KUALA LUMPUR 4 Feb - PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menasihatkan pelanggan dari utara dan selatan yang ingin kembali ke Lembah Klang pada 4 hingga 6 Februari ini supaya mematuhi Jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) dan mula memasuki lebuh raya sebelum jam 9 pagi bagi mereka yang bertolak jauh dari ibu negara.
Jumlah trafik yang meningkat dicatatkan pada hari kedua sambutan Tahun Baru Cina (2 Februari) apabila Lebuhraya Utara-Selatan menyaksikan lonjakan trafik dari semua negeri.
Lonjakan trafik dijangka akan berulang pada hari Sabtu 5 Februari dan Ahad 6 Februari berikutan orang ramai yang mengambil cuti tambahan bersempena dengan cuti sekolah akan memulakan perjalanan mereka untuk kembali ke Lembah Klang.
Ketua Pegawai Operasi PLUS, Datuk Zakaria Ahmad Zabidi berkata, pihaknya menggesa orang ramai supaya merancang perjalanan pulang yang selamat dengan merujuk kepada TTA yang telah dikeluarkan. (Sila rujuk jadual TTA yang dilampirkan)
PLUS telah membuat persediaan rapi untuk memastikan pelanggan lebuh raya menikmati perjalanan pulang yang selesa.
Antaranya ialah menyediakan pasukan PLUSRonda tambahan untuk membantu mereka yang mungkin menghadapi masalah kerosakan kenderaan di lebuh raya.
PLUS juga bekerjasama dengan Polis Trafik (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk melaksanakan penguatkuasaan undang-undang di sepanjang lebuh raya, menempatkan pasukan RELA untuk pengurusan trafik di plaza tol dan kawasan rehat serta menyediakan maklumat trafik melalui pelbagai saluran komunikasi PLUS.
"Pastikan baki kad Touch 'n Go atau Touch 'n Go e-Wallet (untuk transaksi RFID) anda mencukupi untuk menikmati perjalanan yang selesa di plaza tol dan sentiasa mematuhi SOP pencegahan COVID-19 di R&R serta hentian sebelah.
''Gunakan aplikasi seperti Waze atau Google Map untuk mengelakkan kesesakan lalu lintas di sepanjang lebuh raya," tambah Zakaria.
Dapatkan maklumat dan keadaan trafik terkini melalui platfom media sosial PLUS seperti Twitter, Instagram, Facebook, LinkedIn, Youtube dan laman web www.plus.com.my atau menerusi Aplikasi PLUS untuk membantu anda merancang perjalanan. - DagangNews.com