Pendapatan Bursa Malaysia lebih rendah untuk 4Q21 akibat penurunan DATV pasaran sekuriti | DagangNews Skip to main content

Pendapatan Bursa Malaysia lebih rendah untuk 4Q21 akibat penurunan DATV pasaran sekuriti

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 26 Jan - Firma Penyelidikan AmInvestment Research menjangkakan Bursa Malaysia akan mencatatkan pendapatan lebih rendah pada suku keempat 2021 (4Q21) iaitu sebanyak RM71 juta akibat penurunan nilai dagang purata harian (DATV) untuk pasaran sekuriti.

 

Pada 4Q21, DATV untuk pasaran dagangan ekuiti menurun kepada RM2.5 bilion berbanding 3Q21 dan 2Q21 sebanyak RM2.9 bilion serta RM3.8 bilion, dari segi bulanan, Oktober, November serta Disember 2021 DATV menurun kepada RM2.9 bilion, RM2.8 bilion dan RM1.9 bilion.

 

Pada tahun kewangan 2021 (FY21), pasaran untuk sekuriti untuk tahun penuh berada pada paras RM3.5 bilion, lebih rendah daripada unjuran RM3.7 bilion dan ia berpunca daripada aktiviti perdagangan yang perlahan sekaligus mencatatkan penurunan sebanyak 15.8% dari segi DATV berbanding RM4.2 bilion pada FY20.

 

Sejumlah 41.7% nilai sekuriti didagangkan pada 4Q21 berbanding 33.5% pada 3Q21 dan ia disumbangkan oleh dagangan sekuriti daripada intitusi antarabangsa.

 

"Kemasukan dana asing ke dalam pasaran sekuriti adalah tinggi pada paras RM600 juta pada 4Q21 berbanding RM452 juta pada 3Q21. Bagaimanapun ia diimbangi dengan aliran keluar dana asing sebanyak RM1.1 bilion pada Disember 2021," katanya dalam satu nota kajian, hari ini. 

 

Firma penyelidikan itu berkata, baru-baru ini pihak berkuasa mengumumkan bahawa setiap transaksi pasaran sekuriti sebanyak RM1,000 akan dikenakan duti setem pada kadar 0.15%, walaupun ia lebih tinggi namun penetapan itu memberikan kelegaan kepada pasaran sekuriti.

 

Ia juga dilihat akan mengurangkan kelembapan dagangan saham oleh pelabur runcit dan institusi berbanding pemasuhan harga asas transaksi yang diumumkan pada Bajet 2022.

 

"Kami menjangkakan DATV untuk pasaran sekuriti pada FY22/23 akan menjadi lebih rendah berbanding dua tahun kewangan sebelum ini akibat pengurangan pembelian aset akibat tekanan inflasi dan mengurangkan kadar kecairan di dalam pasaran, pemberian moratorium selepas FY21 dan peningkatan kadar faedah.

 

"Kami mengekalkan sarana 'pegang' untuk Bursa Malaysia pada harga RM6.50 sesaham berbanding RM7.90 sesaham sebelum ini," katanya. - DagangNews.com