Petronas dan Petros selesaikan pemindahan perniagaan dan operasi LPG di Sarawak | DagangNews Skip to main content

Petronas dan Petros selesaikan pemindahan perniagaan dan operasi LPG di Sarawak

KUALA LUMPUR 5 Mei  – Petronas Dagangan Berhad (PDB) dan Petroleum Sarawak Berhad (Petros) hari ini mengumumkan penyempurnaan Perjanjian Pemindahan Perniagaan dan Langganan Saham (BTSSA) untuk PetrosNiaga Sdn Bhd (PNiaga), sekali gus menandakan permulaan operasi perkongsian untuk perniagaan Gas Petroleum Cecair (LPG) di Sarawak.

 

Mulai hari ini, semua silinder berisi gas Petronas Gas (hijau) dan Petros (merah) dipasarkan oleh PetrosNiaga, dan semua pengedar LPG Petronas sedia ada kini adalah Peniaga LPG Petros.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petros, Janin Girie berkata, ''menjadi komitmen bersama kami untuk memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada pelanggan LPG kami di Sarawak, dengan menjadikan bahan api harian yang penting untuk rakyat Sarawak, tersedia dengan lebih saksama, terutamanya bagi mereka di kawasan luar bandar''.

 

Menurutnya, pengoperasian ini perkongsian strategik memenuhi aspirasi Kerajaan Sarawak untuk perniagaan LPG kendalian Petros di seluruh negeri dan merealisasikan hasrat Ordinan Pengagihan Gas Negeri 2016.

 

Janin Girie
                                          Janin Girie

 

 

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif PDB, Azrul Osman Rani berkata, PDB komited untuk terus berkhidmat kepada masyarakat di Sarawak.

 

''Perkongsian itu adalah langkah strategik untuk menggabungkan kekuatan, pengalaman dan kecekapan kedua-dua syarikat minyak dan gas untuk menyampaikan perkhidmatan dan nilai yang unggul untuk pelanggannya, sambil meningkatkan pasaran LPG di negeri ini,” katanya dalam kenyataan media bersama di sini hari ini.

 

BTSSA yang telah dimuktamadkan dengan Petros itu melibatkan pelupusan Perniagaan LPG Sarawak PDB kepada PNiaga dan langganan 49% pegangan ekuiti dalam PNiaga.

 

Berikutan itu, PetroNiaga itu menampilkan Lembaga Pengarah bersama yang dipengerusikan oleh Abang Arabi bin Abang Narudin (Naib Presiden Kanan – Strategi Korporat, Petros) dan Wakil Pemegang Saham dari Petros dan PDB.

 

 

Abang Arabi bin Abang Narudin
           Abang Arabi Abang Narudin

 

 

Pengarah sedia ada – Bong Siet Fah (Ketua Pegawai Kewangan, Petros) disertai oleh pelantikan baharu Pramela Vallinayagan (Ketua – Perniagaan LPG, PBD) dan Farzlina Ahmad Murad (Ketua Pegawai Kewangan, PDB).

 

Lai Ah Kiaw dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif PetroNiaga Sdn Bhd. - DagangNews.com