Pendapatan bersih suku ketiga Alliance, RM53.2 juta lebih tinggi | DagangNews Skip to main content

Pendapatan bersih suku ketiga Alliance, RM53.2 juta lebih tinggi

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 26 Feb. - Alliance Bank Malaysia Berhad (Alliance Bank) mencatatkan pendapatan bersih RM53.2 juta atau 12.6% lebih tinggi bagi suku ketiga tahun kewangan 2021 (3Q21) yang berakhir 31 Disember lalu kepada RM475.7 juta daripada RM422.5 juta. 

 

Menurut bank itu, peningkatan itu didorong oleh pendapatan faedah bersih, pelaburan dan perbendaharaan, brokeraj dan pengurusan harta yang lebih tinggi. 

 

Bagaimanapun, keuntungan bersih yang dicatatkan Alliance Bank bagi tempoh sama menyusut kepada RM100.5 juta daripada RM134.0 juta, berdasarkan penyata kewangan bank itu di Bursa Malaysia. 

 

Bagi tempoh sembilan bulan pertama FY21 (9M21), bank itu menyaksikan pendapatannya melonjak 9.3% kepada RM1.37 bilion dengan pendapatan faedah bersih menokok 2.0% kepada RM1 bilion walaupun menghadapi pemotongan kadar dasar semalaman (OPR) sejak Mei 2019. 

 

Menerusi kenyataan media berbeza, Alliance Bank mendedahkan perbelanjaan operasi pula menyusut 5.5% tahun ke tahun memandangkan bank itu secara proaktif mengambil langkah pengoptimuman kos secara berhemah.

 

“Pada 9M21, kami berjaya mengurangkan kesan kos kredit yang meningkat menerusi pengurusan kos ketat terhadap kakitangan, yuran teknologi maklumat dan profesional selain mengoptimumkan deposit,” jelas Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Alliance Bank, Joel Kornreich dalam kenyataan sama. 

 

Joel Kornreich
Joel Kornreich

 

Bagi tempoh berkenaan, kos kredit bersih bank itu mencatatkan 91.3 mata asas yang merangkumi pengurusan bertindih untuk mengambil kira ketidakpastian ekoran impak pandemik COVID-19.

 

Menurut Alliance Bank, pihaknya setakat ini telah ‘menyimpan’ sebanyak RM223.6 juta sebagai pengurusan bertindih dan akan terus memantau sekiranya terdapat keperluan pengurusan berbeza yang diperlukan bagi suku-suku akan datang. 

 

Dari segi bantuan bersasar, Alliance Bank telah memperuntukkan sebanyak RM6.3 bilion bagi program berkenaan untuk membantu pelanggan individu dan perniagaan pada tempoh sama. 

 

“Bagi 9M21, kami terus menumpukan pada dua kunci keutamaan dalam membantu pelanggan untuk kekal bertahan ketika pandemik dan mempercepat insiatif digital kami untuk memperoleh lebih ramai pelanggan, menambah baik penglibatan pelanggan dan memacu keberkesanan kos lebih baik,” tambah Kornreich.

 

Tempoh berkenaan juga menyaksikan peruntukan oleh Alliance Bank sebanyak RM5.2 bilion untuk pakej Bantuan Pelepasan Pembayaran (PRA) dan RM1.1 bilion bagi moratorium yang dilanjutkan. 

 

Dalam masa sama, Alliance Bank berkata, pihaknya juga telah mengeluarkan lebih daripada RM600 juta untuk Dana Bantuan Khas kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS). - DagangNews.com