Pelabur perlu teroka peluang sektor oleokimia berasaskan sawit di Malaysia - MPOB | DagangNews Skip to main content

Pelabur perlu teroka peluang sektor oleokimia berasaskan sawit di Malaysia - MPOB

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 30 Sept - Pelabur harus meneroka peluang dalam sektor oleokimia berasaskan sawit di Malaysia memandangkan permintaan global untuk produk oleokimia semakin meningkat.

 

Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Datuk Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata, permintaan global untuk produk nilai tambah seperti bahan kimia industri, nutraseutikal, kosmeseutikal, makanan tambahan dan produk farmaseutikal semakin meningkat.

 

Beliau berkata, ia sejajar dengan perubahan dalam aspek demografi dan sosial, peningkatan kekayaan serta kesejahteraan global berikutan kesan urbanisasi yang pesat.

 

Katanya, menurut laporan, pasaran oleokimia global telah mencecah AS$22.5 bilion pada 2021. Permintaan global untuk oleokimia dijangka meningkat kepada AS$33.9 bilion menjelang 2027, dengan kadar pertumbuhan tahunan terkompaun yang tinggi sebanyak 7.2% sepanjang 2022-2027.

 

“Ini menunjukkan pasaran oleokimia global berkembang pesat dengan permintaan tinggi terhadap produk berasaskan oleokimia. Oleh itu, pelabur harus meneroka dan melabur dalam sektor oleokimia berasaskan sawit negara yang berpotensi tinggi, disokong oleh inisiatif penyelidikan dan pembangunan berterusan MPOB.

 

"Sebagai contoh, pelaburan di Sabah dan Sarawak mempunyai potensi besar untuk berjaya kerana pada masa ini tiada kilang oleokimia yang beroperasi di kedua-dua negeri. Pelabur boleh mendapat manfaat daripada bekalan minyak sawit dan minyak isirung sawit tanpa gangguan untuk penghasilan oleokimia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Menurut Ahmad Parveez, sehingga Ogos tahun ini, terdapat 50 buah kilang penapisan, 42 buah kilang pelumat isirung sawit dan 20 buah kilang oleokimia beroperasi di Malaysia.

 

Beliau berkata aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) MPOB bagi sektor hiliran oleokimia meliputi lapan bidang utama iaitu surfaktan, poliol dan poliuretana, kosmetik, agrokimia, bahan kimia seni, bio-pelincir, teknologi dan alam sekitar. 

 

"MPOB juga menyediakan kemudahan loji rintis dan bantuan teknikal untuk kajian kebolehlaksanaan dan menawarkan perkhidmatan kawalan dan penetapan kualiti.

 

"Pelbagai produk oleokimia berasaskan sawit yang dihasilkan melalui aktiviti R&D MPOB telah dikomersialkan seperti kosmetik, produk penjagaan diri, detergen, bahan plastik dan bahan pemprosesan polimer.

 

"Selain itu, ia termasuk krim farmaseutikal dan minyak pelincir, formulasi racun perosak, campuran konkrit, lilin gel, kusyen kereta, panel hiasan, produk sanitasi dan gel mandian," katanya. - DagangNews.com