Industri sarung tangan getah dikenal pasti antara sektor yang paling terjejas akibat pelaksanaan Cukai Makmur.
Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]
KUALA LUMPUR 1 Nov - Langkah kerajaan melaksanakan cukai keuntungan luar biasa atau dikenali sebagai Cukai Makmur yang dibentangkan dalam Bajet 2022 dilihat satu perkara yang 'mengejutkan' pasaran dan juga penganalisis.
Ini kerana cukai tersebut menjadi realiti selepas kerajaan dilihat 'keberatan' untuk melaksanakan langkah sedemikian dalam usahanya membantu rakyat yang terjejas akibat pandemik COVID-19.
Bagi penganalisis, cukai tersebut dilihat sebagai satu 'kejutan terbesar' buat mereka dalam Bajet 2022 yang melibatkan peruntukan terbesar sebanyak RM322.1 bilion.
Selain Cukai Makmur, langkah kerajaan menaikkan kadar setem duti bagi nota kontrak untuk dagangan saham di Bursa Malaysia juga dilihat sesuatu yang tidak dijangkakan pasaran.
CGS-CIMB mengenalpasti 9 sektor utama yang paling terjejas akibat pelaksanaan Cukai Makmur terutamanya perbankan, minuman keras, tembakau, utiliti, sarung tangan getah, telekomunikasi, automotif, minyak sawit dan teknologi.
"Kami berpendapat bahawa cukai 'durian runtuh' sekali sahaja ini akan dikenakan di peringkat syarikat (anak syarikat tempatan) dan bukannya kumpulan dan tidak akan memberi kesan kepada syarikat yang mempunyai status perintis atau status pengecualian cukai lain.
"Oleh itu, syarikat yang memiliki pelbagai anak syarikat dengan setiap satu meraih pendapatan kurang daripada RM100 juta tidak akan terkesan dengan cukai ini, manakala syarikat yang memperoleh sebahagian besar pendapatan mereka daripada anak syarikat asing dilihat paling kurang terjejas," katanya dalam nota kajian hari ini.
Berdasarkan anggaran kasar firma tersebut yang dijalankan ke atas struktur cukai dan korporat komponen utama FBM KLCI mendapati, cadangan berkenaan akan mengurangkan unjuran pendapatan bagi 2022 sebanyak RM4.4 bilion atau 6.6%.
Pada masa sama, katanya, ia turut mengurangkan unjuran akhir tahun KLCI kepada 1,521 mata berbanding 1,629 mata yang dianggarkan sebelum ini.
"Selepas membuat pertimbangan mengenai Cukai Makmur ini, pendapatan KLCI boleh merosot sebanyak 6% pada 2022 berbanding unjuran semasa kami iaitu pertumbuhan, 0.5%.
"Selain itu, mungkin terdapat risiko penurunan kepada pendapatan 2022 jika syarikat memilih untuk membawa perbelanjaan ke hadapan, menangguhkan proses pembayaran/pendapatan dan atau menaikkan peruntukkan bagi mengurangkan perbelanjaan cukai.
"Sesetengah syarikat pula mungkin mengurangkan bayaran dividen disebabkan cukai yang lebih tinggi," jelasnya.
Baca : KLCI susut lebih 20 mata, Cukai Makmur jejaskan sentimen
Jumaat lalu, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dalam pembentangan Bajet 2022 berkata, kerajaan bercadang memperkenalkan cukai khas secara one-off, dikenali sebagai Cukai Makmur kepada syarikat yang menjana pendapatan tinggi di bawah Bajet 2022.
Ini membolehkan syarikat dengan pendapatan bercukai sehingga RM100 juta pertama akan dikenakan cukai pendapatan pada kadar 24% dan pendapatan bercukai selebihnya akan dikenakan cukai pendapatan pada kadar 33% bagi tahun taksiran 2022.
Kerajaan mengambil langkah ini memandangkan krisis pandemik COVID-19 telah meningkatkan keperluan untuk membiayai golongan rakyat yang terjejas.
Dalam pada itu, CGS-CIMB juga negatif terhadap langkah kerajaan menaikkan kadar setem duti bagi nota kontrak untuk dagangan saham di Bursa Malaysia kepada 0.15% (bersamaan dengan RM1.50 bagi setiap RM1,000) daripada 0.1% dan memansuhkan had setem duti sebanyak RM200 bagi setiap nota kontrak berkaitan mulai 1 Januari 2022.
Ini kerana katanya, langkah tersebut akan meningkatkan kos urus niaga bagi dagangan saham yang mana ia dianggar meningkatkan kos ini daripada 0.18% kepada 0.32% daripada nilai dagangan sebanyak RM5 juta dengan mengandaikan kadar pembrokeran pada 0.15%.
"Kos urus niaga yang lebih tinggi boleh mendorong peniaga pasaran saham volum tinggi untuk menerokai bursa saham lain dengan kos transaksi yang lebih rendah dan melembapkan aktiviti perdagangan dalam pasaran tempatan.
"Keadaan ini berkemungkinan negatif untuk broker saham di Malaysia dan juga Bursa Malaysia," jelasnya.
Sementara itu, Public Investment Bank Research berkata, di sebalik langkah rasional kerajaan melaksanakan Cukai Makmur, tetapi kadar yang dicadangkan adalah tinggi.
"Bagi kami, cukai ini tidak betul-betul menggambarkan cukai keuntungan luar biasa, kerana ia mengenakan cukai kepada syarikat yang menjana pendapatan lebih RM100 juta dan dilihat 'menghukum' beberapa syarikat besar yang hanya membuat sedikit keuntungan berbanding syarikat lain.
"Dijangka membabitkan kos kira-kira RM8 bilion dalam tambahan cukai (dan seterusnya, mengurangkan keuntungan syarikat-syarikat ini dan pulangan kepada pemegang saham dengan jumlah yang sama), 'kerosakan' kepada pasaran mungkin lebih teruk walaupun ia hanya jangka masa pendek," jelasnya.
Tambahan pula, katanya, keputusan untuk menaikkan duti setem dalam nota kontrak dagangan saham mungkin semakin memburukkan keadaan pasaran.
Menurutnya, meskipun Bajet 2022 dilihat sebagai positif dalam tempoh jangka masa panjang daripada kesan pengganda perbelanjaan pengembangan tetapi, langkah tersebut akan memberi kesan negatif dalam tempoh terdekat.
"Tanpa mengambil kira kedua-dua pelaksanaan langkah ini, Bajet 2022 memperlihatkan lebih banyak yang positif walaupun ia lebih cenderung kepada indeks penanda aras penting kitaran modal yang lebih besar yang mungkin mempengaruhi pergerakan pasaran," katanya.
Bagi MIDF Research pula, pelaksanaan Cukai Makmur akan menyaksikan pendapatan dalam kalangan komponen KLCI merosot sehingga 11% pada 2022 (hampir 106.2 mata kepada 94.5 mata).
"Meskipun, kami mengakui cukai ini hanya dikenakan sekali sahaja tetapi kami masih menjangkakan reaksi pasaran yang negatif.
"Oleh itu, kami mengurangkan unjuran akhir tahun KLCI kepada 1,650 mata berbanding 1,700 mata sebelum ini.
"Tetapi, apabila pasaran mula mengambil kira pelaksanaan cukai ini, kami menjangkakan pasaran akan kembali dalam trajektori menaik," menurutnya. - DagangNews.com