KUALA LUMPUR 9 Jun - Petroliam Nasional Bhd. (Petronas) memperuntukkan perbelanjaan modal (capex) yang lebih tinggi iaitu hampir RM60 bilion untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (FY22).
Daripada jumlah itu, sebanyak 10% akan dibelanjakan untuk segmen bukan tradisional seperti bahan kimia khusus dan tenaga solar bagi mencapai sasaran pelepasan karbon sifar menjelang 2050, yang merupakan peruntukan modal sulung syarikat minyak negara itu untuk tenaga bersih, demikian menurut Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan (CFO), Liza Mustapha.
“Sebelum ini, saya fikir tidak pernah ada rancangan tentang kadar yang sepatutnya (untuk segmen tenaga bersih) kerana tiada peruntukan dari atas, jadi ia tidak begitu berkesan.
“Jadi, kita perlu membincangkannya dari segi keputusan untuk peruntukan modal kita, dan ketepikannya... kerana jika kita biar sahaja dan biarkan ia mengikut arus, maka kita akan ketinggalan setahun (daripada mencapai sasaran) sekali lagi,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi ‘MIDF Conversations’ secara maya bersama Pengarah Urusan Kumpulan MIDF, Datuk Charon Mokhzani hari ini seperti dilapor Bernama.
Mengenai capex RM60 bilion, Liza berkata, ia naik berganda daripada RM30 bilion pada FY21 bagi mengejar dan mengembalikan aktiviti ekonomi.
Jelasnya, ia akan digunakan untuk projek yang sedang berjalan dan baharu, yang separuh daripadanya dibelanjakan untuk projek domestik manakala bakinya untuk projek luar negara.
Mengenai kenaikan harga minyak mentah semasa, menurutnya, Petronas kekal berhemat dari segi meramalkan harga minyak mentah dan akan mengekalkannya pada harga asas AS$50 hingga AS$60 setong dalam jangka panjang.
“Itu adalah asas bagaimana kami bersetuju dengan projek kami, oleh itu, projek tersebut harus kukuh tanpa mengira ketidaktentuan harga minyak.
"Sekiranya harga naik, seperti yang dijangkakan oleh Goldman Sachs Group, Inc. bahawa harga minyak mentah Brent secara purata melebihi AS$140 setong, kita hanya perlu cukup tangkas untuk menggunakan kenaikan itu semasa kenaikan harga masih ada," katanya.
Sementara itu, Liza bersetuju bahawa ringgit yang semakin lemah berbanding dolar AS, ditambah dengan harga minyak mentah yang tinggi, telah memberikan bonanza berganda untuk gergasi minyak dan gas itu setakat ini.
Melangkah ke hadapan pada FY22, beliau menjangkakan Petronas terus mencatatkan pertumbuhan 3 angka dalam pendapatan, menjejaki pertumbuhan suku pertama 2022 yang menyaksikan keuntungan bersih melonjak 154.15% kepada RM23.44 bilion daripada RM9.22 bilion dalam tempoh yang sama tahun lepas.
Mengenai Kompleks Bersepadu Pengerang, katanya, usaha sama 50:50 antara Petronas dan Saudi Aramco telah beroperasi semula, dan kedua-dua syarikat telah bekerjasama rapat, terutamanya ke arah memulakan perniagaan penapisan dan petrokimia. - DagangNews.com