KUALA LUMPUR 18 Feb - Perdagangan Malaysia pada Januari 2022 terus berdaya tahan, meningkat 24.8% kepada RM203.05 bilion berbanding Januari 2021, menurut Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).
Pada bulan tersebut, eksport naik 23.5% kepada RM110.73 bilion, pertumbuhan 2 angka untuk bulan keenam berturut-turut sejak Ogos 2021 manakala import meningkat 26.4% kepada RM92.32 bilion dan lebihan dagangan berkembang 10.9% kepada RM18.4 bilion pada Januari 2022.
Pertumbuhan eksport disumbangkan oleh peningkatan permintaan global terutamanya bagi barangan elektrik dan elektronik (E&E) serta minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit.
"Eksport ke rakan dagang utama khasnya ASEAN, China, Amerika Syarikat (AS), Kesatuan Eropah (EU) dan Jepun merekodkan pertumbuhan 2 digit.
"Berbanding Disember 2021, perdagangan, eksport, import dan lebihan dagangan, masing-masing menyusut sebanyak 6.3%, 10.6%, 0.6% dan 40.6%, disebabkan kesan asas yang tinggi dan faktor bermusim berikutan cuti sempena tahun baru," katanya dalam kenyataan hari ini.
Kesemua sektor eksport utama pada Januari 2022 telah merekodkan pertumbuhan 2 digit tahun ke tahun, disokong oleh kenaikan eksport yang ketara bagi hampir kesemua barangan utama.
Eksport barangan perkilangan yang merangkumi 85.5% daripada jumlah eksport berkembang 19.3% kepada RM94.67 bilion.
Menurut MITI, barangan E&E, barangan perkilangan logam, keluaran petroleum, kimia dan bahan kimia, barangan perkilangan berasaskan minyak sawit serta jentera, kelengkapan dan peralatan, masing-masing mencatatkan peningkatan eksport melebihi RM1 bilion.
Katanya, eksport keluaran pertanian (7.9% syer) melonjak 75.6% kepada RM8.77 bilion, pertumbuhan 2 digit yang ke-11 bulan berturut-turut dicatatkan sejak Mac 2021.
"Kenaikan ini disokong oleh eksport yang kukuh bagi minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit," katanya.
Eksport hasil galian (6.2% syer) naik 38.4% kepada RM6.82 bilion, pertumbuhan 2 digit yang ke-10 bulan berturut-turut sejak April 2021 disumbangkan oleh pertambahan eksport gas asli cecair (LNG).
Pada Januari 2022, perdagangan dengan ASEAN yang mewakili 25.7% daripada jumlah perdagangan Malaysia berkembang 21.4% tahun ke tahun kepada RM52.23 bilion. - DagangNews.com