Nestle beri amaran kenaikan harga makanan komoditi | DagangNews Skip to main content

Nestle beri amaran kenaikan harga makanan komoditi

Oleh NABILA YASMIN RAZIB
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 2 Nov -  Nestlé (Malaysia) Bhd memberi amaran tentang kenaikan harga makanan komoditi dalam pengumuman keputusan suku tahunan terbarunya hari ini. 

 

Pengeluar makanan dan minuman (F&B) itu berkata, harga komoditi yang tinggi sebagai cabaran utama pada masa akan datang.

 

"Kami menjangkakan kesannya akan lebih ketara pada bulan-bulan akan datang dan terutamanya pada 2022. 

 

"Namun begitu, kami yakin kami akan dapat mengekalkan momentum positif kami dan memberikan satu lagi tahun keputusan yang kukuh pada 2021," katanya dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia di sini hari ini. 

 

Nestlé mengumumkan keuntungan bersihnya meningkat 15.3% kepada RM148.02 juta daripada RM128.39 juta setahun yang lalu bagi suku ketiga berakhir 30 September 2021 berikutan pertumbuhan teratas yang bertambah baik dan perbelanjaan pemasaran yang lebih rendah.

 

Hasil suku tahunan Nestlé  meningkat 3.62% kepada RM1.44 bilion daripada RM1.39 bilion setahun lalu dan syarikat itu mengisytiharkan dividen interim sebanyak 70 sen sesaham, berjumlah RM164.15 juta, untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021. 

 

Kumpulan itu berkata hasil suku tahunan yang lebih tinggi itu dicapai berikutan pertumbuhan jualan dalam kedua-dua pasaran domestik dan eksport, yang masing-masing meningkat sebanyak 3.4% dan 4.5%. 

 

"Pertumbuhan itu didorong oleh perniagaan F&B kumpulan yang mencatatkan pertumbuhan 5.5% pada suku ketiga 2021," katanya. 

 

Nestlé juga berkata ia merekodkan perbelanjaan pemasaran yang lebih rendah berikutan aktiviti pemasaran terhad susulan sekatan perintah kawalan pergerakan (PKP) pada suku ke tiga 2021 berbanding suku tahun sebelumnya apabila sekatan dilonggarkan semasa PKP pemulihan. 

 

Pada asas suku ke suku, keuntungan bersih kumpulan itu berkembang 10% daripada RM134.53 juta, manakala hasilnya meningkat 4.3% daripada RM1.38 bilion.  -DagangNews.Com