Perjalanan ke luar negara tidak perlu lagi #MyTravelPass Imigresen, kata PM | DagangNews Skip to main content

Perjalanan ke luar negara tidak perlu lagi #MyTravelPass Imigresen, kata PM

PUTRAJAYA 10 Okt - Rakyat Malaysia dibenarkan untuk melakukan perjalanan ke luar negara tanpa melalui #MyTravelPass Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

 

Walau bagaimanapun, kata beliau, pengembara masih perlu menjalani kuarantin wajib sebaik pulang ke tanah air. Kebenaran ini juga akan mula berkuat kuasa pada 11 Oktober 2021.

 

Menurut beliau, keputusan pemansuhan ini antaranya untuk menghubungkan ahli keluarga dan pasangan yang terpisah, rakyat Malaysia yang ke luar negara bagi tujuan
bekerja dan mereka yang menjalankan urusan perniagaan.

 

''Bagaimanapun, kebenaran ini tertakluk kepada individu yang lengkap divaksin,'' kata beliau dalam sidang media di sini hari ini.

 

Perdana Menteri berkata, di sebalik semua kelonggaran yang telah diumumkan, hakikatnya semua orang terpaksa hidup bersama virus COVID-19.

 

''Situasi ini bukan sahaja menuntut rakyat untuk terus mematuhi SOP, malah penting untuk meningkatkan penilaian kendiri demi melindungi Keluarga Malaysia.

 

''Untuk itu, bagi mereka yang masih belum divaksin, segeralah berbuat demikian. Ini kerana banyak kelonggaran yang telah diumumkan seperti merentas negeri, melancong dalam dan luar negara, dine-in, dan sebagainya bergantung kepada syarat lengkap vaksinasi,'' katanya.

 

Ismail Sabri berkata, vaksin mengurangkan risiko jangkitan, mencegah daripada mendapat jangkitan yang lebih teruk, mengurangkan risiko kematian akibat COVID-19 serta mengurangkan beban sistem kesihatan.

 

 

PM

 

 

Menurutnya, data terkini oleh KKM menunjukkan bahawa vaksinasi telah berjaya menurunkan kadar kemasukan pesakit COVID-19 ke ICU sebanyak 83% dan kadar kematian akibat jangkitan COVID-19 sebanyak 88%.

 

Bagi memastikan proses peralihan negara ke fasa endemik berjalan lancar dan selamat, rakyat kini memikul tanggungjawab yang besar untuk mejayakan usaha ini.

 

Antara langkah yang harus dilaksanakan ialah mengukuhkan tindakan kesihatan awam kendiri dengan mengamalkan TRIIS iaitu:

 

a. TEST - Melakukan ujian pengesanan COVID-19 secara kendiri sekiranya alami simptom-simptom jangkitan;


b. REPORT - Laporkan keputusan ujian pengesanan secepat mungkin di MySejahtera;


c. ISOLATE - Lakukan kuarantin atau pengasingan kendiri dengan segera dan penuh disiplin sekiranya didapati positif supaya tidak bahayakan orang sekeliling;


d. INFORM - Segera maklum kepada kontak rapat anda sekiranya didapati positif dan laporkan juga semua kontak rapat melalui pautan di dalam MySejahtera. Maklumkan juga kepada CAC berhampiran sekiranya situasi kesihatan diri semakin merosot semasa menjalani kuarantin di rumah; dan


e. SEEK - Dapatkan rawatan segera di pusat-pusat perubatan atau CAC berhampiran sekiranya alami gejala berat.

 

''Saya juga ingin mengingatkan semua pemilik premis kedai makan, kedai-kedai runcit, pusat beli-belah, fasiliti-fasiliti sukan termasuk gymnasium, pejabat dan lain-lain, untuk memeriksa status vaksinasi dan juga status risiko COVID-19 pelanggan di dalam aplikasi MySejahtera mereka.

 

''Langkah ini penting bagi memastikan risiko berlakunya jangkitan di dalam premis adalah rendah,'' kata Perdana Menteri.

 

Ismail Sabri juga merakamkan setinggitinggi penghargaan kepada Keluarga Malaysia yang berdisiplin dan patuh setiap SOP yang ditetapkan serta seluruh petugas barisan hadapan yang selama ini berjuang tanpa mengenal erti penat lelah bagi membantu negara memerangi COVID-19.

 

''Besar harapan saya, agar kita semua terus berganding bahu kerana amat jelas kejayaan dalam peperangan ini tidak akan berhasil tanpa usaha semua ahli Keluarga Malaysia. Saya yakin, Keluarga Malaysia boleh lakukannya bersama-sama. Insya-Allah,'' kata Perdana Menteri. - DagangNews.com

 

BACA JUGA - PM: Kebenaran rentas negeri bagi yang lengkap vaksinasi mulai 11 Oktober 2021