Skip to main content
DagangNews.com
Kolum MULANYA DI SINI - 20 June 2022

Perlu intervensi kerajaan kuatkuasa kawalan harga

Oleh Dr. Marziah Mokhtar dan Sabariah Yusoff

 

 

 

KRISIS ekonomi global terus menyaksikan berbagai isu ekonomi yang bersilih ganti semacam tiada penghujungnya. 

 

Seluruh pelosok dunia hari ini terbelenggu dengan isu kenaikan harga barang yang berlaku secara mendadak.

 

Para pengguna khususnya di Malaysia, tidak terkecuali. Melambungnya harga ini boleh dilihat dari dua sisi pasaran iaitu permintaan dan penawaran.

 

Ekonomi setelah pandemik menyaksikan lonjakan yang sangat ketara dalam permintaan barangan dan perkhidmatan.

 

Secara ilmiahnya, andai kata, pada masa yang sama, keupayaan pengeluaran agregat sudah pada tahap maksimum, peningkatan ini akan menghasilkan kenaikan harga yang diistilahkan sebagai inflasi tarikan permintaan.

 

Antara faktor penyumbang kepada inflasi kategori ini selain dari permintaan dari isi rumah adalah peningkatan dalam perbelanjaan kerajaan.

 

Hal ini amat ketara di negara kita apabila perbelanjaan kerajaan bertambah sejak berakhirnya pandemik dengan tujuan untuk merancakkan aktiviti ekonomi dan mengembali ekonomi ke landasan pertumbuhan. Inflasi ini seringkali juga dikenali sebagai “too much money chasing too few goods”.

 

mulanya di sini

 

 

Pihak pengeluar kini sedang berdepan dengan kekangan akibat kenaikan harga bahan mentah serta harga bahan api yang menyumbang kepada penambahan dalam kos pengeluaran.

 

Sekatan mobiliti yang dikenakan oleh kebanyakan negara menjejaskan rantaian bekalan input global. Keadaan lebih teruk dengan tercetusnya konflik antara Rusia dan Ukraine yang memburukkan lagi rantaian bekalan global.

 

Seiring dengan itu, kenaikan kadar tukaran mata wang asing menyebabkan kenaikan harga barangan import dan turut menyumbang kepada kenaikan kos bahan mentah.

 

Lonjakan kos pengeluaran ini, akan mencetus kenaikan harga yang diistilahkan sebagai inflasi tolakan kos.

 

Sekiranya inilah realiti pasaran sekarang, kita berdepan dengan gandingan dua bentuk inflasi, yang memberi impak yang sangat signifikan ke atas harga barangan dan perkhidmatan, terutama yang bersifat keperluan asas.

 

Tidak mustahil untuk kita berdepan dengan suasana hiper-inflasi di mana harga meningkat dengan kadar yang sangat tinggi dan cepat iaitu melebihi 50% setiap bulan.

 

Situasi ini telah mula berlaku kerana terdapat sumber yang mengatakan harga semua barang keperluan dijangka melonjak sekitar 50 hingga 60% susulan pelaksanaan gaji minimum RM1,500 menjelang hujung Mei ini.

 

Jabatan Perangkaan Malaysia (JPM) pula melaporkan Indeks Harga Pengguna (IHP) yang mengukur kadar inflasi di Malaysia meningkat sebanyak 2.2% kepada 125.6 pada Mac berbanding 122.9 pada bulan sama tahun sebelumnya.

 

Menurut laporan, antara sebab peningkatan kadar berkenaan adalah kenaikan harga pada kumpulan pengangkutan, makanan dan minimum.

 

mulanya di sini

 

Namun, secara perbandingan kadar inflasi di Malaysia adalah lebih rendah dari negara-negara jiran iaitu Indonesia (2.6%), Filipina (4.0%) dan Thailand (5.7%).

