Petronas, Shell jalin kerjasama dalam penangkapan karbon dan penyelesaian penyimpanan | DagangNews Skip to main content

Petronas, Shell jalin kerjasama dalam penangkapan karbon dan penyelesaian penyimpanan

 

 

Oleh NABILA YASMIN RAZIB 
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 11 Jan -  Petronas menandatangani perjanjian kajian dan kerjasama (JSCA) dengan Sarawak Shell Bhd (Shell) untuk meneroka peluang dan projek kerjasama dalam penangkapan dan penyimpanan karbon (CCS) bagi membantu menyediakan penyelesaian penyimpanan karbon dioksida (CO2) di Malaysia dan rantau ini. 

 

Di bawah JSCA tersebut, kedua-dua syarikat akan melaksanakan kajian Pelan Pembangunan Kawasan CCS bersepadu untuk menyokong cita-cita penyahkarbonan kedua-dua pihak dalam lokasi terpilih di luar pesisir Sarawak. 

 

Dalam satu kenyataan hari ini, Petronas berkata, skop perjanjian itu termasuk menerokai penyediaan perkhidmatan penyahkarbonan kepada kemudahan tempatan dan rentas sempadan Shell, serta kepada bakal pelanggan serantau yang lain.

 

 

"Hasil kajian itu akan menghasilkan pilihan dalam bidang yang berpotensi untuk kerjasama selanjutnya," kata syarikat minyak nasional itu.

 

Perjanjian itu ditandatangani oleh Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Huluannya, Adif Zulkifli, manakala Shell diwakili oleh Pengerusi Malaysia dan Naib Presiden Kanan Huluan Malaysia, Ivan Tan. 

 

"Petronas mempunyai kerjasama yang telah lama terjalin dengan Shell. Kami yakin kerjasama terbaharu ini akan memberi inspirasi kepada lebih banyak inovasi ke arah mengurus pelepasan karbon dan memajukan cita-cita bersama kami untuk menyampaikan penyelesaian tenaga secara bertanggungjawab dan mampan. 

 

"Kerjasama ini menggariskan usaha berterusan Petronas untuk meneroka peluang perkongsian dalam CCS,” kata Adif.

 

Beliau berkata syarikat akan meneruskan trajektori ini untuk membuka peluang yang berpotensi membantu mengurangkan pelepasan dan mencapai aspirasi pelepasan karbon sifar bersih Petronas. 

 

"Ini adalah salah satu daripada banyak usaha untuk meletakkan dan mewujudkan Malaysia sebagai hab penyelesaian CCS terkemuka di rantau ini," tambahnya. 

 

Pada November tahun lepas, Petronas menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan ExxonMobil Exploration and Production Malaysia Inc untuk meneroka peluang dalam teknologi CCS untuk menyokong penyahkarbonan industri huluan Malaysia serta menyediakan penyelesaian penyimpanan CO2 untuk rantau ini.  -DagangNews.com