Pemikiran Kreatif dan Peranannya Dalam Perniagaan | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Jiwo Niago - 4 August 2020

 

Sebelum ini saya ada menyentuh mengenai sikap takut kepada kegagalan yang sering menjadi penghalang kepada kejayaan usahawan. Takut kepada kegagalan pula berkait rapat dengan takut kepada kritikan. Seseorang yang takut dikritik oleh orang lain selalu bersikap defensif dan tidak akan menerima pendapat orang walaupun kritikan yang diberi merupakan kritikan membina apatah lagi kritikan yang tidak mendatangkan kebaikan kepadanya.

 

Lazimnya orang yang takut menerima kritikan akan cuba mengelak daripada mengeluarkan pendapat atau idea kerana mereka takut jika pendapat atau idea mereka dianggap tidak praktikal, kurang bijak, atau tidak masuk akal. Lantaran mereka hanya jadi pengikut dan bersetuju sahaja dengan idea orang lain. Sikap sedemikian biasanya boleh menghalang seseorang menjadi kreatif.

 

Dalam menghadapi ekonomi global yang semakin kompetitif terutama di era digital ini, usahawan seharusnya memiliki kemampuan untuk berfikir secara kreatif. Menurut Muhamad Tamyez Bajuri (1996), kreativiti boleh dikaitkan dengan aspek penerokaan, sama ada melalui mental atau fizikal. Kemampuan inilah yang mendorong seseorang untuk berfikir di luar pemikiran biasa.

 

Dalam perniagaan, keupayaan usahawan berfikir secara kreatif boleh menjana idea bagi mencipta atau memperkenalkan kaedah, produk atau perkhidmatan baru yang lebih baik melalui proses inovasi. Perniagaan yang memberi penekanan kepada inovasi akan mempunyai kelebihan bersaing yang bukan sahaja dapat memastikan kelangsungan perniagaan tetapi juga dapat membantu pengguna menyelesaikan masalah mereka dengan lebih baik dan berkesan.

 

Pemikiran Kreatif Boleh Dibagunkan

Kajian yang dijalankan di Amerika Syarikat oleh Dr. George Land (1968) untuk NASA mendapati bahawa manusia sebenarnya dilahirkan kreatif. Kajian berterusan dijalankan ke atas sekumpulan kanak-kanak secara berperingkat iaitu ketika berumur 5 tahun, 10 tahun, dan 15 tahun.

 

Hasil kajian mendapati hampir kesemua (98%) kanak-kanak yang berumur 5 tahun memiliki tahap imaginasi kreatif tertinggi iaitu tergolong dalam kategori “genius”. Bagaimanapun, semakin umur mereka meningkat, semakin berkurang bilangan kanak-kanak yang memiliki tahap imaginasi genius. Bilangannya menurun kepada hanya 12% apabila mereka mencapai umur 15 tahun. Kajian yang serupa ke atas orang dewasa pula mendapati hanya 2% sahaja yang mencapai tahap genius.

 

wi

 

Kajian tersebut merumuskan bahawa penurunan tahap kreativiti berpunca daripada kelemahan sistem pendidikan yang kurang mendorong kanak-kanak tersebut untuk berfikir secara kreatif. Faktor lain juga mempengaruhi tahap kreativiti seseorang seperti didikan ibu-bapa, pergaulan, bahan bacaan dan sebagainya.

 

Di negara kita, menyedari hakikat bahawa kreativiti boleh dibangunkan atau ditambah baik dan selaras dengan hasrat Falsafah Pendidikan Negara, pemikiran kreatif di kalangan kanak-kanak sedang diberi penekanan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan (2013-2025). Ini bertujuan untuk melahirkan lebih ramai individu yang kreatif dan inovatif dalam proses pembangunan negara.

 

Kreativiti Menjana Idea Baru

Dalam bidang keusahawanan, pemikiran kreatif merupakan salah satu pendekatan dan kaedah yang digunakan oleh usahawan untuk menganalisis sesuatu perkara atau menangani sesuatu isu. Pendekatan tersebut mungkin unik atau tidak terfikir oleh orang lain sebelum ini. Namun, tidak semua idea kreatif berguna untuk perniagaan.

 

Kreativiti yang bermanfaat membabitkan penghasilan idea baru yang mampu meningkatkan keberkesanan dan kecekapan sesuatu sistem di samping mewujudkan penyelesaian terhadap masalah pelanggan.

 

Peranan kreativiti amat jelas dalam membantu usahawan bukan sahaja untuk mencipta dan membangunkan produk/perkhidmatan baru malah berupaya menjadikan idea produk, perkhidmatan atau proses yang lebih baik dan inovatif berbanding sebelumnya.

