Pasukan Genesys UTHM juara Cabaran Ecobiz Alliance Bank | DagangNews Skip to main content

Pasukan Genesys UTHM juara Cabaran Ecobiz Alliance Bank

Pasukan Genesys dari Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) membawa pulang hadiah utama berupa wang tunai sebanyak RM10,000 dan sebuah trofi.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 22 Jun - Pasukan Genesys dari Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) muncul sebagai pemenang Cabaran Ecobiz Alliance Bank edisi keempat selepas lima bulan sesi pembelajaran berasaskan pengalaman secara berstruktur, latihan, bimbingan dan persembahan idea perniagaan sebanyak tiga pusingan.

 

Pasukan dari Batu Pahat yang terdiri daripada Wan Muhammad Idham Wan Mahdi, 31, Mohd Syahir Anwar Hamzah, 29 dan Nurliyana Abdul Rahim, 29, telah memenangi hati para juri menerusi persembahan idea perniagaan mereka.

 

Mereka mempamerkan cadangan memulakan perniagaan sosial yang disertai ibu tunggal dan belia yang mana kain rentang dan sepanduk terbuang dikitar semula menjadi barangan berguna seperti beg tote dan beg membeli-belah untuk kegunaan para pelajar universiti. 

 

Berdasarkan kekuatan cadangan perniagaan ini, mereka telah membawa pulang hadiah utama berupa wang tunai sebanyak RM10,000 dan sebuah trofi. Setiap ahli pasukan turut menerima sijil penyertaan. 

 

Cabaran Ecobiz Alliance Bank merupakan satu pertandingan bertemakan alam sekitar yang mana para pelajar peringkat tinggi dikehendaki membangunkan penyelesaian perniagaan yang mantap dan mampan untuk menangani isu-isu alam sekitar, ekonomi atau sosial. 

 

Cabaran EcoBiz musim ini yang bertemakan “Menginspirasikan Malaysia menjadi Negara Sifar Sisa” menggalakkan para peserta untuk membangunkan perniagaan sosial mesra alam yang mampan bagi menyokong budaya pengurusan sisa secara bertanggungjawab. 

 

Naib juara pula dimenangi pasukan Re-FAB, sebuah pasukan campuran universiti dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan UTHM, manakala pasukan Therapy Lab dari Albukhary International University (AIU) pula memenangi hadiah ketiga. Masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM5,000 dan RM3,000. 

 

 

alliance

 

 

alliance
Datuk Mansor Othman

 

 

Lapan pasukan lain dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (IUAM), AIU dan University of Wollongong Malaysia KDU masing-masing menerima hadiah sagu hati RM1,500 atas usaha mereka.

 

Dalam pada itu, Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Mansor Othman berkata, pihaknya berasa gembira dengan penyertaan para belia dalam program ini. 

 

"Kami berharap agar Cabaran EcoBiz 4 ini dapat mengalih minda para pelajar daripada seorang pencari kerja kepada pencipta pekerjaan serta mendorong pelajar universiti lain untuk mewujudkan ‘Green Social Business’. Kami yakin usaha sebegini akan membantu memberikan kesan positif ke arah kelestarian alam sekitar sekaligus menangani isu perubahan iklim,” katanya dalam satu kenyataan.

 

 

alliance
Joel Kornreich

 

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Alliance Bank, Joel Kornreich pula berkata, pihaknya mengucapkan tahniah kepada semua pasukan Cabaran EcoBiz peringkat akhir yang telah menunjukkan daya tahan, kepintaran dan komitmen dalam membangunkan idea inovatif untuk menangani masalah sisa bahan di Malaysia. 

 

"Menyaksikan usaha para pembawa perubahan muda ini mempromosikan kesedaran dan memacu tindakan untuk mengurangkan impak sisa terhadap alam sekitar adalah sesuatu yang membanggakan,” katanya. - DagangNews.com