Perbincangan akhir mekanisme subsidi minyak masak dibawa ke Kabinet hari ini | DagangNews Skip to main content

Perbincangan akhir mekanisme subsidi minyak masak dibawa ke Kabinet hari ini

Minyak masak.

KUALA LUMPUR 23 Jun - Perbincangan berkaitan penentuan mekanisme terbaik subsidi minyak masak dalam botol akan dibawa dan dibentangkan ke mesyuarat mingguan Kabinet hari ini.

 

Perbincangan yang sudah berada di peringkat akhir itu dibawa ke Kabinet sebelum diputus dan diumumkan kepada rakyat awal minggu hadapan.

 

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali berkata, perbincangan antara tiga kementerian berkaitan iaitu Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) serta Kementerian Kewangan sudah dijalankan termasuk bersama pembekal minyak sawit mentah, pemborong dan pihak berkepentingan lain.

 

Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali (kanan) dalam wawancara program Bicara Politikonomi bertajuk 'Harga Sawit dan Minyak masak: Rezeki atau Beban', yang disiarkan di TV1 malam tadi.
Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali (kanan) dalam wawancara program Bicara Politikonomi bertajuk 'Harga Sawit dan Minyak masak: Rezeki atau Beban', yang disiarkan di TV1 malam tadi.

 

"Di peringkat kementerian saya yang menjaga hal ehwal pembekal minyak sawit mentah, kita sudah berbincang dan mencadangkan cara terbaik bagi memastikan rakyat menikmati harga minyak masak dua kilogram atau lima kilogram yang rendah.

 

"Cuma kita masih belum dapat umumkan hari ini memandangkan perkara ini belum diputuskan Kabinet lagi," katanya seperti dilapor Bernama.

 

Beliau berkata demikian dalam wawancara program Bicara Politikonomi bertajuk 'Harga Sawit dan Minyak masak: Rezeki atau Beban', yang disiarkan di TV1 malam tadi.

 

Mengulas lanjut, beliau memberitahu, kementeriannya turut memberi cadangan kepada kerajaan untuk melaksanakan mekanisme jangka masa panjang atau subsidi bersasar minyak masak.

 

Cadangan berkenaan diberikan setelah mengambil kira pelaksanaan sama yang sedang dibuat terhadap minyak petrol.

 

"Cadangan mekanisme subsidi bersasar ini masih diperincikan dan ia bertujuan menangani isu ketirisan dalam pembekalan minyak masak," ujar beliau. - DagangNews.com