Skip to main content

Permintaan tinggi kargo udara pada Mac - IATA

 

 

KUALA LUMPUR 5 Mei - Permintaan global untuk kargo udara pada Mac 2021 terus mengatasi jumlah permintaan tahap sebelum pandemik COVID-19 dengan permintaan naik 4.4%, menurut Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA).

 

Pada bulan tersebut, permintaan mencapai paras tertinggi sejak data untuk siri pasaran kargo udara global bermula pada 1990.

 

Ketua Pengarah IATA, Willie Walsh berkata, kargo udara terus merekodkan pertumbuhan positf bagi sektor penerbangan dan syarikat penerbangan mengambil pelbagai langkah untuk memenuhi kapasiti yang diperlukan.

 

"Krisis akibat pandemik menunjukkan bahawa kargo udara dapat memenuhi cabaran menerusi penggunaan inovasi dengan pantas.

 

"Begitulah caranya untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat, walaupun sebahagian besar pesawat penumpang tersadai,” katanya dalam kenyataan.

 

Bagaimanapun, sektor tersebut perlu mengekalkan momentum pra-pandemik ini untuk mendorong kecekapan jangka panjang industri dengan digitalisasi.

 

Bahkan, menurut IATA, kenaikan permintaan bulan ke bulan dengan jumlah melonjak 0.4% pada Mac berbanding tahap pada Februari 2021.

 

"Tetapi, pertumbuhannya lebih perlahan daripada bulan sebelumnya yang menyaksikan permintaan meningkat 9.2% berbanding Februari 2019.

 

“Prestasi lebih lemah dicatatkan syarikat penerbangan Asia Pasifik dan Afrika menyumbang kepada pertumbuhan yang lebih rendah pada Mac," kata kesatuan itu.

 

Dalam pada itu, IATA berkata, pesanan eksport baharu adalah antara keadaan yang mendasari keadaan ekonomi, ia kekal menyokong kargo udara.

 

“Selain pesanan eksport, waktu penghantaran barang-barang buatan juga meningkat yang pada kebiasaannya menunjukkan peningkatan permintaan untuk kargo udara dalam usaha untuk mengurangkan tempoh penghantaran.

 

"Perdagangan global meningkat 0.3% pada Februari, kenaikan bulanan kesembilan berturut-turut dan pertumbuhan secara berterusan dicatatkan dalam tempoh lebih daripada 2 dekad, ia juga menyokong permintaan untuk kargo udara," katanya. - DagangNews.com