 

Ciri Usahawan Kreatif

Kreativiti merupakan satu proses yang berterusan bagi setiap usahawan. Mereka harus mencari kaedah dan cara baru pada setiap masa untuk menambahbaik perniagaan tanpa jemu. Usahawan yang kreatif tidak takut untuk mempraktikkan idea-idea baru bagi mewujudkan kelebihan bersaing dalam pasaran.

 

Perubahan yang sering berlaku dalam persekitaran perniagaan dari sudut politik, ekonomi, sosio-budaya dan teknologi lazimnya dianggap sebagai ancaman oleh kebanyakan orang.  Namun bagi usahawan yang kreatif perubahan ini sebenarnya mewujudkan pelbagai peluang yang boleh dimanfaatkan.
 

co


Antara ciri-ciri usahawan yang tinggi daya kreatifnya adalah seperti berikut:


#Peka terhadap persekitaran. Usahawan kreatif mempunyai daya pemerhatian yang tajam dan peka terhadap persekitaran. Malah mereka dapat mengenal pasti masalah, cabaran, dan peluang yang tidak mampu dikenal pasti oleh orang lain. Tahap kepekaan sebegini menjadikan seseorang usahawan mempunyai daya saing yang tinggi dalam perniagaan. Sebagai contoh, kemelut Covid 19 yang sedang dihadapi sekarang meningkatkan bilangan kelas pengajian yang dikendalikan secara online seperti kelas memasak, kelas Al Quran, kursus perniagaan, dan sebagainya.

 

#Berpandangan luas dan positif. Usahawan yang berkebolehan untuk melihat sesuatu perkara dari pelbagai sudut membuka ruang untuk mereka mengenal pasti pelbagai alternatif penyelesaian terhadap sesuatu masalah yang terdapat di persekitaran. Dari pelbagai alternatif ini usahawan boleh mencari satu penyelesaian terbaik bagi setiap masalah. Usahawan yang sempit pandangan tidak mampu menghasilkan kepelbagaian alternatif, lantaran tersekat dalam pemikiran yang sempit.

 

#Fleksibel dan bijak menyesuaikan diri. Usahawan kreatif mampu menyesuaikan diri dengan keadaan persekitaran yang dinamik dan sentiasa berubah. Kebijaksanaan usahawan menyesuaikan diri dengan perubahan dalaman atau luaran mampu memberi kelebihan bersaing kepada mereka. Seseorang yang kreatif tidak terlampau “mengikut kebiasaan” dalam proses pemikiran mereka kerana sifat tidak fleksibel (rigid) sebenarnya menyekat aliran kreativiti dalam diri dan ini akan menghalang pembentukan idea-idea baru.

 

Sebagai contoh, semasa lockdown  COVID-19 dikuatkuasakan di Singapura, Adidas Singapore telah membangunkan aplikasi latihan percuma untuk warga negara Singapura yang tidak dapat menggunakan gimnasium. Pelancaran applikasi ini dilakukan selaras dengan kempen yang dipanggil inisiatif #HomeTeam sebagai salah satu kaedah kreatif untuk disesuaikan dengan keperluan pelanggan yang ingin kekal aktif walaupun berada di rumah masing-masing.

 

#Pemikiran asli. Usahawan kreatif mempunyai cara pemikiran yang unik dan berbeza dari orang lain kerana proses pemikiran kreatif tidak disekat melalui pemikiran yang stereotaip. Hasilnya, mereka mampu membentuk idea-idea asli yang belum pernah terlintas dalam fikiran orang lain. Mereka juga berani untuk menyampaikan idea-idea sendiri tanpa rasa bimbang jika idea mereka ditolak oleh orang lain. Dengan lain perkataan, mereka mempunyai pendirian dalam menyampaikan idea mereka kepada orang lain.

 

Sebagai contoh, dalam tahun 1993, Bill Gates mengumumkan bahawa beliau dan pasukannya akan membangunkan sistem operasi komputer pertama yang akan menggunakan interface grafik dan produk tersebut telah berjaya dilancarkan pada tahun 1995 yang diberi nama Microsoft Windows.

 

gates

 

#Pengambilan risiko. Usahawan tidak dapat mengelak daripada mengambil risiko. Usahawan ialah “peneroka” yang meneroka jalan mereka sendiri dan semua penerokaan tersebut melibatkan risiko. Usahawan kreatif mengambil risiko yang dikira; mereka mengambil tindakan selepas membuat pertimbangan yang rapi terhadap semua risiko yang mungkin dihadapi. Takut mengambil risiko sebenarnya menyekat kreativiti dan ini akan menghalang usahawan untuk mencuba sesuatu yang baru yang mempunyai kelebihan bersaing di pasaran.  

