan.

Kren dan trak tunda tambahan turut disediakan PLUS yang bersiap sedia di 14 lokasi strategik bagi mempercepatkan kerja-kerja pengalihan dan penundaan kenderaan rosak atau terlibat dalam kemalangan selain penggunaan dron untuk membuat pemantauan trafik di beberapa lokasi strategik.

Jelas Yusuf lagi, dalam usaha membendung wabak COVID-19, PLUS telah menutup lorong tambah nilai di plaza tol untuk mengurangkan transaksi tunai dalam kalangan kakitangan PLUS dan pengguna lebuh raya.

"Pengguna lebuh raya juga disaran menggunakan perkhidmatan Pra-Pesanan makanan yang terdapat di 16 kawasan R&R terpilih melalui portal https://ordersini.plus.com.my atau menerusi aplikasi PLUS Mobile.

"Cara ini pengguna boleh membuat pesanan lebih awal  sebelum tiba ke destinasi R&R yang dituju tanpa perlu beratur dan dapat menjaga penjarakan sosial di tempat umum," ujarnya. - DagangNews.com