Pelbagai program sempena Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia untuk rakyat Perak pada 1 hingga 3 Julai 2022 | DagangNews Skip to main content

Pelbagai program sempena Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia untuk rakyat Perak pada 1 hingga 3 Julai 2022

IPOH 28 Jun - Pelbagai program dan pengisian menarik akan dianjurkan untuk rakyat di Perak pada Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) yang dijadual berlangsung dari 1 hingga 3 Julai ini di Litar Datuk Sagor, Kampung Gajah di Pasir Salak.

 

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata, antara yang akan dianjurkan adalah Karnival Jualan Keluarga Malaysia, Karnival Kerjaya Jamin Kerja serta turut disediakan gerai jualan usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) bagi membantu mempromosi dan menjual produk yang dihasilkan mereka.

 

"Selain itu, jelajah AKM ini turut menganjurkan program berbasikal Fun Ride, pelbagai permainan tradisional dan sukan rakyat, kempen kesedaran mengenai pemuliharaan alam sekitar serta pertandingan sukan elektronik (e-sukan)," katanya dalam sesi temu bual bersama radio PerakFM hari ini.

 

Nolee Ashilin berkata, program Kenduri Rakyat yang dijangka dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan mengembalikan tradisi lama iaitu masyarakat setempat akan bergotong-royong menyiapkan pelbagai hidangan khusus untuk pengunjung yang datang ke jelajah berkenaan.

 

"Dalam konteks Keluarga Malaysia, kita perlu membina semula semangat kebersamaan yang semakin lama semakin terhakis iaitu semangat gotong-royong yang akan menjadi tunjang untuk kita terapkan dalam Kenduri Rakyat,” katanya.

 

Nolee Ashilin berharap rakyat Perak bersedia mengikuti rapat dan mendapat manfaat sepenuhnya daripada program atau dasar-dasar yang telah diumumkan kerajaan yang akan dibawa dalam jelajah ini sekali gus meraih peluang-peluang yang ditawarkan bukan saja diri sendiri tetapi kemajuan masyarakat secara menyeluruh, lapor Bernama.

 

BERITA TERBAHARU: Tawaran diskaun saman trafik 50% sempena jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia di Perak bermula 1 Julai

 

Jelajah AKM merupakan kesinambungan kepada penganjuran 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia yang diadakan di 14 lokasi di seluruh negara dengan pengisian program berbentuk perkhidmatan kepada rakyat bagi memastikan masyarakat di semua peringkat dapat memahami serta menghayati konsepnya dengan lebih jelas, yang menitikberatkan keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran. - DagangNews.com