Pengeluaran getah asli November turun 14.8% | DagangNews Skip to main content

Pengeluaran getah asli November turun 14.8%

Pengeluaran getah asli

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 15 Jan. - Pengeluaran getah asli negara menurun 14.8% pada November 2020 kepada 42,554 tan metrik berbanding 49,943 tan metrik pada bulan sebelumnya.

 

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, pengeluaran untuk tahun ke tahun juga menunjukkan penurunan sebanyak 19.7%.

 

"Eksport getah asli Malaysia berjumlah 56,522 tan metrik pada November 2020, meningkat sebanyak 3.7% berbanding 54,492 tan metrik pada Oktober 2020.

 

"China terus kekal sebagai destinasi utama eksport getah asli iaitu 57.8% daripada jumlah eksport pada November 2020 diikuti Jerman (9.1%), Iran (5.1%), Finland (3.4%) dan Turki (3.4%)," jelasnya dalam laporan Perangkaan Getah Bulanan Malaysia bagi November 2020.

 

.

 

Tambah beliau, sarung tangan getah masih merupakan item eksport utama dengan nilai eksport RM4.4 billion pada Oktober 2020, meningkat sebanyak 0.9% kepada RM4.5 billion pada November 2020. 

 

Amerika Syarikat (AS), Jerman dan China merupakan antara negara pengimport tertinggi sarung tangan getah.

 

Stok getah asli meningkat pada November 2020 iaitu sebanyak 259,440 tan metrik berbanding 258,052 tan metrik pada Oktober 2020 dengan peningkatan 0.5%.

 

.

 

Harga purata bagi Lateks Pekat merekodkan peningkatan kepada 620.76 sen sekilogram berbanding Oktober 2020 (576.14 sen sekilogram).

 

Getah Mutu Malaysia 20 (G.M.M. 20) turut meningkat kepada 632.74 sen sekilogram berbanding 621.76 sen sekilogram bagi tempoh yang sama.

 

"Jumlah penggunaan getah asli di peringkat domestik ialah 44,236 tan metrik, menurun 8.4% berbanding bulan sebelumnya.

 

"Pembuatan sarung tangan getah terus mendominasi industri pembuatan getah asli iaitu sebanyak 33,110 tan metrik atau 74.8% daripada jumlah penggunaan domestik," ujar beliau lagi. - DagangNews.com