Pemain O&G jangka aliran kerja meningkat sejajar kenaikan capex Petronas | DagangNews Skip to main content

Pemain O&G jangka aliran kerja meningkat sejajar kenaikan capex Petronas

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 10 Jun - Pemain industri minyak dan gas (O&G) domestik menjangkakan aliran kerja yang lebih tinggi pada suku akan datang susulan langkah Petronas meningkatkan perbelanjaan modal (capex) sebanyak RM60 bilion tahun ini, demikian menurut AmInvestment Bank Research. 

 

Firma itu berkata, peruntukan itu adalah 26% melebihi paras perbelanjaan normal pra-pandemiknya sebanyak RM47.8 bilion pada 2019.

 

Jelasnya, dengan peruntukan RM60 bilion bagi 2022, ia juga mewakili lonjakan 97% daripada RM30.5 bilion pada 2021. 

 

Dalam keputusan suku pertama berakhir 31 Mac 2022, Petronas merekodkan capex sebanyak RM7.4 bilion menyumbang 15 hingga 19% daripada panduan bajet untuk tahun ini.

 

"Sebagai perbandingan, perbelanjaan pada suku pertama menyumbang 15 hingga 25% daripada capex kumpulan sepanjang 3 tahun lalu.

 

"Capex pada suku pertama hampir mencapai paras perbelanjaan pada 2019, mewakili peningkatan 12% tahun ke tahun berbanding suku pertama 2021 sebanyak RM6.6 bilion, di mana capex domestik berkembang 30% tahun ke tahun," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Baca : Petronas naikkan capex kepada RM60 bilion bagi 2022, buat pertama kali ada peruntukan untuk tenaga bersih

 

Semalam, Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan Petronas, Liza Mustapha mengumumkan Petronas memperuntukkan capex yang lebih tinggi iaitu hampir RM60 bilion untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (FY22).

 

Daripada jumlah itu, sebanyak 10% akan dibelanjakan untuk segmen bukan tradisional seperti bahan kimia khusus dan tenaga solar bagi mencapai sasaran pelepasan karbon sifar menjelang 2050, yang merupakan peruntukan modal sulung syarikat minyak negara itu untuk tenaga bersih.

 

Kenaikan berganda daripada RM30 bilion pada FY21 itu akan digunakan untuk projek yang sedang berjalan dan baharu, yang separuh daripadanya dibelanjakan untuk projek domestik manakala bakinya untuk projek luar negara.

 

AmInvestment menjangkakan segmen terpilih dalam rantaian nilai berada pada kedudukan yang lebih baik untuk mendapat manfaat daripada harga minyak yang lebih tinggi dan projek yang dibenarkan oleh syarikat minyak negara.

 

"Pengendali minyak dan gas yang terdedah secara langsung kepada pengeluaran huluan seperti Hibiscus Petroleum Bhd. dan subsektor penyimpanan dan pemunggahan pengeluaran terapung (FPSO) akan mendapat manfaat memandangkan bilangan pengendali yang berkurangan semasa kemelesetan sebelumnya antara 2015 hingga 2017," jelasnya.

 

Firma itu turut menjangkakan harga minyak mentah Brent akan kekal tinggi sekitar AS$100 hingga AS$110 setong dalam tempoh yang panjang tahun ini. 

 

Katanya, ia berpunca daripada kesan geopolitik yang tidak menentu ekoran pencerobohan Rusia di Ukraine, syarikat minyak antarabangsa secara sukarela mengelakkan membuat sebarang bentuk pelaburan, gangguan rantaian bekalan global yang substantif dan premium risiko yang tinggi untuk komoditi.

 

"Bagaimanapun, kami menjangkakan harga minyak akan mereda pada tahun depan berikutan prospek pertumbuhan ekonomi global yang lebih perlahan, boleh menjejaskan permintaan minyak manakala pelaburan baharu dalam sektor itu boleh menghidupkan semula jangkaan pengeluaran yang lebih tinggi.

 

"Oleh itu, kami mengunjurkan harga minyak akan berlegar antara AS$90 hingga AS$100 setong pada 2023," tambahnya.

 

Secara keseluruhan, AmInvestment mengulangi pandangan 'overweight' terhadap sektor O&G dengan Dialog Group Bhd. menjadi antara pilihan utamanya bagi sektor tesebut. 

 

Firma itu memberi saranan 'beli' kepada 5 syarikat O&G di bawah liputannya iaitu Dialog, Bumi Armada Bhd., Deleum Bhd., Petronas Gas Bhd. dan Petronas Chemicals Group Bhd. manakala saranan 'pegang' bagi Hibiscus dan MISC Bhd. - DagangNews.com