Dato' Azman Shah Mohd Yusof, (berdiri di hadapan) bersama pengurusan kanan dan kakitangan operasi Northport semasa acara sambutan pemecahan rekod yang diadakan di Northport pada 30 Disember 2021
Oleh NABILA YASMIN RAZIB
nabila@dagangnews.com
KUALA LUMPUR 30 Dis - Northport (Malaysia) Bhd (Northport) berjaya mencatat rekod baharu dengan kendalian tahunan kontena tertinggi dalam sejarahnya selepas kontena ke-3,305,765 dipunggah dari kapal Interasia Horizon, mengatasi rekod sebelumnya iaitu 3,305,764 TEU (bersamaan dua puluh kaki unit) yang telah dikendalikan pada tahun 2010.
Ketua Pegawai Eksekutif Northport, Dato’ Azman Shah Mohd Yusof berkata, kendalian kontena untuk tahun 2021 setakat ini adalah 20.7% lebih tinggi berbanding tahun 2020.
Beliau berkata, pandemik COVID-19 dan pelaksanaan sekatan oleh banyak negara di seluruh dunia pada tahun 2021 telah memberi impak yang besar terhadap aktiviti ekonomi dan perdagangan global.
"Walau bagaimanapun, Northport telah segera bertindak dengan pelan tindakan jangka pendek, sederhana dan panjang bagi mengurangkan kesesakan dan langkah-langkah tersebut terbukti berkesan selepas operasi pelabuhan kembali pulih dalam jangka masa kurang daripada 1 bulan.
"Pelabuhan-pelabuhan dan pemain-pemain industri logistik telah bersatu dan melaksanakan peranan masing-masing, dibantu oleh agensi Kerajaan, dan diketuai oleh Lembaga Pelabuhan Kelang (“LPK”), bagi memberi titik keseimbangan untuk operasi di Pelabuhan Klang,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Terdahulu pada bulan Mei 2021, Northport telah berjaya merekodkan kendalian bulanan tertinggi untuk segmen kargo konvensionalnya selepas mengendalikan 1,017,332 FWT (tan berat muatan), melebihi rekod sebelumnya iaitu 968,356 FWT yang dicatatkan pada Ogos 2013.
Southpoint, terminal yang berusia 120 tahun yang sebelumnya dikenali sebagai Port Swettenham, merekodkan kendalian lebih daripada 2 juta FWT buat kali pertama sejak 2012, disokong oleh kargo Hab Logistik Biomass.
"Secara keseluruhannya, 2021 adalah merupakan tahun yang terbaik buat Northport dengan banyak pencapaian-pencapaian yang bermakna.
"Kami optimistik terhadap prospek 2022 dalam menghadapi keadaan ekonomi yang tidak menentu, dengan gelombang baharu COVID-19 yang dibawa oleh varian baharu Omicron yang telah menjejaskan banyak negara di seluruh dunia.
"Namun begitu, kami akan meneruskan fasa "Reinventing Northport" dengan mengembangkan kapasiti lapangan kontena kami dan membeli peralatan baharu untuk meningkatkan lagi produktiviti dan mencapai lebih banyak kejayaan pada tahun-tahun akan datang, dalam perjalanan transformasi kami untuk menjadi pelabuhan yang lebih Selamat, lebih Hijau, lebih Pintar dan lebih Baik," katanya. -DagangNews.com