PM: Kebenaran rentas negeri bagi yang lengkap vaksinasi mulai 11 Oktober 2021 | DagangNews Skip to main content

PM: Kebenaran rentas negeri bagi yang lengkap vaksinasi mulai 11 Oktober 2021

PUTRAJAYA 10 Okt - Kerajaan bersetuju memberi kebenaran untuk Keluarga Malaysia yang telah menerima vaksinasi lengkap untuk melakukan pergerakan rentas
negeri tanpa perlu memohon kebenaran daripada PDRM bermula esok, Isnin, 11 Oktober 2021.

 

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, dengan keputusan ini, Keluarga Malaysia bebas melakukan pergerakan seperti balik kampung untuk
berjumpa ibu bapa yang telah lama berpisah, melancong, dan sebagainya.

 

''Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Keluarga Malaysia atas kerjasama yang diberikan selama ini dalam mematuhi
Prosedur Operasi Standard (SOP) dan menyokong kempen imunisasi COVID-19.

 

''Namun, saya ingin mengingatkan Keluarga Malaysia agar tidak bersikap sambil lewa terhadap kelonggaran yang diberikan. Ini penting dalam usaha membantu negara
dalam pembukaan semula ekonomi serta persediaan menjalani kehidupan fasa endemik dengan selamat atau #ReopeningSafely,'' kata beliau dalam sidang media di sini hari ini.

 

Perdana Menteri berkata, jika hal ini diambil mudah, tidak mustahil penularan wabak COVID-19 ini akan kembali meningkat.

 

''Anda kini adalah barisan hadapan yang akan melindungi keluarga dan komuniti daripada jangkitan virus COVID-19,'' kata beliau.

 

Sebagai contoh kata beliau, sekiranya ingin pulang ke kampung untuk berjumpa dengan ibu bapa atau merentas negeri, Keluarga Malaysia disaran untuk melakukan ujian COVID-19 kendiri  sebelum memulakan perjalanan.

 

''Bagi mereka yang bergejala seperti demam, batuk, selsema dan sesak nafas, saya nasihatkan anda tangguhkanlah dahulu perjalanan. Sekiranya anda didapati positif, kuarantin diri atau hubungi Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) yang berhampiran untuk mendapatkan rawatan segera.

 

 

PM

 

 

''Kebenaran ini bukan bermakna pihak berkuasa akan bersikap lepas tangan. Walaupun tiada lagi Sekatan Jalan Raya (SJR) untuk mengawal pergerakan rentas negeri,
tetapi SJR untuk jenayah dan keselamatan masih diteruskan. Pemeriksaan secara rawak akan tetap dilaksanakan oleh pihak berkuasa di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342),'' katanya.

 

Perdana Menteri juga menegaskan, kebenaran pergerakan rentas negeri ini tidak terpakai ke atas kawasan atau lokaliti yang diisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan
Diperketatkan (PKPD). - DagangNews.com

 

BACA JUGA Perjalanan ke luar negara tidak perlu lagi #MyTravelPass Imigresen, kata PM