 

Sebagai contoh, pada peringkat awal, Larry Page dan rakannya hampir berputus asa untuk meneruskan hasrat penubuhan Google disebabkan mereka telah mengambil masa yang agak panjang sehingga menjejaskan pengajian mereka di Universiti. Bagaimanapun, dengan semangat dan kecenderungan mengambil risiko, syarikat mereka telah berjaya menjadi antara syarikat yang paling berjaya di dunia manakala produk mereka merupakan produk yang paling relevan sehingga ke hari ini.

 

#Bermotivasi dan berdedikasi. Orang yang kreatif mempunyai kecenderungan dan dorongan untuk sentiasa mencuba cara baru dalam menyelesaikan masalah. Usahawan yang kreatif akan mendapat kepuasan hasil dari percubaan dan penambahbaikan yang dilakukan kerana percubaan tersebut didorong oleh perasaan dalaman (faktor intrinsik) yang diransang oleh keinginan untuk mencuba; bukan diransang oleh pengaruh luaran (faktor ektrinsik) seperti dorongan dari orang lain.

 

#Tekun. Selain daripada dorongan untuk mencuba perkara baru, usahawan yang kreatif juga merupakan individu yang berdedikasi dalam melakukan sesuatu perkara. Mereka sedar bahawa usaha untuk menghasilkan sesuatu yang unik dan bermanfaat memerlukan ketekunan, kesabaran dan kecekalan yang tinggi.

 

#Ingin tahu dan suka bertanya. Perasaan ingin tahu dan sifat suka bertanya menunjukkan usahawan tidak terikat dengan sesuatu keadah yang “mengikut kebiasaan” atau dikekang oleh “pemikiran stereotaip”. Apabila perasaan ingin tahu dalam diri sangat tinggi, usahawan akan sentiasa berusaha mencari maklumat tambahan melalui pelbagai kaedah, sama ada melalui pembacaan atau dengan merujuk kepada mereka yang berpengetahuan. Tanpa pengetahuan yang baik tentang sesuatu perkara adalah mustahil bagi seseorang usahawan untuk melakukan penambahbaikan.

 

Pengasas Apple Computers, Steve Jobs dan pengasas Twitter, Jack Dorsey mengakui bahawa perasaan ingin tahu memainkan peranan besar dalam kejayaan mereka.

 

Steve Jobs Jack Dorsey
            Jack Dorsey                                               Steve Jobs

 

#Berfikir di luar kebiasaan. Sesorang yang mampu berfikir di luar kebiasaan (atau berfikir “di luar kotak”) mencabar kaedah tradisi dengan mencari penyelesaian masalah dari sudut yang berlainan dan berbeza dari status quo. Sebagai contoh, Garette Camp (2009) mengasaskan syarikat rangkaian pengangkutan Uber melalui kaedah pemikiran di luar kebiasaan sehingga mampu mewujudkan syarikat teksi terbesar di dunia tanpa memiliki kereta sendiri.

 

Usahawan yang berkebolehan berfikir di luar kotak lazimnya bertindak seperti berikut:

  • Menggunakan keadah baru dalam melaksanakan tugas-tugas harian
  • Mempunyai pemikiran terbuka dan sanggup melaksanakan sesuatu secara berlainan
  • Sentiasa mencari idea-idea baru dan bertindak ke atas idea-idea tersebut
  • Berusaha mencipta nilai melalui kaedah-kaedah baru

 

Ciri Idea Kreatif

Usahawan yang kreatif mempunyai gabungan ciri-ciri di atas yang membentuk personaliti diri masing-masing. Ciri-ciri di atas bukanlah sesuatu yang wujud secara semula jadi dalam diri seseorang.

 

Ia boleh dipupuk supaya menjadi sebati dalam diri dan secara langsung meningkatkan kemampuan usahawan untuk berfikir dengan lebih kreatif. Proses pemikiran kreatif yang dilalui oleh usahawan dapat melahirkan idea-idea kreatif.

 

Antara ciri-ciri idea yang kreatif ialah aneh dan di luar kebiasaan, tidak seragam, berbeza dari segi kuantiti atau kualiti, unik, bermanfaat kepada manusia, bersifat mobiliti, kepelbagaian, dan fleksibel. - DagangNews.com

 
Ismail Ab.Wahab, Ph.D merupakan mantan Profesor Keusahawanan di Universiti Teknologi MARA
Portfolio Tags