Peralihan digital PKS sumbang RM99 bilion KDNK Malaysia menjelang 2024 | DagangNews Skip to main content

Peralihan digital PKS sumbang RM99 bilion KDNK Malaysia menjelang 2024

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 17 Sept. – Peralihan digital dalam kalangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Malaysia akan menambah antara RM79 bilion hingga RM99 bilion kepada Keluaran Kasar Dalam Negara (KDNK) menjelang tahun 2024.

Menurut kajian ‘2020 Asia Pacific SMB Digital Maturity’, PKS lebih banyak beralih ke arah digital (kematangan digital) sekaligus mendorong kepada hasil dan produktiviti lebih tinggi berbanding yang mengambil pendekatan lain.

Pengarah Urusan Cisco Malaysia, Albert Chai berkata, sektor PKS paling teruk terjejas akibat pandemic COVID-19.

 

Albert Chai
Albert Chai

 

“Bagaimanapun, mereka menunjukkan ketahanan tinggi dan memanfaatkan teknologi untuk terus beroperasi serta berkhidmat untuk pelanggan ketika itu.

"Memandangkan Malaysia terus mengatasi situasi mencabar itu dan pengguna serta aktiviti perniagaan kembali beroperasi, transformasi digital PKS memainkan peranan penting untuk pilih dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.

“Di Cisco, kami komited untuk bekerjasama dengan PKS dalam membantu mereka menjadi lebih kukuh dengan penggunaan dan strategi digital betul,” katanya pada pembentangan kajian itu secara maya hari ini.

Kajian ‘2020 Asia Pacific SMB Digital Maturity’ itu dijalankan oleh Cisco Malaysia dan International Data Corporation (IDC).

Ia juga mengetengahkan empat fasa kematangan digital iaitu, Tiada Perbezaan Digital (Digital Indifferent), Pemerhati Digital (Digital Observer), Pencabar Digital (Digital Challenger) dan Pengguna Digital (Digital Native).

Kajian itu mendapati PKS Malaysia telah berada pada fasa Pemerhati Digital pada tahun ini dengan 64% daripadanya mahu beralih ke digital untuk membawa produk dan perkhidmatan baharu ke dalam pasaran, berbanding 33% pada tahun lalu.

Dalam pada itu, sebanyak 59% mengatakan peralihan digital didorong oleh persaingan, manakala 43% lagi beralih kerana permintaan daripada pelanggan.  

Sementara itu, membuat pembelian atau penambahbaikan perkakas teknologi maklumat (18%) menjadi keutamaan PKS di Malaysia diikuti oleh pembelian dan penambahbaikan perisian IT (14%) dan keselamatan siber (11%).

Bagaimanapun, kebanyakan mereka berdepan dengan cabaran strategi digital. – DagangNews.com