PATROL, bawa TM raih anugerah kecemerlangan teknologi | DagangNews Skip to main content

PATROL, bawa TM raih anugerah kecemerlangan teknologi

Dr. Sharlene Thiagarajah

 

 

KUALA LUMPUR 17 Mei - Telekom Malaysia Berhad (TM) melalui unit inovasinya, TM Research & Development (TM R&D) memenangi Anugerah Telekomunikasi–AI di Anugerah Kecemerlangan Teknologi Malaysia 2021 baru-baru ini, yang disampaikan oleh Singapore Business Review.

 

Anugerah ini diberikan sebagai pengiktirafan atas pencapaian syarikat dalam membangunkan PATROL sebagai bukti fungsi untuk penyelidikan khususnya bagi pengesanan pembinaan secara automatik menggunakan dashcam kenderaan dan menghasilkan amaran proaktif menggunakan kecerdasan buatan (AI) dan algoritma pembelajaran mesin.

 

Ketua Pegawai Eksekutif, TM R&D, Dr. Sharlene Thiagarajah berkata, PATROL memanfaatkan AI, keupayaan pengesanan objek dan Segalanya Internet (IoT) untuk mengesan kawasan pembinaan menggunakan dashcam. 

 

Katanya, sistem ini kemudian secara automatik memeriksa sama ada terdapat sebarang aktiviti sivil dan pembinaan yang tidak berdaftar berdekatan dengan infrastruktur kabel bawah tanah atau overhead. 

 

"Beberapa parameter digunakan untuk menilai risiko sebelum amaran dihantar ke Pusat Operasi Rangkaian untuk disiasat.

 

“PATROL memberikan amaran masa nyata mengenai aktiviti sivil dan pembinaan yang menimbulkan risiko tinggi terhadap keselamatan infrastruktur kabel TM," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Beliau berkata, maklumat ini membolehkan penyedia perkhidmatan telekomunikasi bertindak pantas dalam mencegah kemungkinan ancaman terhadap aset-aset mereka. 

 

"Dengan PATROL, kami menjangkakan peluang besar untuk mengelakkan kos operasi berikutan kes-kes pemotongan kabel,” tambahnya lagi.

 

Projek PATROL telah dibangunkan untuk memberi peringatan amaran awal di kawasan-kawasan yang mana infrastruktur TM berisiko tinggi untuk mengalami kerosakan disebabkan kerja-kerja pembinaan dan sivil oleh pihak ketiga. 

 

Sebaiknya, sebelum kerja-kerja pembinaan atau sivil dimulakan, pihak kontraktor perlu mendapatkan nasihat TM dan syarikat utiliti lain untuk memastikan langkah pencegahan yang wajar diambil bagi mengelakkan pemotongan kabel telekomunikasi atau infrastruktur utiliti lain seperti air atau pembetungan.

 

Sehubungan itu, beliau menyifatkan memenangi anugerah ini adalah satu dorongan besar bagi usaha mereka dalam memperlihatkan bagaimana AI dapat diguna pakai untuk menyelesaikan masalah kehidupan seharian. 

 

"Ini juga merupakan motivasi kepada kami untuk terus memperkukuhkan kedudukan kami sebagai peneraju dalam bidang penyelidikan, pembangunan dan inovasi. 

 

"Anugerah ini ditujukan kepada pasukan yang telah memberikan hasil kerja yang luar biasa," katanya.

 

Ini adalah anugerah keempat yang diterima oleh TM R&D di Anugerah Kecemerlangan Teknologi Malaysia untuk tempoh 3 tahun penganjurannya. 

 

Majlis penganugerahan itu mengiktiraf pencapaian luar biasa syarikat-syarikat yang berjaya mempelopori produk IT, penyelesaian dan projek-projek teknologi inovatif dalam industri masing-masing untuk meningkatkan ekonomi Malaysia yang berkembang pesat. - DagangNews.com