 

 Apa pun, kewujudan inflasi ini akan merosotkan nilai wang dan menurun kuasa beli negara kerana kita perlu membayar lebih untuk barangan dan perkhidmatan yang sama.

 

Peningkatan harga barang asas di sertai pula kenaikan dalam tarif baharu elektrik pastinya membebankan serta membelenggu kebanyakan rakyat Malaysia yang ketika ini masih dalam fasa pemulihan taraf ekonomi setelah pandemik.

 

Sekali imbas, isu peningkatan harga barangan bukan satu masalah besar sekiranya ia turut disertai dengan kadar pertumbuhan kos upah pekerja yang sepadan.

 

Kesan kelembapan pertumbuhan pendapatan pekerja dapat dilihat melalui beberapa situasi, antaranya peningkatan hutang isi rumah dan kadar simpanan persaraan yang merosot setelah digunakan sewaktu berdepan situasi pandemik COVID-19.

 

Walau bagaimana pun ada kajian yang mengunjurkan pekerja Malaysia bakal menerima kenaikan gaji sebenar sebanyak 2.8% tahun ini.

 

Namun unjuran itu dikhuatiri tidak mampu menampung proses pemulihan yang diperlukan jika kenaikan harga barang tidak dikawal.

 

Pengawalseliaan diperlukan supaya kenaikan harga barangan tidak begitu mendadak sehingga negara tidak mampu mengimbangi kadar inflasi berkenaan.

 

mulanya di sini

 

Dalam usaha kerajaan mengawal hal ini, sebagai kaedah berkala, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), mengadakan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) dan Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) bagi menetapkan harga maksimum untuk barangan terpilih pada tempoh tertentu.

 

SHMMP Tahun Baru Cina 2022 berlangsung dari 29 Januari 2022 hingga 4 Februari 2022, sementara SHMKM pula dilaksanakan pada 1 Januari 2022 hingga 4 Februari 2022.

 

Antara contoh lain adalah kawal selia subsidi minyak kerana bahan api ini meningkatkan kos pengeluaran keseluruhan sesuatu produk.

 

Justeru, selain keperluan melakukan intervensi jangka pendek seperti penguatkuasaan kawalan harga, kerajaan perlu melaksanakan usaha strategik bagi meningkatkan pendapatan rakyat supaya berpadanan dengan kos sara hidup semasa.

 

Kerajaan juga perlu menilai kebergantungan negara terhadap tenaga buruh asing, selain meningkatkan pelaburan berkualiti dan mewujudkan peluang pekerjaan berproduktiviti tinggi.

 

Perlu diakui kebergantungan berlebihan terhadap buruh asing berkemahiran rendah di Malaysia secara tidak langsung turut menyumbang kepada kelembapan trend kenaikan gaji pekerja di Malaysia.

 

mulanya di sini

 

Sebagai rumusan, dapat dilihat inflasi memberi kesan dari berbagai aspek. Inflasi meningkatkan kos sara hidup dan mengurangkan kuasa beli pengguna.

 

Mereka yang berpendapatan tetap dan pesara terkesan secara langsung. Nilai tabungan juga akan berkurang.

 

Oleh itu, sebaiknya seseorang itu mempelbagaikan bentuk simpanan kewangan supaya mendapat pulangan sekurang-kurangnya sama atau lebih tinggi daripada kadar inflasi.

 

Semua pihak sewajarnya merancang seawal mungkin kewangan peribadi agar dapat berdepan dengan cabaran kenaikan harga. Ini akan dapat menjamin kelangsungan taraf kehidupan yang selesa. – DagangNews.com

 

 

Dr. Marziah Mokhtar adalah Koordinator Keusahawanan di Akademi Pembangunan PKS & Keusahawanan Malaysia (MASMED), UiTM Dengkil
dan Sabariah Yusoff adalah Pensyarah Kanan (Ekonomi) Fakulti Pengurusan & Perniagaan, UiTM Puncak Alam
Portfolio Tags