Nasib 'kurang baik' buat Hartalega, Kossan, penganalisis semak turun penarafan | DagangNews Skip to main content

Nasib 'kurang baik' buat Hartalega, Kossan, penganalisis semak turun penarafan

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 14 Sept. - Ketidaktentuan sektor sarung tangan getah terutama dengan jangkaan harga purata jualan (ASP) yang rendah menjadikan pemain industri ini tidak lagi menikmati 'durian runtuh' seperti sebelum ini apabila tercetusnya wabak COVID-19. 

 

Pemain industri kini berdepan dengan kos pematuhan yang tinggi dan persaingan sengit sekali gus menjejaskan keuntungan syarikat pengeluar sarung tangan getah. 

 

Tambahan pula, dengan pelancaran vaksinasi di negara-negara pengguna utama seperti Amerika Syarikat (AS) dan Eropah menyebabkan pengedar membuat tempahan lebih awal kerana pembeli mengambil langkah berhati-hati terhadap kemungkinan harga bekalan yang tinggi.

 

Melihat kepada situasi semasa ini, Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research menyemak turun sektor sarung tangan getah kepada 'neutral' berbanding 'overweight' sebelum ini. 

 

"Unjuran bagi sektor ini juga dikurangkan antara 1 hingga 58%, memandangkan kami mengambil kira harga ASP yang lebih rendah.

 

"Kami juga menyemak semula penarafan Kossan Rubber Industries Bhd. dan Hartalega Holdings Bhd. kepada 'pegang' sebaliknya mengekalkan saranan 'beli' ke atas Top Glove Corp. Bhd.," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Menurut penganalisisnya, Chan Jit Hoong, unjuran pendapatan Hartalega bagi tahun kewangan 2022 hingga 2024 juga dikurangkan antara 12 hingga 58% ekoran penurunan harga ASP. 

 

Malah, katanya, harga sasaran (TP) Hartalage juga diturunkan kepada RM6.50 dengan mengambil kira gandaan harga kepada pendapatan (PE) 12x bagi pendapatan sesaham (EPS) tahun kewangan 2022 sebanyak 54.2 sen sesaham.

 

"Penilaian kami mewakili 10% premium berbanding pemain industri lain seperti Top Glove tetapi adalah wajar kerana mengambil kira pengurusan yang mempunyai rekod baik dan berinovasi," jelasnya. 

 

Mengulas mengenai Kossan pula, beliau berkata, unjuran pendapatan bagi tahun kewangan 2021 hingga 2023 juga disemak rendah antara 1 hingga 37%. 

 

"Berdasarkan gandaan PE 7x bagi EPS tahun kewangan 2022 sebanyak 38.1 sen, kami memberi TP baru Kossan pada RM2.65.

 

"Kami melihat penilaian ini adalah munasabah memandangkan kapasiti Kossan yang lebih kecil berbanding pemain industri yang lain," katanya.

 

Sementara itu, bagi Top Glove pula, unjuran pendapatannya bagi tahun kewangan 2021 hingga 2023 dikurangkan antara 1 hingga 41% setelah mengambil kira faktor ASP yang lebih rendah.

 

Firma itu juga meletakkan TP yang lebih rendah kepada RM4, berdasarkan gandaan PE 11x terhadap EPS bagi tahun kewangan 2022 sebanyak 35.6 sen sesaham. 

 

"Kami mengekalkan saranan 'beli' kerana kami percaya penurunan ASP ini telah diambil kira oleh pasaran berdasarkan penilaian semasa," jelasnya. 

 

Menurut Jit Hoong, walaupun Amerika Syarikat (AS) menarik semula sekatan terhadap produk sarung tangan getah keluaran Top Glove dilihat satu perkembangan positif tetapi jualannya ke paras AS tidak mungkin kembali ke paras sebelum ini dalam tempoh yang pantas. 

 

"Ini kerana kami percaya pembeli mencari pembekal lain daripada pengeluar tempatan ataupun luar negara," katanya.

 

Sebelum sekatan itu dikenakan, pasaran Amerika Utara merangkumi kira-kira 25% daripada jumlah jualan Top Glove tetapi merosot kepada 8% selepas produknya disekat memasuki pasaran AS ekoran dakwaan penggunaan buruh paksa.

 

Disebabkan tercetusnya wabak COVID-19, permintaan sarung tangan getah terus melonjak yang menyaksikan syarikat China, Intco Medical dan Bluesail Medical mengembangkan kapasiti mereka secara agresif. 

 

Intco dan Bluesail masing-masing menyasarkan untuk mencapai kapasiti sebanyak 120 bilion dan 52 bilion keping sarung tangan getah menjelang suku pertama 2022 dan akhir 2021. 

 

Ia mencerminkan pertumbuhan kapasiti sebanyak 130% bagi Intco dan 30% bagi Bluesail dalam tempoh 3 hingga 6 bulan akan datang, sekali gus meningkatkan kebimbangan berlakunya lebihan bekalan dalam pasaran. 

 

"Apabila berlakunya lebihan bekalan berbanding permintaan, kami percaya pengeluar sarung tangan getah akan menyemak semula pelan pengembangan mereka dan lebih berdisiplin dalam memulakan pengeluaran baharu.

 

"Ini dapat mengelakkan lambakan dalam pasaran atau tekanan kepada ASP, yang akhirnya akan menyaksikan ketidakseimbangan antara bekalan dan permintaan ini kembali normal," jelas beliau. 

 

Jit Hoong berkata, sebelum ini Hartalega menjangkakan ASP akan mula kembali stabil pada suku pertama tahun kewangan 2022.

 

Namun, katanya, berdasarkan anggaran yang dibuat firma, ASP boleh mencecah sekitar AS$30 per 1,000 keping, yang mana lebih tinggi berbanding tahap sebelum pandemik pada AS$22.

 

"Secara dasarnya, syarikat pengeluar sarung tangan getah di bawah liputan kami komited untuk terus meningkatkan pematuhan amalan sosial walaupun sudah melebihi standard ditetapkan. 

 

"Penambahbaikan pematuhan ini akan meningkatkan kos kepada pengeluar sarung tangan getah, yang mana pada pandangan kami boleh menyebabkan tekanan margin dalam tempoh jangka pendek apabila pembeli mendapat semula kuasa tawar-menawar dan kenaikan kos ini mungkin tidak dilepaskan kepada mereka," jelasnya. - DagangNews.com