Perdana Menteri ucap Selamat Hari Sarawak kepada rakyat Sarawak | DagangNews Skip to main content

Perdana Menteri ucap Selamat Hari Sarawak kepada rakyat Sarawak

KUALA LUMPUR 22 Julai - Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengucapkan Selamat Hari Sarawak 2021 kepada semua rakyat Sarawak, yang menyambutnya hari ini.

 

“Sambutan ini pastinya amat bermakna kepada rakyat Sarawak, kerana pada tarikh ini 58 tahun lalu, Sarawak secara rasmi mula ditadbir oleh anak Sarawak sendiri,” katanya dalam satu hantaran Facebooknya hari ini.

 

Beliau juga melahirkan keyakinan, Hari Sarawak akan tetap diraikan dengan penuh makna mengikut cara dan konsep tersendiri, biarpun tanpa aktiviti bersemuka dan berkumpul ekoran pandemik COVID-19.

 

Buat kali kedua, Hari Sarawak tahun ini yang memilih tema ‘Sarawak Gemilang Untuk Semua’ disambut secara hibrid susulan pandemik COVID-19.

 

Sambutan Hari Sarawak 2021 akan diadakan di Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kuching, yang bermula 8.30 malam ini, terhad kepada 100 orang tetamu jemputan dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ketat, berikutan Sarawak masih dalam Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) .

 

Yang Dipertua Negeri Tun Abdul Taib Mahmud serta isteri dan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg dan isteri, serta beberapa menteri kabinet lain dijangka hadir pada majlis itu.

 

Ia akan diisi dengan persembahan secara maya seperti tarian bertajuk 'Sarawak Bahagia', persembahan video Aspirasi Sarawakku Sayang dan filem pendek 'I Am Sarawak' dan video dokumentari 'The Struggle'. - DagangNews.com