Skip to main content

Pelaburan lebih AS$800 juta, Genting SkyWorlds tampilkan pengembaraan 9 'alam'

Pemandangan udara Genting SkyWorlds yang memperlihatkan Lake of Dreams.

Pemandangan udara Genting SkyWorlds yang memperlihatkan Lake of Dreams.

 

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 23 Feb. - Teman tema luar paling dinanti-nantikan di Asia Tenggara, Genting SkyWorlds menampilkan pengembaraan ke sembilan 'alam' yang diinspirasikan dari filem dan pengembaraan.

 

Taman tema yang dijadualkan dibuka pada suku kedua 2021 itu melibatkan pelaburan lebih AS$800 juta.

 

Ketua Operasi Perniagaan dan Strategi, Resorts World Genting, Lee Thiam Kit berkata, Resorts World Genting (RWG) turut memperkenalkan logi rasmi Genting SkyWorlds sebagai simbolik pembukaan taman tema tersebut.

 

Lee Thiam Kit meletakkan kepingan terakhir untuk melengkapkan gambar suai padan peta Genting SkyWorlds.
Lee Thiam Kit meletakkan kepingan terakhir untuk melengkapkan gambar suai padan peta Genting SkyWorlds.

 

“Genting SkyWorlds merupakan hasil kerja keras bertahun lamanya dan dedikasi pasukan kami dan rakan kerjasama dari serata dunia.

 

"Kami hampir siap sedia. Kami sedang melaksanakan persiapan terakhir untuk taman tema yang paling dinanti-nantikan di Asia Tenggara.

 

"Kami yakin kami akan dapat menawarkan pengalaman yang terbaik kepada para pengunjung sepanjang perjalanan ini," katanya dalam sidang akhbar pratonton pembukaan Genting SkyWorlds yang dijalankan secara maya hari ini.

 

Genting SkyWorlds bakal membawa para pengunjung mengembara ke sembilan ‘alam’ yang diinspirasikan dari filem dan pengembaraan – Eagle Mountain, Central Park, Liberty Lane, Robots Rivet Town, Andromeda Base, Ice Age, Studio Plaza, Epic dan Rio. 

 

Mad Ramp Peak di Eagle Mountain – Rollercoaster dwi-kuasa pertama di dunia yang menawarkan pengalaman perlumbaan motosikal berkelajuan tinggi yang unik.
Mad Ramp Peak di Eagle Mountain – Rollercoaster dwi-kuasa pertama di dunia yang menawarkan pengalaman perlumbaan motosikal berkelajuan tinggi yang unik.

 

Setiap ‘alam’ akan menampilkan pelbagai permainan dan tarikan untuk seisi keluarga.

 

Tarikan-tarikan itu dirancang dan dicipta untuk menyemarakkan daya imaginasi melalui pengalaman imersif, seperti dibawakan terus-menerus dari babak-babak filem. 

 

Kunjungan tersebut juga akan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan untuk membeli-belah, menjamu selera dan menikmati hiburan yang unik dan menyeluruh untuk seisi keluarga. 

 

Pemandangan udara Genting SkyWorlds yang memperlihatkan Eagle Mountain dan Mad Ramp Peak.
Pemandangan udara Genting SkyWorlds yang memperlihatkan Eagle Mountain dan Mad Ramp Peak.

 

Genting SkyWorlds bakal menjadi sebuah taman tema luar yang menguja dan mengasyikkan pada ketinggian 6,000 kaki dari aras laut. 

 

Kelebihan ini sekali gus menjadikan Genting SkyWorlds sebagai salah satu taman tema yang paling unik, bukan sahaja di rantau ini, malahan di peringkat global. 

 

Menyentuh berkaitan logo Genting SkyWorlds yang baharu diperkenalkan itu, beliau berkata, logo tersebut menampilkan gabungan awan, lima bintang, dan fakad Genting SkyWorlds. 

 

Ia diumpakan dengan permata di atas mahkota yang empuk, awan di dalam logo melambangkan persekitaran taman tema dan penawaran ‘tertinggi’ kepada para pengunjung.

 

.
Logo Genting SkyWorlds.

 

Lima bintang pula memberi makna pengalaman premium yang ditawarkan oleh Genting SkyWorlds dan lima nilai teras jenama iaitu kerja keras, jujur, harmoni, setia dan prihatin. Sementara itu, warna-warni pada fakad Genting SkyWorlds di dalam logo bersinar, penuh inspirasi dan menyempurnakan pengembaraan fantasi. 

 

"Selain dari Hak Intelek (Intellectual Properties/IPs) asli dan menarik yang dimiliki sendiri, Genting SkyWorlds juga menggabungkan jenama dan IP daripada 20th Century Studios di dalam permainan dan tarikan bertaraf dunia.

 

"Ia dijayakan melalui kerjasama strategik di antara Genting Malaysia dan 20th Century Studios. 

 

"Antara IP yang ditampilkan ialah Ice Age, Nights at the Museum dan Planet of the Apes," tambah beliau lagi. - DagangNews.com