Pengambilalihan MBO positif seiring prospek pengembangan GSC - MIDF | DagangNews Skip to main content

Pengambilalihan MBO positif seiring prospek pengembangan GSC - MIDF

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 5 Mac - Langkah anak syarikat milik penuh PPB Group Berhad, Golden Screen Cinemas Sdn. Bhd. (GSC) untuk mengambil alih aset pawagam pesaingnya, MBO merupakan langkah positif seiring prospek pengembangan segmen pameran dan pengedaran filem kumpulan itu.

 

Menurut MIDF Research, kumpulan syarikat itu merancang untuk melonjakkan segmen berkenaan menerusi pengembangan perkhidmatan makanan dan minumannya (F&B) serta menembusi lagi perniagaan e-perdagangan. 

 

“Dalam pada itu, GSC akan memperkenalkan jenama F&B baharu, Happy Food Co yang akan diwujudkan di pawagam-pawagam GSC terpilih. 

 

“Kafe pertama itu dijangka dilancarkan di Southkey, Johor Bahru menjelang separuh tahun kewangan kedua 2021 (2H21). 

 

“Segmen ini dijangka pulih semula pada 2H21 dan mencapai pemulihan bermakna menjelang FY22,” jelas firma penyelidikan itu dalam nota kajiannya hari ini. 

 

Pada 2 Mac lalu, DagangNews.com melaporkan GSC bakal mengambil alih majoriti aset pawagam MBO yang dijangka selesai pada penghujung Jun 2021. 

 

Langkah itu adalah susulan GSC telah menandatangani Perjanjian Penjualan Aset pada 23 Februari lalu dengan pengendali MBO iaitu MCAT Box Office Sdn. Bhd. dan Reel Entertainment Holdings Sdn. Bhd. (kedua-duanya dalam Penggulungan Sukarela Pemiutang).

 

Bagaimanapun, nilai pengambilalihan itu tidak didedahkan oleh GSC mahupun PPB. 

 

Baca : GSC beli majoriti pawagam MBO

 

Tambah MIDF, perniagaan utama kumpulan syarikat itu terjejas teruk ekoran penularan pandemik COVID-19. 

 

Susulan itu, segmen pengedaran dan pameran filem serta hartanahnya yang paling menerima impak besar, ujar MIDF.

 

“Bagaimanapun, kami berpendapat segmen pameran dan pengedaran filem akan pulih semula secara perlahan pada masa akan datang memandangkan GSC akan dibuka semula dan beroperasi pada 5 Mac 2021 (hari ini). 

 

“Dalam masa sama, kami juga menjangkakan sumbangan daripada syarikat bersekutunya yang disenaraikan di Singapura, Wilmar International Ltd akan terus menyokong perolehan kumpulan syarikat. 

 

“Setelah mengambil kira kesemua faktor itu, kami mengekalkan saranan ‘neutral’ (terhadap saham PPB) ketika ini dengan harga sasaran (TP) tidak berubah kepada RM18.64 memandangkan GSC tidak mendedahkan saiz dan nilai pengambilalihan itu,” tambah MIDF.

 

Dalam taklimat PPB secara maya semalam, kumpulan syarikat itu mencatatkan perolehan normal bernilai RM410.0 juta pada suku keempat tahun kewangan 2020 (4Q20), melonjak +17.8% daripada tempoh sama pada tahun sebelumnya. 

 

Ini terutamanya didorong oleh sumbangan yang tinggi daripada Wilmar bernilai RM387.0 juta, melonjak +25.6% tahun ke tahun. 

 

Setakat 2 petang, nilai saham PPB menokok 6 sen kepada RM18.66 daripada paras yang ditutup semalam, RM18.60. - DagangNews.com